Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeluang 10 pasukan EPL layak ke Eropah
Peluang 10 pasukan EPL layak ke Eropah
Kelayakan bagi gelanggang Eropah jadi makin rumit. Ini disebabkan sistem baru UEFA
Peluang 10 pasukan EPL layak ke Eropah
LONDON: Liga Perdana England (EPL) mempunyai sembilan pasukan dalam pertandingan Eropah pada musim ini.
Namun bayangkan jika 10 pasukan dari EPL layak.
Kelayakan bagi pertandingan Eropah telah menjadi agak rumit dalam beberapa musim lalu.
Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh sistem Tempat Berdasarkan Prestasi Eropah (EPS) baru Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa).
Ini adalah tempat tambahan dalam Liga Juara-Juara yang diberikan kepada dua liga dengan rekod keseluruhan terbaik setiap musim.
EPL telah mendapat salah satu daripada dua tempat tambahan untuk 2026-27, manakala tempat tambahan kedua akan diberikan sama ada kepada La Liga Sepanyol atau Bundesliga Jerman.
Ini bermakna sekurang-kurangnya lapan pasukan England akan beraksi di Eropah musim depan.
Tetapi apa yang berlaku jika pasukan England memenangi salah satu pertandingan Eropah?
England masih mempunyai empat pasukan aktif dan dijamin mempunyai wakil di final Liga Europa.
Adakah mungkin enam pasukan England akan bersaing dalam Liga Juara-Juara sekali lagi? Dan bagaimana EPL boleh mencapai sasaran 10 pasukan di Eropah?
Bagaimana tempat layak ke gelanggang Eropah ditentukan
Logik EPS adalah mudah, namun faktor lain merumitkan keadaan.
EPS mempunyai dua prinsip utama: Pertama, ia hanya digunakan selepas semua faktor lain, termasuk pemenang piala domestik dan Eropah, diambil kira.
Kedua, ia sentiasa menyediakan satu tempat tambahan kepada jumlah keseluruhan peruntukan.
Oleh itu, England ditetapkan untuk mempunyai tujuh pasukan di Eropah sebelum manfaatkan EPS, namun kini akan mempunyai sekurang-kurangnya lapan.
Berdasarkan kedudukan sekarang – dan bergantung kepada siapa yang memenangi Piala FA – ini bermakna:
Pasukan yang capai tempat kelima dalam EPL akan sertai Liga Juara-Juara, pasukan di tempat keenam akan bertanding di Liga Europa dan pasukan di tempat ketujuh akan sertai Liga Persidangan (Conference).
Lima pasukan teratas semakin jauh meninggalkan pesaing mereka dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Manchester United, Liverpool dan Aston Villa menduduki tempat ketiga, keempat dan kelima.
Terdapat jurang lapan mata dengan Brighton di tempat keenam.
Kini, persaingan sengit berlaku untuk merebut kedudukan di tempat keenam dan ketujuh dengan masih ada kemungkinan pasukan di tempat keenam boleh mendapat laluan ke Liga Juara-Juara.
Hanya tujuh mata memisahkan Brighton (50 mata) daripada Crystal Palace (43 mata) di tempat ke-13, dengan Palace yang mempunyai satu perlawanan dalam tangan.
Bournemouth (49) berada di tempat ketujuh, diikuti oleh Chelsea (48), Brentford (48), Fulham (48), Everton (47) dan Sunderland (46).
Bagaimana jika Arsenal memenangi Liga Juara-Juara?
Memandangkan Arsenal dijangka capai tempat empat teratas EPL, kemenangan mereka dalam Liga Juara-Juara tidak akan mengubah peruntukan tempat England di Eropah.
Tempat yang dikhaskan untuk pemegang gelaran Liga Juara-Juara akan diserahkan kepada juara liga dalam kelayakan dengan pekali Uefa terbaik. Itu mungkin Rangers jika mereka memenangi Kejuaraan Scotland.
Untuk EPL mendapat tempat keenam Liga Juara-Juara melalui laluan itu, Arsenal perlu tamat di luar empat teratas.
Arsenal akan bertemu Atletico Madrid dalam separuh akhir Liga Juara-Juara.
Bagaimana jika Villa atau Forest memenangi Liga Europa?
Pemenang Liga Europa layak ke Liga Juara-Juara.
Aston Villa akan bertemu Nottingham Forest dalam separuh akhir, oleh itu, satu pasukan EPL akan ke final.
Jika Villa memenangi Liga Europa dan tamat dalam empat teratas, maka tiada perubahan dari segi tempat Eropah bagi England. Masih akan ada lima pasukan dalam Liga Juara-Juara, dan lapan di Eropah.
Tempat dalam Liga Juara-Juara yang dikhaskan untuk pemenang Liga Europa akan diserahkan kepada pasukan yang kelayakannya ditetapkan Uefa.
Pada masa ini, pasukan yang paling berkemungkinan mendapat tempat itu ialah Club Brugge dari Belgium.
Jika Villa tamatkan musim di luar empat teratas, EPL akan mempunyai enam pasukan dalam Liga Juara-Juara, iaitu empat pasukan teratas, Villa sebagai pemenang Liga Europa, dan satu tempat di bawah EPS.
Kedudukan akhir Villa akan menentukan berapa banyak tempat Eropah yang diperoleh EPL secara keseluruhan.
Jika mereka tamat di tempat kelima, EPS diserahkan kepada pasukan keenam EPL.
EPL akan melepaskan tempat dalam Liga Europa. Secara keseluruhan, England masih akan mempunyai lapan tempat di Eropah.
Mengapa tempat Liga Europa dilepaskan? Ini kerana EPS hanya digunakan selepas semua faktor lain diambil kira.
Dalam contoh ini, Villa telah mendapat tempat dalam Liga Juara-Juara, tetapi kedudukan liga mereka hanya layak untuk Liga Europa.
Oleh itu, tempat dalam pertandingan yang lebih rendah terpaksa dilepaskan dan diserahkan kepada liga lain – begitulah peraturan Uefa.
Sebagai contoh, La Liga tidak mempunyai pasukan dalam edisi pertama Liga Persidangan kerana Villarreal memenangi pertandingan Eropah tetapi tamat di tempat ketujuh dalam liga.
Katakanlah Villa tamat di tempat kelima. EPL akan melepaskan tempat Liga Europa. EPS kemudiannya diserahkan kepada pasukan di tempat keenam, iaitu pasukan pertama yang tidak berada dalam Liga Juara-Juara. Tempat Liga Persidangan pula turun ke tempat ketujuh.
Jika Villa pula tamat di tempat keenam, maka tempat Liga Persidangan yang akan dilepaskan. Selepas EPS digunakan, pasukan di tempat kelapan akan beraksi dalam Liga Europa.
Namun bolehkah kemenangan Villa dalam Liga Europa memberi England tempat Eropah kesembilan? Boleh, tetapi hanya jika Villa habiskan musim di luar kedudukan yang layak ke Eropah melalui liga domestik. – Agensi berita.
