SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ijazah dalam genggaman, pemain sayap Singa kini tumpu tingkat prestasi bola sepak

Ijazah dalam genggaman, pemain sayap Singa kini tumpu tingkat prestasi bola sepak

Harungi cabaran imbangi pelajaran dan sukan sebelum ini, Glenn Kweh, kini antara pemain penting skuad nasional yang akan beraksi di Piala Asia 2027
Mar 30, 2026 | 5:30 AM

Ijazah dalam genggaman, pemain sayap Singa kini tumpu tingkat prestasi bola sepak

Glenn Kweh, bola sepak, skuad Singa
Seawal umur lima tahun, Glenn Kweh, sudah mula bermain, membesar dengan menonton perlawanan bola sepak bersama keluarga, serta mendapat inspirasi daripada ayahnya yang juga peminat setia bola sepak. - Foto ZAOBAO

Sejak kecil lagi, ibu Glenn Kweh, menetapkan satu prinsip yang tegas, iaitu jika pelajarannya tidak mencapai tahap yang diharapkan, maka tiada ruang untuk bola sepak.

Pemain sayap pasukan nasional, Kweh, akur dengan ‘peringatan’ itu.

Beliau berusaha mengimbangi kededuanya – mencapai kecemerlangan dalam pelajaran sambil terus mengejar impiannya menjadi pemain bola sepak profesional.

Perjalanannya dalam dunia bola sepak bermula daripada minat yang dipupuk sejak usia muda.

Seawal umur lima tahun, beliau sudah mula bermain, membesar dengan menonton perlawanan bola sepak bersama keluarga, serta mendapat inspirasi daripada ayahnya yang juga peminat setia bola sepak.

“Saya banyak terpengaruh oleh bapa saya, yang juga seorang peminat bola sepak. Kami akan menonton bola sepak bersama sejak saya kecil,” cerita pemain sayap berusia 26 tahun itu.

Namun beliau berkongsi bahawa beliau hanya bermula bermain secara serius apabila memilih bola sepak sebagai kegiatan kokurikulumnya (CCA) di Sekolah Rendah Yangzheng.

Minat itu kemudian berkembang apabila beliau menyertai Home United pada usia 13 tahun dan seterusnya dipilih menyertai Akademi Bola Sepak Nasional (NFA) pada usia 15 tahun.

Malangnya, perjalanan awalnya tidak semudah yang disangka.

Walaupun mendapat pengiktirafan awal termasuk dicalonkan untuk Anugerah Dollah Kassim pada 2015 dan menjadi kapten pasukan belia Home United serta pemain tetap dalam skuad NFA Bawah 15 Tahun dan 16 Tahun, Kweh membuat keputusan sukar pada usia 16 tahun untuk meninggalkan NFA demi memberi tumpuan pada peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘A’ di Maktab Rendah Victoria.

Keputusan itu bermakna beliau hampir terkeluar daripada radar bola sepak tempatan, mengakibatkan prestasinya sedikit ketinggalan berbanding rakan seusia.

Namun, keputusan untuk menangguhkan bola sepak bukan pengakhiran, sebaliknya langkah strategik, yang katanya membolehkan beliau kembali dengan lebih matang selepas menamatkan Perkhidmatan Negara (NS) dan melanjutkan pelajaran ke Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Mengimbangi akademik dan bola sepak bukan mudah baginya.

Kweh mengakui jadual harian yang padat memberi tekanan mental, terutama ketika berusaha mengekalkan prestasi dalam kededua bidang.

“Ia membuat saya lebih cekal dari segi pemikiran saya dan saya mampu menempuh detik-detik sukar,” ujarnya.

Beliau berkongsi bahawa walaupun letih selepas seharian kelas atau peperiksaan, beliau melihat sesi latihan sebagai cara beliau melepaskan tekanan, bukan satu kerja membebankan.

Selain itu, Kweh mengakui pengorbanan terbesar adalah masa bersama keluarga dan rakan.

Beliau menegaskan bahawa tumpuan kepada akademik dan bola sepak memerlukan disiplin tinggi serta pengurusan masa yang teliti.

“Dalam mengejar kededua keinginan saya ini, mungkin saya terpaksa korbankan masa berharga bersama keluarga dan rakan,” katanya.

Sokongan daripada jurulatih dan keluarga, terutama bapanya, memainkan peranan penting baginya dalam memastikan beliau kekal fokus dan bersemangat.

Beliau kembali ke padang dengan pasukan Young Lions pada 2021, selepas lima tahun tanpa beraksi untuk kelab profesional.

Pada musim 2023, beliau ke Tampines Rovers dan beraksi sebagai pemain pertahanan kiri sebelum kembali ke posisi asalnya sebagai pemain sayap.

Selepas menamatkan pengajian pada Mei 2024 dengan ijazah dalam Pentadbiran Perniagaan, Kweh akhirnya dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada bola sepak profesional.

Kini, beliau merupakan antara pemain yang dipercayai jurulatih skuad negara Gavin Lee, dan memegang peranan penting dalam pasukan itu dan sering menjadi pilihan utama dalam kesebelasan skuad Singa.

Beliau telah membuat 28 penampilan bagi negara, dengan satu bantuan gol dalam kempen kelayakan Piala Asia menentang India pada 14 Oktober – membantu Singa mendapat kemenangan untuk mengekalkan harapan kelayakan pada masa itu.

Pemain sayap Singapura, Glenn Kweh (kanan), memainkan peranan penting buat pasukan Singa dalam kempen kelayakan Piala Asia. Beliau dijangka terus memainkan peranan besar apabila Singa beraksi di Piala Asia di Arab Saudi pada 2027.
Pemain sayap Singapura, Glenn Kweh (kanan), memainkan peranan penting buat pasukan Singa dalam kempen kelayakan Piala Asia. Beliau dijangka terus memainkan peranan besar apabila Singa beraksi di Piala Asia di Arab Saudi pada 2027. - Foto FAS

Salah satu detik paling bermakna dalam kerjayanya adalah apabila membantu pasukan nasional melayakkan diri ke Piala Asia dengan kemenangan 2-1 ke atas Hong Kong pada 18 November.

“Antaranya detik terbaik adalah malam itu di Hong Kong, di mana kami berjaya melayakkan diri ke Piala Asia,” katanya.

Bagi Kweh, kejayaan itu bukan sekadar milik individu, tetapi hasil usaha bersama semua pihak yang menyokongnya sepanjang perjalanan.

Dengan ijazah yang digenggam dan kerjaya bola sepak yang semakin berkembang, Glenn terus menekankan pendekatan langkah demi langkah.

“Saya cuba untuk tidak melihat terlalu jauh… kini saya hanya hadapi satu perkara pada satu masa,” ujarnya.

Satu-satu tumpuannya buat masa sekarang adalah untuk membantu Singa menutup kempen kelayakan Piala Asia menentang Bangladesh pada 31 Mac dengan kemenangan.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg