Topic followed successfully
Go to BHkuJaringan Rasaq benam Stags, beri keuntungan buat Albirex, Sailors
Jaringan Rasaq benam Stags, beri keuntungan buat Albirex, Sailors
Keputusan di Stadium Jurong East itu kekalahan pertama Tampines
Jaringan Rasaq benam Stags, beri keuntungan buat Albirex, Sailors
Jaringan pada minit ke-86 oleh pemain penyerang, Abdul Rasaq, terbukti menjadi ‘bonus berganda’ buat kedua-dua kelabnya, Albirex Niigata dan Lion City Sailors, pada 4 April.
Penyerang warga Singapura itu, yang dipinjamkan kepada Albirex daripada Sailors, memberi suntikan semangat besar buat kelab asalnya apabila beliau menjaringkan gol kemenangan penentu dalam aksi kebangkitan Albirex menewaskan BG Tampines Rovers 3-2.
Keputusan di Stadium Jurong East itu merupakan kekalahan pertama Tampines yang juga dikenali sebagai ‘The Stags’, dalam saingan Liga Perdana Singapura (SPL) musim ini selepas melalui 14 perlawanan, dengan baki tujuh lagi aksi.
Sailors – yang telah bermain jumlah perlawanan sama dengan Tampines setakat 4 April – berpeluang melebarkan jurang kepada lapan mata di persada liga apabila mereka dijadual menentang pasukan tercorot SPL, Tanjong Pagar United, pada 6 April.
Apabila ditanya perasaannya membantu kelab asalnya (Sailors), Rasaq berkata perkara itu tidak terlintas langsung di fikirannya.
“Sejujurnya, saya hanya beri tumpuan untuk bermain dan memberikan yang terbaik buat Albirex Niigata,” kata pemain berusia 24 tahun itu, yang berpindah ke Albirex pada Januari lalu bagi mendapatkan lebih masa permainan selepas hanya mendapat tiga penampilan bersama Sailors musim ini.
“Saya rasa kami (Albirex) juga masih dalam persaingan (perebutan takhta), walaupun dalam beberapa perlawanan terakhir kami tersasar sedikit.
“Tetapi ia bukan satu masalah, kami kekal fokus dan masih mempunyai sasaran sama, dan kami akan terus berusaha kerana kita tidak tahu apa yang boleh berlaku.”
Kemenangan Albirex itu meletakkan pasukan tersebut hanya empat mata di belakang Tampines, meskipun masih dipisahkan dengan jurang sembilan mata daripada Sailors.
Rasaq, yang meraikan jaringan ketiganya musim ini dengan tarian di depan penyokong, mengakui beliau teruja dapat kembali beraksi dan bertekad tidak mensia-siakan kepercayaan Albirex terhadapnya dengan menjaringkan lebih banyak gol.
“Matlamat saya di sini adalah untuk membantu Albirex dan mendapatkan lebih banyak masa di atas padang. Saya gembira dapat melakukannya hari ini, tetapi ia masih belum cukup bagi saya.
“Saya perlu terus perbaiki diri. Saya perlu berusaha gigih setiap hari dalam setiap sesi latihan dan berharap kami dapat mencapai sasaran pasukan pada penghujung musim nanti.
“Secara peribadi, saya mahu terus bermain selama 90 minit, ia sangat penting bagi saya dan saya sangat berterima kasih kepada Albirex atas peluang ini. Saya hanya mampu membalasnya di atas padang.”
Ketua jurulatih Albirex, Keiji Shigetomi, memuji penyerang muda itu atas kegigihannya.
“Rasaq bekerja keras selama 90 minit, sama ada ketika menguasai bola atau sebaliknya, dan beliau layak kekal di atas padang dan menjaringkan gol tersebut.”
Menyusuli kemenangan yang menaikkan semangat itu, jurulatih asal Jepun itu menambah:
“Kami ada baki tujuh perlawanan lagi. Kami perlu percaya kepada diri sendiri bahawa kami mampu bersaing (merebut kejuaraan) dan akan terus bekerja keras.”
Aksi di padang sendiri itu pada mulanya tampak suram buat tuan rumah, Albirex, apabila mereka ketinggalan 0-2 selepas hanya tujuh minit perlawanan.
Tampines mendahului pada minit keempat menerusi gol jarak dekat Trent Buhagiar hasil hantaran pemain pertahanan kiri, Takeshi Yoshimoto.
Tiga minit kemudian, Buhagiar pula memainkan peranan apabila hantarannya dari sebelah kanan diselesaikan oleh penyerang Jepun, Hide Higashikawa.
Albirex merapatkan jurang menerusi sepakan penalti pada minit ke-39 melalui Yang Hyeon-ju, selepas pengadil mengesan kekasaran terhadap Katsuyuki Ishibashi di dalam kotak penalti.
Albirex kemudian memperoleh gol penyamaan pada minit ke-60, apabila kekeliruan di barisan pertahanan lawan membolehkan Shingo Nakano menjaringkan bola menewaskan penjaga gol Stags, Syazwan Buhari.
Rasaq kemudian mengambil kesempatan daripada kelemahan benteng pertahanan pada minit ke-86.
Barisan pertahanan Stags gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti selepas rembatan jarak jauh Ishibashi diselamatkan.
Beliau yang berada di posisi tepat pantas menanduk masuk bola selepas Syazwan hanya mampu menepis percubaan pertamanya.

