Topik diikuti
Pergi ke BHkuMessi kekal pemain bergaji tertinggi di MLS
Messi kekal pemain bergaji tertinggi di MLS
Beliau terima $36j musim ini, berbanding $26.4j pada 2025
Messi kekal pemain bergaji tertinggi di MLS
MIAMI: Penyerang Inter Miami, Lionel Messi, kekal sebagai pemain bergaji tertinggi di Liga Bola Sepak Utama (MLS) buat tahun ketiga berturut-turut, sedang beliau menerima kenaikan gaji yang ketara musim ini (2026).
Menurut data yang dikeluarkan oleh Persatuan Pemain MLS, jumlah pampasan terjamin Messi musim ini ialah AS$28.33 juta ($36 juta), berbanding AS$20.45 juta pada 2025.
Seperti tahun-tahun sebelumnya, angka itu hanya mencerminkan bahagian gaji permainan semata-mata. Pada Oktober 2025, Messi menandatangani pembaharuan kontrak hingga kempen 2028.
Pemilik Inter Miami, Jorge Mas, memberitahu Bloomberg pada Mac lalu bahawa jumlah pendapatan keseluruhan Messi adalah antara AS$70 hingga AS$80 juta setahun.
Messi dijangka memperoleh kepentingan ekuiti dalam kelab tersebut setelah beliau bersara.
Penyerang Los Angeles FC (LAFC), Son Heung-min, pula menduduki tempat kedua dengan pampasan terjamin sebesar AS$11.15 juta, diikuti oleh rakan sepasukan Messi di Inter Miami, Rodrigo De Paul, dengan AS$9.6 juta.
Penyerang San Diego FC, Hirving “Chucky” Lozano, berada di tempat keempat dengan AS$9.33 juta, walaupun beliau dipinggirkan oleh kelab itu dan tidak bermain walau seminit pun musim ini.
Miguel Almirón daripada Atlanta United pula berada di tempat kelima dengan AS$7.87 juta.
Kesatuan itu biasanya mengeluarkan dua kali maklumat gaji setiap tahun.
Gaji tersebut tidak termasuk pendapatan daripada perjanjian tajaan, mahupun pilihan Messi untuk memperoleh kepentingan ekuiti dalam Inter Miami yang dimiliki bersama oleh David Beckham.
Messi menyertai francais Florida itu pada 2023 dan telah menjaringkan 59 gol dalam 64 perlawanan liga MLS musim biasa, membantu Miami memenangi Piala MLS pada 2025.
Beliau mengetuai liga dengan 29 gol musim lalu dan telah dinobatkan sebagai Pemain Paling Berharga (MVP) dalam dua musim penuh MLS yang telah beliau sertai setakat ini, iaitu pada 2024 dan 2025.
Miami terus menguasai seluruh liga dari segi jumlah pampasan terjamin mengikut pasukan. Kelab itu mencatatkan AS$54.57 juta, iaitu AS$7.7 juta lebih tinggi daripada rekod liga yang mereka sendiri tetapkan pada masa yang sama pada 2025.
Jumlah itu juga melebihi dua kali ganda berbanding semua pasukan lain.
Perbelanjaan keseluruhan LAFC ialah AS$32.65 juta, diikuti Atlanta United (AS$27.88 juta), LA Galaxy (AS$26.43 juta), dan Vancouver Whitecaps yang sedang dijual dengan harga AS$24.56 juta. – Agensi berita.
