Topic followed successfully
Go to BHkuWalau sukar, pemain Geylang International buktikan mampu kejar kejayaan di dalam dan luar padang
Walau sukar, pemain Geylang International buktikan mampu kejar kejayaan di dalam dan luar padang
Sokongan keluarga jadi pendorong semangat teruskan cita-cita
Walau sukar, pemain Geylang International buktikan mampu kejar kejayaan di dalam dan luar padang
Selepas melalui hari panjang di sekolah, menyiapkan tugasan dan menghadiri latihan, kebanyakan pelajar biasanya menantikan masa untuk berehat bersama rakan sebelum pulang ke rumah.
Namun, bagi seorang pemain bola sepak yang bercita-cita tinggi, harinya baru bermula.
Sebagai antara pemain yang mengimbangi tuntutan pendidikan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ di Institusi Raffles (RI) dengan jadual latihan intensif, Ahmad Munthaha sering terpaksa menolak sesi lepak bersama rakan demi kekal komited terhadap dua impiannya – cemerlang di dalam dan luar padang.
Tekanan peperiksaan GCE ‘A’ ditambah dengan sehingga lapan sesi latihan seminggu, kedua-dua tuntutan itu benar-benar menguji ketahanannya.
Keletihan mula dirasai, prestasi akademiknya merosot, dan yang lebih membimbangkan, beliau mula kehilangan rasa cinta terhadap bola sepak, sesuatu yang sebelum ini sangat bermakna dalam hidupnya.
Namun, di sebalik tempoh sukar itu, Ahmad menemui sesuatu lebih berharga daripada sekadar keputusan – beliau belajar untuk memberi ruang kepada diri sendiri, menerima kesilapan dan untuk berasa lebih belas ihsan terhadap diri sendiri.
Dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarganya, anak bongsu tiga beradik itu bangkit semula.
Ayahnya, Encik Duta Hadi Sriwaluya, 53 tahun, yang bertugus sebagai Pengurus Program Teknikal dan ibunya, Cik Wang Imade Ayu Putranti, 47 tahun, seorang suri rumah, kekal memberinya sokongan melalui detik-detik sukar tersebut.
Pada 2026, Ahmad, 19 tahun, mencapai sesuatu yang tidak dijangka.
Beliau menandatangani kontrak profesional selama setahun bersama Geylang International, di samping meraih keputusan peringkat GCE ‘A’ yang membanggakan.
Beliau berjaya peroleh tiga gred ‘A’ dan satu gred ‘B’ untuk peringkat GCE ‘A’ nya.
Perjalanan Ahmad dalam dunia bola sepak bermula sejak usia muda.
Sejak kecil, beliau sering dibawa ibu bapanya bermain bola sepak bersama rakan keluarga setiap hujung minggu, satu rutin yang akhirnya menanam minat mendalam terhadap sukan itu.
Langkah awalnya dalam suasana kompetitif bermula melalui kejohanan seperti Piala Okto, sebelum beliau terus menyerlah di Sekolah Rendah Tampines North.
Di situ, beliau bukan sahaja menjadi pemain utama, malah diberi tanggungjawab sebagai kapten pasukan, pengalaman yang membentuk keyakinan dan kepimpinan dalam dirinya.
Perkembangannya diteruskan melalui platform pembangunan seperti ActiveSG, Liga Bola Sepak Junior (JSSL) seterusnya Tampines Rovers, di mana beliau mula mengasah bakat dengan lebih serius.
Satu detik penting dalam hidupnya tiba ketika di darjah enam, apabila beliau terpilih mewakili Singapura dalam satu kejohanan di China, walaupun pada masa sama perlu membuat persediaan untuk Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).
“Kami siap bawa buku untuk belajar bersama. Jurulatih pun bantu kami,” ceritanya.
Pengalaman antarabangsa itu membuka matanya terhadap tahap permainan lebih tinggi, sekali gus menyuntik keyakinan untuk terus mengejar impian sebagai pemain profesional.
Kemudian, ketika beliau di menengah tiga, beliau dipilih untuk menyertai Piala Belia Bayern.
Melalui peluang ini, beliau berlatih bersama sistem pembangunan Bayern dan berpeluang ke Jerman, berdepan dengan pasukan dari negara seperti Jepun dan Nigeria, satu pengalaman berharga yang menguji serta mematangkan dirinya.
“Ia buat saya sedar banyak lagi yang perlu diperbaiki. Dari situ saya jadi lebih bersemangat untuk berjaya,” katanya.
Walaupun jadualnya padat, Ahmad tetap berusaha mencari keseimbangan dalam kehidupan. Baginya, kunci utama bukanlah untuk melakukan semuanya dengan sempurna, tetapi untuk memahami keutamaan.
“Saya tak cuba buat semua benda 100 peratus serentak. Saya utamakan apa yang penting pada waktu itu,” katanya.
Pengorbanan tetap perlu dilakukan, terutama dari segi kehidupan sosial.
“Ada masa kawan ajak keluar, tapi saya kena tolak sebab ada kerja sekolah atau latihan. Memang rasa terlepas, tapi saya tahu apa yang saya kejar,” ujarnya.
Namun, beliau bersyukur kerana dikelilingi individu yang memahami – sama ada rakan sepasukan mahupun rakan sekolah.
“Mereka faham komitmen saya. Ini sangat membantu,” katanya.
Segala usaha dan pengorbanannya akhirnya membuahkan hasil apabila beliau membuat penampilan sulung bersama Geylang International dalam kejohanan Piala Singapura.
Walaupun hanya beraksi sebagai pemain gantian, detik itu cukup bermakna.
“Saya rasa itu langkah pertama ke arah bola sepak profesional. Tapi saya tahu ini baru permulaan,” katanya.
Kini, selain meneruskan kerjaya bola sepak, Ahmad juga menyimpan cita-cita besar dalam bidang akademik, untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan.
Kini beliau telah menghantar permohonan ke universiti dan menantikan keputusannya.
“Dari kecil saya memang minat nak jadi doktor. Saya nak bantu orang,” katanya.
Dengan impian untuk suatu hari nanti menyarung jersi kebangsaan, beliau terus berpegang kepada satu prinsip – percaya kepada proses dan tidak mudah berputus asa.
Malah beliau melihat pemain kebangsaan, Glenn Kweh, sebagai teladan sebagai pelajar-atlet dan berharap dapat bermain di sampingnya pada masa hadapan.
“Sesiapa sahaja yang ingin bermain secara profesional berhasrat untuk bermain untuk negara,” katanya.
“Antara pemain yang saya contohi adalah Glenn, yang juga telah mengimbangi pelajaran sebagai pelajar universiti dan juga pemain bola sepak profesional.”

