Topic followed successfully
Go to BHkuLebih banyak larian bawa perbezaan pada prestasi pasukan?
Lebih banyak larian bawa perbezaan pada prestasi pasukan?
Data menunjukkan 48% daripada 309 perlawanan EPL sejauh musim ini, kelab yang merekod jarak larian lebih banyak telah memenangi perlawanan
Lebih banyak larian bawa perbezaan pada prestasi pasukan?
LONDON: Banyak yang telah diperkatakan tentang data larian minggu ini, termasuk data mengejutkan yang mendedahkan Chelsea telah dikalahkan dari segi jarak larian dalam setiap perlawanan Liga Perdana England (EPL) musim ini.
Selepas Everton merekodkan jarak larian lebih 6 kilometer berbanding Chelsea dalam kemenangan 3-0 ke atas kelab tersebut, mungkin ada yang membuat kesimpulan mudah bahawa sebab utama prestasi Chelsea musim ini lemah adalah kerana mereka kurang berlari.
Namun, sejauh manakah kesimpulan ini adil?
Sebanyak 309 perlawanan EPL telah dimainkan setakat ini dalam kempen 2025-26.
Dalam 48 peratus daripada perlawanan tersebut, pasukan yang merekod jarak larian lebih banyak telah memenangi perlawanan.
Menariknya, ini bermakna pasukan yang lebih banyak berlari telah kehilangan mata dalam lebih banyak perlawanan, berbanding kemenangan yang diraih.
Namun, hanya dalam satu perempat perlawanan – 78 daripada 309 – kemenangan berpihak kepada pasukan yang merekod jarak larian paling sedikit, manakala baki 84 perlawanan berakhir dengan seri.
Walaupun terdapat kritikan terhadap prestasi mereka dalam perlawanan dengan Everton pada 21 Mac, keputusan Chelsea musim ini kelihatan jauh lebih baik berbanding pasukan EPL lain yang turut mengambil pendekatan serupa yang kurang aktif.
Kelab yang dikenali sebagai The Blues itu telah memenangi 42 peratus perlawanan meskipun dikalahkan dari segi jarak larian dalam setiap perlawanan – peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding purata liga.
Data larian itu menunjukkan pasukan yang lebih banyak berlari daripada pasukan lawan lebih berkemungkinan akan menang – namun, data itu tidak teratur dan sebarang corak yang wujud perlu dinilai mengikut konteks.
Chelsea berada di tangga terbawah dari segi jarak larian, manakala dua kelab lain yang berada dalam kedudukan enam teratas EPL – Liverpool dan Aston Villa – turut menduduki kedudukan lima tercorot dalam senarai data larian yang sama.
Leeds United, yang berada di tangga kedua dari segi jarak larian, pula sedang bertarung untuk kekal dalam liga di kedudukan ke-15.
Manakala Liverpool pula berada di tangga ke-16 dari segi jarak larian musim lalu (2025), namun berjaya menjuarai liga.
Data larian berguna untuk memberi gambaran lebih jelas mengenai sesebuah perlawanan, namun, kebergantungan kepada data itu sahaja tidak cukup bagi meramal kekerapan kemenangan sesebuah pasukan dengan tepat.
Bagaimanapun, data itu berguna dalam memahami gaya permainan sesebuah pasukan.
Ia menunjukkan bahawa apabila gaya permainan sesebuah pasukan selari dengan kemahiran pemainnya, pasukan tersebut lebih berkemungkinan akan menang – tanpa mengira jarak larian semata-mata.
Contoh yang baik ialah kemenangan Nottingham Forest menumpaskan Tottenham Hotspur 3-0 meskipun berlari sekitar 5 kilometer kurang dalam perlawanan pada 22 Mac.
Forest menampilkan prestasi hebat musim lalu – terkeluar daripada saingan Liga Juara-Juara hanya dengan perbezaan satu mata – dengan mempamer gaya serangan balas yang sesuai dengan kekuatan pemain mereka.
Mereka kembali menggunakan pendekatan sama menentang Spurs dalam perlawanan baru-baru ini, memilih saat tepat untuk menumpukan tenaga dan membuat serangan pantas di kawasan kotak penalti apabila ruang terbuka.
Aston Villa mencatat peratusan kemenangan terbaik dalam kalangan pasukan yang dikalahkan dari segi jarak larian dalam EPL musim ini dengan kemenangan 52 peratus.
Pada Mei 2025, bekas pengurus Chelsea, Enzo Maresca, mengakui kelemahan pasukannya dalam peralihan permainan, yang menjelaskan mengapa Chelsea mungkin secara sengaja kurang berlari – terutama pada awal musim.
Mengarahkan pasukannya bermain lebih perlahan sambil menguasai bola akan mengurangkan risiko kehilangan bola dan terdedah pada serangan balas, justeru mengurangkan keperluan Chelsea untuk berlari jarak jauh.
Bermain dengan tempo lebih perlahan mungkin membantu pemain Chelsea menyimpan tenaga semasa perlawanan, sebelum melakukan tekanan lebih agresif dalam tempoh singkat.
Musim ini, Manchester City mendahului kedudukan dari segi purata jarak larian setiap perlawanan EPL.
Walaupun ini kelihatan sebagai sesuatu yang positif, selepas kemenangan 3-0 ke atas West Ham awal musim ini, Pep Guardiola berkata:
“Saya suka (dengan kadar larian kami), musim lalu kami tidak begitu. Namun ia tidak cukup, kami perlu bermain lebih baik supaya kami boleh kurang berlari.”
Guardiola kelihatan gembira dengan peningkatan komitmen pasukannya, namun, beliau mungkin ingin pasukannya bermain dengan lebih terkawal berbanding gaya serangan balas yang terlalu terbuka.
Bekas jurulatih, Borussia Dortmund dan Liverpool, Juergen Klopp, pernah berkata:
“Ia (larian) bukan perangkaan paling penting tetapi saya suka apabila mendapat tahu bahawa kami lari lebih banyak daripada pasukan lawan.
“Anda dihormati jika melakukan ini dan anda mempunyai lebih banyak peluang untuk berjaya.”
Seperti yang terbukti, bola sepak lebih daripada sekadar angka – namun tetap ada kepuasan tersendiri apabila mengetahui pasukan anda telah berjuang habis-habisan di atas padang. – Agensi berita.

