SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Masa kecederaan panjang 11 minit di West Ham cetus kontroversi

Masa kecederaan panjang 11 minit di West Ham cetus kontroversi

Apr 6, 2026 | 2:31 PM

Masa kecederaan panjang 11 minit di West Ham cetus kontroversi

LONDON: Wujud perbezaan ketara dalam tempoh masa kecederaan dalam dua perlawanan suku akhir Piala FA, melibatkan pertemuan West Ham United dengan Leeds United pada 5 April, berbanding pertembungan Manchester City dengan Liverpool pada 4 April.

Di Stadium London, pengadil Craig Pawson, menambah masa sehingga 11 minit yang membenarkan tuan rumah, West Ham, bangkit daripada ketinggalan 0-2 dengan Leeds, untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan dan penentuan penalti.

Perlawanan tersebut akhirnya memihak kepada Leeds dengan kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti.

Manakala di Stadium Etihad, pengadil Michael Oliver, tidak menambah walaupun sesaat dalam perlawanan yang membawa kemenangan 4-0 bagi Manchester City menentang Liverpool.

Susulan itu, media sosial dibanjiri dengan persoalan daripada penyokong tentang bagaimana Oliver boleh ‘mengabaikan’ peraturan perlawanan dengan memilih untuk tidak memberi sebarang masa tambahan.

Namun, situasi tersebut bukan sesuatu yang luar biasa dalam saingan piala sekiranya keputusan perlawanan sudah dianggap muktamad atau sukar dicabar lagi.

Beberapa tahun lalu, Ketua Pengadil Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa), Pierluigi Collina, pernah menyentuh mengenai isu masa kecederaan dan situasi yang membolehkan ia dipendekkan.

Bekas pengadil Italy itu mengutarakan hujah yang bernas. 

Menurut Collina, dalam saingan piala, jika keputusan perlawanan sudah dianggap mustahil untuk berubah, menamatkan aksi lebih awal adalah satu tindakan yang boleh diterima.

Namun, Collina turut menegaskan bahawa perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam perlawanan liga, memandangkan perbezaan jaringan sentiasa memainkan peranan penting dalam kedudukan carta.

Situasi ‘masa kecederaan sifar’ jarang sekali dilihat dalam arena bola sepak England. 

Namun, pengadil di bawah seliaan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) dimaklumkan bahawa mereka boleh menamatkan perlawanan tepat pada masanya jika tiada apa-apa yang boleh diraih dengan meneruskan permainan.

Oliver, sudah semestinya, merupakan seorang pengadil di bawah Fifa dan Uefa.

Lihat sahaja beberapa perlawanan Liga Juara-Juara pada Mac sebagai contoh.

Pertembungan antara Chelsea menentang Paris St-Germain (PSG) serta aksi Barcelona lawan Newcastle, kedua-duanya tidak diberikan sebarang masa tambahan. 

Ini kerana pasukan dari England itu, Chelsea dan Newcastle, sudah pun ketinggalan jauh dengan keputusan agregat masing-masing 8-2 dan 8-3, dengan pasukan lawan.

Namun, jika disorot kembali tempoh permainan dihentikan dalam perlawanan di Stadium London, tempoh 11 minit tambahan itu sebenarnya munasabah.

– Tiga minit: Rawatan kecederaan kepada Adama Traore dan Joe Rodon.

– Dua minit: Tempoh masa ketika pegawai fisioterapi masuk ke padang untuk merawat Pablo dan Jaka Bijol.

– Tiga minit: Pemberian sepakan penalti selepas semakan melalui Video Pembantu Pengadil (VAR).

– Satu minit: Pemeriksaan kecederaan ke atas Noah Okafor.

– Tambahan: Dua pertukaran pemain, beberapa lagi semakan VAR, serta penundaan kecil lain

Oleh itu, meskipun tempoh masa tambahan 11 minit itu kelihatan keterlaluan pada awalnya, ia sebenarnya boleh dijelaskan dengan fakta tersebut.

“Apabila kami sedang mendahului, masa tambahan terasa sangat lama,” kata pengurus Leeds, Daniel Farke, selepas perlawanan.

“Tetapi apabila kami sedang mengejar kedudukan, ia terasa seolah-olah hanya tiga minit.

“Anda perlu berdepan dengan perkara ini dan keputusan terletak di tangan pegawai (perlawanan). 

“Saya sudah biasa menerima keputusan pengadil dan cuba untuk tidak merungut. Itulah hakikatnya.”

Sekumpulan penyokong West Ham telah meninggalkan stadium sebaik perlawanan memasuki minit ke-90, ketika pasukan mereka ketinggalan 0-2 dan hampir tersingkir daripada saingan Piala FA.

Namun, ramai yang kembali semula selepas Mateus Fernandes dan Axel Disasi menjaringkan gol pada masa kecederaan yang menyebabkan perlawanan dilanjutkan selama 30 minit lagi, sebelum penalti akhirnya menjadi penentu keputusan.

Masa tambahan tersebut ternyata mendebarkan apabila pasukan yang turut dikenali sebagai The Hammers menyaksikan dua gol mereka dibatalkan dan satu percubaan terkena tiang gol.

Selain itu, penjaga gol berusia 20 tahun, Finlay Herrick, turut membuat penampilan sulungnya sejurus sebelum penentuan penalti bagi menggantikan Alphonse Areola yang tercedera.

West Ham turut terselamat daripada kontroversi lain selepas mereka menarik balik keputusan awal yang dibuat oleh pegawai keselamatan sebelum perlawanan.

Pegawai keselamatan pada mulanya memutuskan bahawa sepakan penalti tidak akan dijalankan di depan kawasan tempat duduk yang dipenuhi 9,000 penyokong Leeds atas ‘alasan keselamatan’.

Namun, undian akhirnya memihak kepada West Ham untuk memilih kawasan gol.

Ketua jurulatih Leeds, Farke sempat mengulas: “Anda boleh bayangkan apa yang saya fikirkan tentang situasi sebegitu.

“Bagaimana kita bermain di Stadium Olimpik ini – stadium yang jarak tempat duduk penyokongnya mungkin paling jauh dari padang, kemudian seorang pegawai keselamatan menandatangani dokumen sebegitu hanya untuk memberi kelebihan kepada (pasukan tuan rumah) supaya penentuan penalti dilakukan di depan penyokong sendiri? 

“Tetapi, saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini.”  – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg