Tempoh 22 tahun bukan tempoh yang singkat untuk kekal bersaing di peringkat tertinggi sukan, lebih-lebih lagi bagi seorang atlet paralimpik yang perlu berdepan pelbagai cabaran fizikal setiap hari.

Namun bagi jaguh boccia Singapura, Nurulasyiqah Mohammad Taha, perjalanan panjang itu tidak pernah memadamkan semangatnya untuk terus mengejar kecemerlangan dan mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.

Lebih dua dekad selepas mula menceburi sukan berkenaan, beliau masih mempunyai motivasi yang sama untuk terus berkembang sebagai atlet, memperbaiki kelemahan diri dan bersaing dengan barisan pemain terbaik dunia.

“Saya bermula dengan sukan boccia lebih dua dekad lalu, dan sepanjang tahun-tahun ini, sukan ini telah mengajar saya erti daya tahan, disiplin dan kesabaran,” kata atlet berusia 41 tahun itu.

Nurulasyiqah menghidap Atrofi Otot Spina (SMA), iaitu keadaan genetik progresif yang melemahkan fungsi ototnya.

Beliau mula mengenali boccia ketika usia remaja sebelum menjadikan sukan itu sebahagian besar kehidupannya.

Sepanjang penglibatannya, Nurulasyiqah mengukir pelbagai pencapaian membanggakan termasuk mencipta sejarah sebagai atlet boccia pertama Singapura yang layak ke Sukan Paralimpik di London pada 2012.

Beliau kemudian mengulangi pencapaian tersebut apabila beraksi di Sukan Paralimpik Rio 2016, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara atlet penting dalam pembangunan sukan boccia negara.

Selain itu, beliau turut mewakili negara dalam pelbagai kejohanan dunia dan menjadi antara perintis yang membuka jalan kepada generasi baru atlet para tempatan.

Namun, seperti mana-mana atlet elit, perjalanan Nurulasyiqah tidak sentiasa dihiasi kejayaan.

Pandemik Covid-19 memaksanya berehat daripada pertandingan selama beberapa tahun, sekali gus memberi kesan besar terhadap momentum dan kedudukan ranking dunianya.

Apabila kembali bertanding pada 2023, beliau terpaksa bekerja keras untuk meningkatkan semula prestasi dan kedudukannya dalam ranking dunia.

Malah, penampilan di Sukan Para Asia Hangzhou juga tidak berakhir dengan kutipan pingat yang diharapkan.

“Sudah tentu, seperti mana-mana atlet, terdapat juga tempoh sukar dan rintangan,” katanya.

“Saya terpaksa berehat selama beberapa tahun semasa pandemik Covid-19 dan saya terpaksa berusaha keras untuk naik semula senarai ranking dunia apabila kembali bertanding pada 2023.

“Sukan Para Asia terakhir saya di Hangzhou tidak berakhir dengan pingat, tetapi pengalaman seperti ini telah membantu saya berkembang dari segi mental dan menjadi lebih bertekad untuk bertambah baik.

“Apa yang membuatkan saya terus bertahan adalah minat mendalam saya terhadap sukan ini dan keinginan berterusan untuk mencabar diri sendiri.”

Ketabahan yang dipamerkan sepanjang lebih dua dekad itu akhirnya terus mendapat pengiktirafan daripada masyarakat sukan negara apabila Nurulasyiqah sekali lagi dianugerahkan biasiswa program Kecemerlangan Sukan (Spex) negara, spexScholar.

Sebagai salah seorang penerima sulung biasiswa berkenaan ketika ia diperkenalkan pada 2013, pengiktirafan terbaru itu membawa makna yang cukup istimewa baginya.

Pada fasa kerjayanya kini, sokongan yang diterima bukan sekadar bantuan kewangan, bahkan menjadi pengesahan bahawa usaha dan komitmen yang dicurahkan selama bertahun-tahun masih dihargai.

“Saya berasa sangat berbesar hati dan bersyukur kerana menerima biasiswa ini sekali lagi.

“Diiktiraf selepas 22 tahun dalam sukan ini amat bermakna buat saya. Ia menunjukkan bahawa dedikasi, kecekalan dan ketekalan sentiasa dinilai tinggi dalam perjalanan seseorang atlet, tidak kira di peringkat mana mereka berada.”

“Ia mendorong saya untuk terus mencabar diri, mempertingkatkan prestasi dan mewakili negara di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Apabila ditanya sama ada beliau menjangka menerima pengiktirafan tersebut sekali lagi, Nurulasyiqah mengakui berasa terkejut dan sangat terharu.

Beliau menyedari bahawa landskap sukan para tempatan kini dipenuhi ramai atlet muda berbakat yang turut bekerja keras demi mengejar kejayaan.

“Terdapat ramai atlet yang layak di negara ini yang berlatih dengan sangat gigih setiap hari. Jadi apabila saya menerima berita ini, saya berasa sangat bersyukur dan terdorong.

“Pada peringkat kerjaya saya sekarang, setiap peluang dan setiap bentuk sokongan menjadi lebih bermakna.

“Ia mengingatkan saya bahawa kerja keras yang dilakukan oleh pasukan saya dan saya sendiri sedang diiktiraf, dan ia memberikan saya motivasi tambahan untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan,” kata Nurulasyiqah.

Walaupun sudah lebih dua dekad berada dalam bidang sukan boccia, semangatnya untuk terus bersaing masih belum pudar.

“Melihat ke hadapan, matlamat utama saya adalah untuk layak ke Sukan Para Asia dan Sukan Paralimpik yang seterusnya,” katanya.

“Walaupun selepas dua dekad dalam sukan ini, saya masih berasa bersemangat untuk berkembang, bertanding dan menyumbang kepada sukan boccia negara.”