MIAMI: Lionel Messi berkata penyokong Argentina berhak mengimpikan kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut, namun mengakui beberapa pasukan lain termasuk Perancis dan Sepanyol berada “dalam keadaan lebih baik” menjelang kejohanan 2026 ini.

“Terdapat ramai pemain yang sedang bergelut dengan kecederaan atau kurang cergas, tetapi hakikatnya apabila kumpulan ini bersama, mereka sentiasa mampu bersaing dan mahu menang,” kata Messi mengenai skuad Argentina dalam temu bual bersama hos Pollo Alvarez yang disiarkan di YouTube.

Bagaimanapun, pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu, yang kini menjadi tonggak utama skuad Inter Miami dalam Liga Bola Sepak Utama (MLS) di Amerika itu mengakui persaingan kali ini amat sengit.

“Buat masa ini, Perancis nampaknya di tahap terbaik. Mereka mempunyai ramai pemain bertaraf dunia,” katanya mengenai pasukan yang ditewaskan Argentina dalam final Piala Dunia 2022 di Qatar.

Messi turut menyenaraikan Sepanyol dan Brazil sebagai pencabar utama, selain menganggap Portugal mampu bersaing sambil mengingatkan kuasa tradisi Eropah seperti Jerman dan England sentiasa berbahaya.

Messi, 39 tahun, bagaimanapun, masih belum mengesahkan secara rasmi penyertaannya pada kejohanan yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Mexico dan Canada.

Namun, bekas bintang Barcelona itu menegaskan beliau belum menetapkan had terhadap kerjayanya kerana semangat bersaing masih menebal dalam dirinya.

“Saya suka bermain bola sepak dan saya akan terus bermain selagi mampu,” kata Messi, yang memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) MLS musim lalu selepas membantu Miami muncul juara dan menjadi penjaring terbanyak liga berkenaaan.

“Saya seorang yang suka bersaing. Saya suka menang dalam apa juga perkara... saya juga tidak benarkan anak saya menang ketika bermain permainan video.” katanya.

Dalam pada itu, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengumumkan pada 8 Mei bahawa ia akan mengadakan upacara pembukaan berasingan sebelum perlawanan pertama di setiap tiga negara tuan rumah Piala Dunia. - AFP