Topic followed successfully
Go to BHkuPerenang Gan Ching Hwee pecah rekod kebangsaan acara 400m
Perenang Gan Ching Hwee pecah rekod kebangsaan acara 400m
Perenang Gan Ching Hwee pecah rekod kebangsaan acara 400m
Bersaing dalam sesi pagi Siri Renang Singapura pada 8 Februari, perenang kebangsaan Gan Ching Hwee muncul terpantas dalam saringan acara 400 meter (m) medley individu wanita dengan catatan masa 4 minit 57.69 saat.
Walaupun masa tersebut masih jauh daripada rekod peribadinya 4 minit 53.22 saat, jurulatihnya Eugene Chia melihat kekuatan serta kecekapan teknik renangan Gan, lalu mencabarnya untuk memecahkan rekod kebangsaan 4 minit 51.25 saat yang dicatatkan Quah Ting Wen pada 2008 dalam final sebelah petang.
Gan, yang mewakili Kelab Renang Singapura (SSC), menyahut cabaran itu dengan penuh keyakinan apabila mencatatkan masa 4 minit 47.60 saat di Pusat Akuatik OCBC beberapa jam kemudian, seterusnya meraih rekod kebangsaan individu kelimanya.
Perenang berusia 22 tahun itu, yang juga memegang rekod kebangsaan acara gaya bebas 200m, 400m, 800m dan 1,500m, berkata kepada The Straits Times (ST):
“Jurulatih saya merasakan saya tidak jauh daripada rekod itu dan menggalakkan saya mencubanya. Saya gembira akhirnya berjaya memecahkannya kerana rekod ini sudah lama saya idamkan, sejak berusia sebelum 17 tahun.”
Chia berkata Gan kelihatan kuat dan cekap dalam saringan pagi, dan beliau merasakan tiada salahnya mencabar anak didiknya itu untuk mencuba memecahkan rekod kebangsaan.
“Walaupun gagal, tetap ada pengajaran. Namun kelebihan Ching Hwee ialah dia tidak pernah undur diri daripada cabaran,” katanya, sambil menambah bahawa pasukan sokongan sains sukan yakin dengan keupayaannya.
Kejohanan tersebut merupakan pertandingan pertama Gan pada 2026, selepas penampilan bersejarah di Sukan SEA Disember lalu di Thailand, dengan beliau menjadi rakyat Singapura pertama ‘menyapu’ tiga acara iaitu gaya bebas 200m, 400m dan 800m dalam tiga temasya berturut-turut.
Gan berkata beliau tidak meletakkan jangkaan tinggi menjelang kejohanan Februari itu kerana musim masih di peringkat awal, selain melalui minggu latihan yang berat sebelum pertandingan.
“Otot saya memang terasa lenguh, tetapi saya cuba memberikan yang terbaik,” katanya.
Rekod peribadi Gan dalam acara 400m medley individu sebelum ini dicatatkan pada 2022 ketika beliau masih menamatkan pengajian dalam bidang sains pemakanan di Indiana University, Amerika Syarikat.
Menurutnya, acara tersebut mempunyai tempat istimewa dalam perjalanan renangnya kerana ia merupakan acara pertama yang membawa kejayaan di peringkat serantau, termasuk pingat gangsa di Sukan SEA 2017.
Sasaran utama Gan pada 2026 ialah untuk meraih kedudukan podium di Sukan Asia di Jepun pada September hingga Oktober, selepas menamatkan saingan di tempat keempat dalam acara gaya bebas 800m dan 1,500m pada edisi 2023.
Seterusnya, Gan akan beraksi di Kejohanan Renang Kumpulan Umur Kebangsaan Singapura pada Mac, sebelum menyertai Kejohanan Terbuka Australia di Gold Coast pada April, dan Sukan Komanwel di Glasgow pada Julai hingga Ogos.

