SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Khairullah Abdullah diingati sebagai jurulatih bola sepak bijak, sabar dan suka bantu pemain muda

Khairullah Abdullah diingati sebagai jurulatih bola sepak bijak, sabar dan suka bantu pemain muda

Bekas jurulatih penjaga gawang pasukan bola sepak nasional meninggal dunia pada malam Raya
Mar 29, 2026 | 12:37 PM

Khairullah Abdullah diingati sebagai jurulatih bola sepak bijak, sabar dan suka bantu pemain muda

Khairullah Abdullah, jasa diingati, meninggal dunia, jurulatih penjaga gawang skuad nasional
Bekas jurulatih penjaga gawang nasional, Khairullah Abdullah, meninggal dunia pada malam Hari Raya Aidilfitri (20 Mac) di rumahnya di Sengkang pada usia 80 tahun. - Foto fail

Sumbangan Khairullah Abdullah sebagai penjaga gawang tidak berakhir selepas beliau mengakhiri kerjaya sebagai pemain.

Allahyarham Khairullah pernah menjadi pembimbing kepada penjaga gawang pasukan nasional seperti David Lee, Bashir Khan dan Abdul Malek.

Malah, melebihi sumbangannya sebagai jurulatih penjaga gawang, Allahyarham juga diingati kerana peranannya sebagai mentor kepada pemain muda pada satu masa dahulu, termasuk Fandi Ahmad, Zulkifli Kartoyoho dan Abdullah Noor.

Justeru, walaupun kebanyakan jasanya dicurah di balik tabir, pemergiannya pada malam Hari Raya Aidilfitri amat dirasai bukan sahaja di kalangan keluarga terdekat, malah bekas rakan sepasukan bola sepak nasional dan pemain lebih muda yang pernah dibimbingnya.

Allahyarham Khairullah meninggal dunia di rumahnya di Sengkang pada 20 Mac akibat kegagalan pelbagai organ termasuk ginjal. Beliau berusia 80 tahun.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), anak sulungnya, Khairil Anwari Khairullah, 53 tahun, berkata bapanya telah dirawat di Hospital Besar Sengkang sejak awal Februari dan hanya pulang ke rumah pada 19 Mac.

Bekas pemain bola sepak nasional seperti Fandi dan Bashir yang melawat bapanya di hospital semuanya memberitahu beliau bahawa bapanya seorang yang peramah, sangat berpengetahuan dan baik hati, kata Khairil, berkongsi dengan wajah yang tenang.

Sebenarnya Khairil, anak sulung antara lima beradik itu begitu faham dengan sifat yang dimiliki ayahnya itu. Beliau telah melihat sendiri kecekalan dan cinta yang mendalam arwah ayahnya terhadap bola sepak ketika mendewasa.

Arwah ayahnya, kata Khairil, tidak berpendidikan tinggi dan terpaksa mengimbangi komitmen bekerja sepenuh masa di kilang Canon dengan peranan sebagai jurulatih penjaga gawang di pelbagai kelab selama bertahun-tahun.

Gajinya di Canon serta elaun sebagai jurulatih ketika itu tidak begitu besar, kata Khairil. Namun ayahnya itu jarang mengeluh dan tidak pernah menunjukkan rasa jemu.

Malah, beliau jarang tidak memenuhi tuntutan jadual harian yang bermula di kilang dari 8 pagi hingga 5 petang sebelum disambung di padang bola sepak pada sebelah malam.

“Beliau benar-benar mencintai bola sepak dan membuat banyak pengorbanan. Saya ingat beliau kadangkala mengambil cuti daripada kerja untuk menghadiri latihan atau menyertai kejohanan di luar negara, termasuk Piala Malaysia,” tambahnya.

Selain menemani arwah ayahnya ke sesi latihan atau perlawanan, Khairil juga masih ingat bagaimana ayahnya memberikan ‘latihan’ tambahan kepada beberapa penjaga gawang nasional pada tahun 1980-an, dengan menggunakan Subbuteo (permainan bola sepak meja).

Khairil akur, komitmen ayahnya kepada bola sepak bermakna beliau mungkin tidak dapat meluangkan masa sebagaimana yang diharap bersama ayahnya. Tapi beliau mengerti, kata Khairil.

“Kami jarang bertemu dengan ayah kami ketika itu, tetapi beliau tetap meluangkan apa sahaja masa lapang untuk bersama kami. Beliau juga tidak pernah melupakan tanggungjawab menyara kehidupan kami sekeluarga,” ujar Khairil lagi.

Jurulatih serba upaya dan penuh komitmen

Allahyarham Khairullah memiliki Sijil Kejurulatihan Lanjutan yang dianugerahkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) dan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Beliau merupakan antara tokoh utama yang melatih penjaga gawang pasukan nasional dari sekitar 1988 hingga 1993. Antara penjaga gawang yang pernah dilatihnya termasuk David Lee, Bashir Khan, Abdul Malek dan Eswaramoorthy Pillay.

Allahyarham Khairullah Abdullah (duduk, tiga dari kanan), pernah menjadi jurulatih penjaga gawang pasukan nasional.
Allahyarham Khairullah Abdullah (duduk, tiga dari kanan), pernah menjadi jurulatih penjaga gawang pasukan nasional. - Foto KHAIRIL ANWARI

Beliau pernah berkhidmat di bawah empat ketua jurulatih nasional, iaitu Jita Singh, Robin Chan, Milous Kvacek dan P N Sivaji.

Peminat bola sepak setempat yang mengikuti perkembangan bola sepak pada tahun 1970-an pasti mengingati tempoh singkat dua tahun apabila Allahyarham Khairullah menyertai pasukan nasional sebagai pemain pada 1972-73, serta penglibatannya dengan pasukan Melayu Singapura dan Geylang International FC.

Allahyarham Khairullah Abdullah (duduk, kanan) juga pernah menjadi jurulatih penjaga gawang di Tiong Bahru United FC pada tahun 1990-an, yang kini dikenali sebagai Tanjong Pagar United.
Allahyarham Khairullah Abdullah (duduk, kanan) juga pernah menjadi jurulatih penjaga gawang di Tiong Bahru United FC pada tahun 1990-an, yang kini dikenali sebagai Tanjong Pagar United. - Foto KHAIRIL ANWARI

Selain itu, beliau turut menyertai kelab-kelab tempatan seperti Newton Knights, Fathul Karib dan Guthrie.

Menurut Fandi, Allahyarham Khairullah merupakan insan yang baik hati, rajin serta menasihati dan menjaga beliau dan pemain muda yang lain.
Menurut Fandi, Allahyarham Khairullah merupakan insan yang baik hati, rajin serta menasihati dan menjaga beliau dan pemain muda yang lain. - Foto KHAIRIL ANWARI

Apabila dihubungi BH, Fandi berkata beliau mengenali Allahyarham sejak beliau baru berusia 16 tahun dan mempunyai banyak kenangan manis di samping Allahyarham semasa mewakili Guthrie, pasukan Melayu Singapura dan pasukan nasional.

Fandi menyifatkan Allahyarham sebagai seorang mentor yang baik hati dan dihormati.

“Kami sangat rapat. Saya biasanya paling muda dalam pasukan, dan beliau membimbing saya dan pemain muda yang lain, terutama apabila kami pergi ke luar negara… Beliau juga rapat dengan ayah saya (Allahyarham Ahmad Wartam).

“Beliau sering memberi nasihat kepada pemain-pemain muda supaya kekal fokus, namun beliau juga sangat suka berjenaka. Kami amat bersyukur atas kehadirannya,” kata Fandi.

Bekas jurulatih penjaga gawang nasional, Allahyarham Khairullah Abdullah (berdiri, kanan), pernah bermain dan membimbing bekas pemain bola sepak nasional, termasuk Fandi Ahmad (depan, lima dari kanan). Ini semasa mereka bersama pasukan Melayu Singapura, Guthrie dan Geylang International FC.
Bekas jurulatih penjaga gawang nasional, Allahyarham Khairullah Abdullah (berdiri, kanan), pernah bermain dan membimbing bekas pemain bola sepak nasional, termasuk Fandi Ahmad (depan, lima dari kanan). Ini semasa mereka bersama pasukan Melayu Singapura, Guthrie dan Geylang International FC. - Foto FANDI AHMAD / KHAIRIL ANWARI

Bekas penjaga gawang nasional, Bashir Khan, juga berpeluang bekerjasama dengan Allahyarham.

Bekas jurulatih penjaga gawang nasional, Allahyarham Khairullah Abdullah (empat dari kanan), membawa bekas penjaga gawang, Bashir Khan (tiga dari kanan), dan pemain lain menunaikan ibadah umrah ketika berada di Arab Saudi bersama pasukan nasional.
Bekas jurulatih penjaga gawang nasional, Allahyarham Khairullah Abdullah (empat dari kanan), membawa bekas penjaga gawang, Bashir Khan (tiga dari kanan), dan pemain lain menunaikan ibadah umrah ketika berada di Arab Saudi bersama pasukan nasional. - Foto BASHIR KHAN

“Pengetahuan beliau sangat luas dan beliau rajin mengadakan latihan tambahan untuk kami,” katanya.

Namun, kenangan paling istimewa bagi Bashir ialah apabila Allahyarham membawa beliau dan beberapa pemain lain menunaikan umrah semasa pasukan Pra-Olimpik nasional mengadakan perlawanan persahabatan di Arab Saudi.

“Susah nak lupakan jasanya,” kata Bashir.

Menjawab pertanyaan BH, Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berkata ia amat berdukacita menerima berita mengenai pemergian Allahyarham Khairullah yang disifatkan sebagai “bekas jurulatih dan anggota barisan yang menyokong pasukan nasional”.

“Beliau merupakan sebahagian daripada generasi yang telah menyumbang kepada asas pembangunan bola sepak Singapura, dengan komitmen tinggi dalam membangunkan pemain serta menyokong struktur pasukan nasional.”

“Usaha beliau, bersama ramai lagi yang berkhidmat di belakang tabir, telah memainkan peranan penting dalam membentuk kemajuan pasukan nasional kita,” tambah jurucakap FAS.

“Kami ingin menyampaikan ucapan takziah yang teramat kepada keluarga dan insan tersayang pada waktu yang sukar ini.”

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg