Topik diikuti
Pergi ke BHkuMagic Johnson gesa peminat jadikan Los Angeles destinasi tarikan Piala Dunia
Magic Johnson gesa peminat jadikan Los Angeles destinasi tarikan Piala Dunia
Magic Johnson gesa peminat jadikan Los Angeles destinasi tarikan Piala Dunia
INGLEWOOD (California): Bintang sukan Los Angeles dan bekas pemain hebat NBA, Earvin “Magic” Johnson, menggesa peminat daripada seluruh dunia supaya menjadikan Los Angeles sebagai destinasi Piala Dunia mereka, menggelarkan bandar itu sebagai “ibu kota sukan dunia”.
Acara ‘30 Hari Menuju Piala Dunia Fifa 2026’ di Stadium SoFi, mengetengahkan hasrat bandar itu untuk memastikan pengunjung mengalami lebih daripada sekadar perhentian bola sepak.
“Perlawanan (bola sepak) dunia akan datang ke bandar terhebat di dunia,” kata Johnson sambil tersenyum lebar, pada acara yang diadakan dengan tujuan menarik pelancong bukan sahaja untuk kejohanan tetapi juga untuk tarikan bandar dan peranannya sebagai hab sukan global.
Johnson, juara lima kali Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan dan tiga kali sebagai Pemain Paling Berharga, berkata inilah masanya untuk berada di Los Angeles kerana “acara hebat akan datang ke bandar kita”, termasuk Piala Dunia, Super Bowl NFL, dan Sukan Olimpik 2028.
Los Angeles menganjurkan lapan perlawanan Piala Dunia, yang menampilkan pasukan Amerika Syarikat, Paraguay, Iran, New Zealand, Switzerland, Bosnia, Belgium dan Turkey.
Kejohanan yang diperluas ini akan berlangsung di seluruh Amerika Utara, dengan perlawanan di 16 bandar tuan rumah di Mexico, Amerika dan Canada. Ia akan menampilkan 48 pasukan, meningkat daripada 32 pasukan sebelum ini.
Peminat tempatan dan pelawat akan dapat menikmati ‘karnival bola sepak gergasi’ di seluruh bandar, kata Kathryn Schloessman, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Sukan dan Hiburan Los Angeles dan CEO jawatankuasa penganjur acara itu.
Komitmen bandar itu terhadap pilihan pengangkutan yang berpatutan juga ditetapkan, dengan tiket $1.75 ke stadium sangat berbeza dengan beberapa harga yang telah menimbulkan kontroversi.
Kesan ekonomi tempatan ekoran Piala Dunia telah dibahaskan selama berbulan-bulan. Pengkritik memberi amaran bahawa golongan yang paling terdedah boleh terjejas dek kenaikan harga, tekanan perumahan dan gangguan kepada perkhidmatan bandar.
Los Angeles juga akan menganjurkan majlis perasmian Piala Dunia pada 12 Jun, menampilkan bintang pop Katy Perry. Acara ini menyusuli majlis perasmian di Bandar Mexico sehari sebelumnya dan satu lagi di Toronto pada 12 Jun.
Jawatankuasa Piala Dunia bandar itu telah memanfaatkan kedudukannya yang berdekatan Hollywood dengan melibatkan artis Snoop Dogg, Eva Longoria, Will Ferrell dan selebriti lain sebagai “duta komuniti.” – Reuters.
