Selepas melalui 2025 yang mengecewakan dan penuh detik meragukan, Leeds United dan Manchester United berentap dalam satu perlawanan Liga Perdana England (EPL) di Elland Road pada 4 Januari dengan harapan tahun 2026 akan menjadi titik kebangkitan buat separuh kedua musim mereka.
Leeds bersedia dengan keyakinan dan momentum yang kelihatan mustahil beberapa minggu lalu, manakala United masih mendapati sukar mencari kestabilan di tengah-tengah krisis kecederaan.
Perlawanan ini bukan lagi soal sejarah antara dua kelab tersebut, tetapi lebih kepada hala tuju masa depan kededua pasukan dalam EPL, dengan harapan satu keputusan positif mampu mencetuskan kebangkitan yang amat diperlukan.
Setakat 30 Disember, Leeds berada di tangga ke-16 liga dengan 20 mata, tujuh mata di atas zon penyingkiran, namun kedudukan itu tidak menggambarkan prestasi sebenar mereka ketika ini.
Anak didik Daniel Farke kini tidak tewas dalam lima perlawanan liga berturut-turut, termasuk keputusan memberangsangkan menentang pasukan elit.
Kemenangan 3-1 ke atas Chelsea pada 4 Disember dan keputusan seri 3-3 menentang Liverpool pada 7 Disember, menonjolkan peningkatan ketahanan mental dan keyakinan pasukan.
Perlawanan pada 28 Disember menyaksikan Leeds bangkit untuk mencuri satu mata di Stadium of Light menentang Sunderland.
Dalam perjuangan mereka untuk kekal di EPL, setiap mata amat berharga bagi Leeds.
“Mentaliti yang hebat untuk bangkit daripada posisi kekalahan,” kata Farke selepas perlawanan Sunderland.
“Satu lagi mata buat kami dalam EPL. Kami telah memperbaiki persediaan kami dengan lebih baik dalam perlawanan di tempat lawan yang sukar.”
Nadi kebangkitan Leeds sudah tentu penyerang mereka, Dominic Calvert-Lewin.
Penyerang itu berada dalam prestasi cemerlang, menjadi tumpuan utama di bahagian serangan dan kerap muncul sebagai penyelamat ketika pasukannya memerlukan.
“Sebagai penyerang anda lakukan gerakan dan kadangkala anda tidak dapat bola, tetapi kami harus terus mencuba dan mengharapkan nasib akan berubah,” kata penyerang berusia 28 tahun itu.
“Saya rasa nasib sudah berubah bagi saya dan saya rasa hebat, cergas, kuat dan seronok bermain dengan pemain lain.”
Gol separuh masa kedua menentang Sunderland sekali lagi membuktikan kepentingannya dalam pasukan, dan Calvert-Lewin kekal sebagai ancaman terbesar apabila menentang pertahanan Manchester United yang sering rapuh musim ini.
Manchester United pula berada di kedudukan keenam dengan 29 mata, hanya tiga mata di belakang Liverpool di tempat keempat, namun prestasi terkini mereka gagal memberikan keyakinan kepada penyokong.
Walaupun berdepan jadual yang agak mudah, United tercicir mata secara tidak konsisten, termasuk keputusan seri 4-4 menentang Bournemouth, kehilangan mata menentang West Ham, serta kekalahan 2–1 kepada Aston Villa.
Musim United sejauh ini susah untuk diramal.
Hanya beberapa hari selepas tewas kepada Villa, dengan pasukan yang dibarisi pemain simpanan dan tanpa kapten pasukan, Bruno Fernandes, mereka berjaya mencatat kemenangan tipis 1- 0 ke atas Newcastle pada 27 Disember.
United kemudian seri 1-1 kepada Wolves – yang menduduki tangga terbawah EPL pada 31 Disember.
Senarai kecederaan terus merumitkan cabaran Ruben Amorim.
Fernandes masih belum pulih, Mason Mount diragui, manakala Kobbie Mainoo, Matthijs de Ligt dan Harry Maguire turut cedera.
Keadaan diburukkan lagi dengan ketiadaan Bryan Mbeumo, Amad Diallo dan Noussair Mazraoui yang sedang beraksi di Piala Negara-Negara Afrika (Afcon), menyebabkan United kekurangan pilihan di beberapa posisi utama.
Dalam situasi ini, tumpuan utama sudah tentu terarah kepada Benjamin Sesko.
Walaupun hanya mencatat dua gol dan satu ‘assist’ daripada 14 penampilan EPL, penyerang itu beberapa kali menghasilkan detik-detik yang memberangsangkan.
Dengan ketiadaan pemain kreatif seperti Bruno dan Amad, inilah masanya untuk Sesko bangkit memikul tanggungjawab sebagai sandaran utama serangan United.
Beliau dijangka dibantu oleh Matheus Cunha dan Dorgu, yang mula menemui rentak permainan memberangsangkan.
Leeds juga tidak terlepas daripada masalah kecederaan, dengan Daniel James dan Sean Longstaff tidak dapat diturunkan.
Namun, keserasian dan keyakinan yang dipamerkan kebelakangan ini mampu menampung kekurangan tersebut.
Menariknya, kededua pasukan mempunyai rekod pertahanan yang hampir sama musim ini, masing-masing dibolosi purata dua gol setiap perlawanan, satu petunjuk bahawa pertarungan terbuka dan penuh serangan boleh dijangkakan.
Walaupun Leeds gagal menewaskan United dalam lima pertemuan terakhir, dan prestasi tidak menentu United dan tempoh kebangkitan Leeds pada masa kini masih menjadikan perlawanan ini peluang terbaik untuk mengubah naratif tersebut.
Namun, ia diharapkan United tetap akan bertarung walaupun menghadapi tempoh yang sukar sekali lagi.
Ramalan wartawan: Leeds United 2-2 Manchester United


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg