Topik diikuti
Pergi ke BHku3 majlis gemilang buka tirai Piala Dunia 2026 di AS, Mexico, Canada
3 majlis gemilang buka tirai Piala Dunia 2026 di AS, Mexico, Canada
Fifa sahkan kehadiran bintang antarabangsa seperti Katy Perry, Lisa Blackpink dan Michael Buble
3 majlis gemilang buka tirai Piala Dunia 2026 di AS, Mexico, Canada
BANDAR MEXICO: Piala Dunia 2026 akan menyaksikan tiga majlis pembukaan berasingan di ketiga-tiga negara tuan rumah, iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Canada dengan barisan bintang muzik antarabangsa menghangatkan sambutan kejohanan.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mengesahkan pada 8 Mei antara artis yang akan membuat persembahan termasuk Katy Perry, Future, Alanis Morissette, Michael Buble, J Balvin dan Lisa.
Mexico akan membuka tirai lebih awal 90 minit sebelum sepak mula perlawanan pertama kejohanan antara Mexico dengan Afrika Selatan pada 11 Jun di Stadium Azteca yang dinamakan semula sebagai Stadium Mexico City untuk kejohanan itu.
Acara di Mexico itu akan menampilkan bintang Colombia, J Balvin, kumpulan rok Mexico yang memenangi pelbagai Anugerah Grammy, Mana, serta penyanyi pop Alejandro Fernandez, anak legenda muzik tradisional Mexico ‘ranchera’, Vicente Fernandez.
Penyanyi pop Mexico, Belinda, dan penyanyi-penulis lagu, Lila Downs, turut terbabit bersama penyanyi Afrika Selatan, Tyla serta kumpulan Los Angeles Azules, yang terkenal dengan muzik tarian rakyat tepian pantai Mexico, ‘cumbia’.
“Dunia akan berkongsi detik ini dan itulah cara kejohanan ini akan bermula,” kata Presiden Fifa, Gianni Infantino, dalam satu kenyataan.
“Bermula di Bandar Mexico, disusuli Toronto dan Los Angeles, acara ini akan menyatukan muzik, budaya dan bola sepak dalam cara yang mencerminkan keunikan setiap negara serta perpaduan yang menjadi asas kejohanan ini,” tambah kenyataan itu.
Canada pula akan membuka kempen mereka menentang Bosnia-Herzegovina pada 12 Jun di Toronto, dengan persembahan oleh Alanis Morissette, Michael Buble, Alessia Cara, Elyanna, Jessie Reyez dan Nora Fatehi.
Penganjur berkata acara itu akan membawa penonton “menjelajah seluruh Canada” dengan detik-detik yang mencerminkan kepelbagaian negara itu dari pantai ke pantai.
Pada hari yang sama, Amerika akan membuka kempen menentang Paraguay di Los Angeles, dengan Katy Perry menjadi antara tarikan utama selepas pernah menjayakan persembahan separuh masa bagi aksi akhir Super Bowl 2015.
Beliau akan bergandingan dengan Future, Lisa (Blackpink), Anitta, Rema dan Tyla, dengan beberapa artis lain bakal diumumkan.
Infantino menyifatkan majlis pembukaan di Los Angeles sebagai simbol skala besar kejohanan itu.
“Barisan artis ini mencerminkan kepelbagaian budaya Amerika dan pengaruhnya dalam muzik serta hiburan,” katanya lagi.
Fifa berkata peminat juga akan memainkan “peranan aktif” dalam acara itu dan digalakkan hadir awal ke stadium, dengan tema keseluruhan kejohanan digambarkan sebagai “nadi bersama”, merentasi sempadan dan zon waktu. – AFP.
