Topic followed successfully
Go to BHkuKebangkitan bintang baru England, Elliot Anderson
Kebangkitan bintang baru England, Elliot Anderson
Pemain tengah Nottingham Forest antara aset penting pengurus pasukan kebangsaan Thomas Tuchel
Kebangkitan bintang baru England, Elliot Anderson
LONDON: Elliot Anderson pernah membantu Bristol Rovers mendapatkan promosi liga daripada saingan Liga Dua pada 2022.
Sejak itu, reputasi beliau terus melonjak dan 2026 mungkin bakal menjadi detik penentu buat kerjayanya, dengan Anderson dijangka menjadi bintang tumpuan England bagi Piala Dunia musim panas ini.
Pemain tengah Nottingham Forest itu menjadi pemain penting buat pengurus pasukan kebangsaan England, Thomas Tuchel, dengan diturunkan dalam lima daripada tujuh perlawanan terakhir – hanya tiga tahun selepas beliau menyertai skuad Scotland.
Dalam perlawanan persahabatan terakhir sebelum Piala Dunia, beliau telah beraksi dalam pasukan England menentang Jepun di Stadium Wembley pada 31 Mac.
Pemain Brighton, Kaoru Mitoma, menyempurnakan serangan balas pantas pada minit ke-23 untuk memberi kemenangan 1-0 buat Jepun, sekali gus menjadikan mereka pasukan Asia pertama yang berjaya menewaskan England.
Anderson merupakan antara segelintir pemain England yang tampil menyerlah, malah hampir menyamai kedudukan menerusi satu rembatan melencong yang terkena palang gol.
Prestasi pasukan jelas tidak berada di tahap terbaik tanpa kehadiran penjaring terbanyak sepanjang zaman, Harry Kane, akibat kecederaan semasa latihan.
Namun, Anderson sekurang-kurangnya membuktikan sebab beliau layak membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan pertama Piala Dunia menentang Croatia pada Jun nanti.
Antara bintang berprestasi tinggi EPL
Pada usia muda 23 tahun, Anderson telah layak mewakili Scotland kerana neneknya berasal dari Glasgow.
Beliau juga pernah dipanggil oleh Steve Clarke untuk aksi kelayakan Euro 2024 menentang Cyprus.
Namun, kecederaan memaksanya menarik diri sebelum beliau akhirnya memilih untuk menyarung jersi England.
Keputusan tersebut membuahkan hasil apabila beliau berjaya membantu skuad kebangsaan yang dikenali sebagai The Three Lions itu menjuarai Kejohanan Bawah 21 Tahun Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (Uefa) U21 pada musim panas lalu.
Meskipun bintang Liverpool, Harvey Elliott, dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan tersebut dengan rekod enam gol, Anderson tetap mencuri tumpuan sehingga terpilih dalam kesebelasan terbaik.
Gandingan mantapnya bersama pemain Bournemouth, Alex Scott, menjadi tunjang kekuatan bahagian tengah pasukan.
Kelincahan dan larian tanpa henti pemain Forest itu amat menyerlah, terutamanya ketika kemenangan 3-1 ke atas Sepanyol di peringkat suku akhir Uefa U21.
Sepakan penalti beliau pada masa kecederaan memudahkan laluan England ke separuh akhir untuk menewaskan Belanda 2-1, sebelum mereka berjaya mempertahankan kejuaraan di Stadium Negara Bratislava, Slovakia.
Musim panas tersebut memberi ruang kepada Anderson untuk mengekalkan prestasinya di tengah-tengah kemelut yang melanda Forest.
Meskipun kelab itu telah melalui pertukaran empat pengurus dan kini berada di kedudukan ke-16 Liga Perdana England (EPL) serta sedang bergelut di zon penyingkiran, Anderson kekal sebagai pemain yang menunjukkan prestasi konsisten.
Dalam kemenangan penting 3-0 di tempat lawan menentang Tottenham Hotspur yang meletakkan Forest tiga mata di atas zon penyingkiran, Anderson menunjukkan prestasi terbaik berbanding rakan sepasukannya.
Beliau mencipta peluang paling banyak (tiga), melengkapkan hantaran terbanyak (38), menguasai bola paling kerap (sembilan), dan melakukan rebutan bola atau ‘tackle’ paling banyak (enam).
Semangat untuk terus perbaiki prestasi
Barisan kakitangan kelab jelas kagum dengan komitmennya, dan meskipun prestasinya cukup hebat, beliau masih mencari jalan terbaik untuk meningkatkan prestasi diri serta sumbangannya kepada pasukan melalui perbincangan dengan jurulatih.
Beliau turut dipuji kerana bijak menempatkan diri di atas padang, namun kerajinannya meliputi segenap ruang sering kali memakan diri apabila beliau cepat kepenatan – satu kelebihan yang juga satu titik kelemahan.
Sebagai seorang individu yang menuntut kesempurnaan diri dan daripada rakan sepasukan, beliau mempunyai potensi untuk menjadi pemain serba lengkap.
“Dua tahun ini amat penting bagi saya.
“Sejujurnya, saya rasa saya telah beraksi dengan cukup baik sepanjang berada di sini, sama ada di dalam mahupun di luar padang,” kata Anderson, yang berpindah daripada Newcastle dengan nilai £35 juta (sekitar $59 juta) pada 2024.
“Saya juga telah matang sebagai seorang individu. Saya berterima kasih kepada kelab (Forest) kerana memberi saya platform ini, membenarkan saya turun ke padang dan mempamerkan kemampuan saya.
“Dalam kerjaya seorang pemain, kita tidak tahu di mana kita akan berada.
“Berpindah keluar dari bandar sendiri adalah langkah besar, namun ia sememangnya sesuatu yang perlu saya lakukan dan ia membuahkan hasil yang sangat baik.
“Jadi, saya gembira mengambil langkah tersebut.”
Prestasi cemerlangnya itu secara tidak langsung mengundang spekulasi mengenai masa depannya bersama Forest.
Ini kerana Manchester City dipercayai mendahului persaingan bagi menandatangani beliau bagi musim panas akan datang.
“Sejujurnya buat masa ini, saya hanya beri tumpuan kepada bola sepak, beraksi dengan baik dan cuba usaha sebaik mungkin buat Nottingham Forest,” tambah Anderson.
“Hanya itu sahaja yang ada dalam fikiran saya.”
Pencapaian lalu, harapan masa depan
Musim ini, Anderson mencatatkan jumlah hantaran kelima terbanyak dalam EPL dengan 2,002 hantaran – pada kadar kejayaan 85.8 peratus – iaitu hampir 200 hantaran lebih banyak berbanding pemain keenam dalam senarai, Dominik Szoboszlai (Liverpool).
Beliau juga merupakan pemain yang paling kerap merampas semula bola daripada pihak lawan dalam liga tersebut, iaitu sebanyak 259 kali.
Selain itu, beliau paling banyak memenangi perebutan bola di padang (195 daripada 359 cubaan).
Dari segi larian dengan bola, Anderson telah mencatatkan jarak sejauh 5,406.5 meter, menyusul di belakang Jan Paul van Hecke (Brighton), Declan Rice (Arsenal), Pedro Neto (Chelsea), dan Ryan Gravenberch (Liverpool) bagi musim ini.
Melihat kepada pencapaian tersebut, tidak hairanlah bekas pemain tengah Stoke City, Glenn Whelan, yakin bahawa Anderson mampu melangkah lebih jauh.
“Anda baru sahaja melihat sebahagian kecil kemampuannya di pentas England, tetapi beliau sebenarnya boleh mencapai tahap lebih tinggi.
“Saya melihat beliau bakal meraih kejayaan besar bersama England dan menjadi tonggak utama pasukan untuk bertahun-tahun lamanya,” kata Whelan kepada media. – Agensi berita.
“
“Saya juga telah matang sebagai seorang individu. Saya berterima kasih kepada kelab (Forest) kerana memberi saya platform ini, membenarkan saya turun ke padang dan mempamerkan kemampuan saya. Sejujurnya buat masa ini, saya hanya beri tumpuan kepada bola sepak, beraksi dengan baik dan cuba usaha sebaik mungkin buat Nottingham Forest. Hanya itu sahaja yang ada dalam fikiran saya.”
