LONDON: Apabila pemain hebat Bayern Munich, Harry Kane, Michael Olise dan Luis Diaz mula mengancam barisan pertahanan lawan, keputusan perlawanan biasanya sudah boleh dijangka.

Sebut sahaja nama trio tersebut kepada mana-mana pasukan di Jerman, termasuk Atalanta, Real Madrid, atau Paris St-Germain (PSG), mereka pasti mengakui mutu barisan penyerang yang paling digeruni di Eropah ketika ini.

Sejak digandingkan buat kali pertama pada Ogos 2025, gandingan Kane, Diaz dan Olise telah menjaringkan lebih 100 gol dalam semua kejohanan yang disertai Bayern.

Mereka merupakan trio kelima yang berjaya mencecah angka 100 gol sejak abad ke-21.

Kehebatan mereka menjadi faktor utama juara Jerman itu kini mengintai peluang untuk menambah koleksi trofi DFB Pokal atau Piala Jerman.

Namun, di manakah kedudukan mereka jika dibandingkan dengan barisan serangan tiga pemain hebat kelab lain?

Sistem barisan tiga penyerang telah lama menjadi taktik asas dalam sejarah bola sepak.

Namun, taktik ini dilihat semakin menguasai arena bola sepak sejak 15 tahun kebelakangan ini.

Kebangkitan semula sistem ini sebahagian besarnya didorong oleh kejayaan luar biasa Barcelona di bawah kendalian pengurus Pep Guardiola antara 2008 dengan 2012.

Guardiola membantu Barcelona merangkul dua kejuaraan Liga Juara-Juara dan tiga gelaran La Liga menerusi gaya permainan penguasaan bola yang dominan.

Ia merupakan pendekatan unik yang tidak memerlukan seorang penyerang utama – yang lazimnya menyarung jersi nombor sembilan – sebaliknya bergantung kepada kelancaran pemain tengah dan serangan untuk bergerak secara fleksibel.

Pemenang lapan kali Ballon d’Or, Lionel Messi, biasanya diletakkan sebagai penyerang utama, namun beliau kerap ke tengah untuk memancing pertahanan lawan keluar dari posisi mereka.

Cara ini bukan sahaja membuka ruang buat rakan sepasukan, malah membolehkan Barcelona menguasai bahagian tengah dengan lebih mudah.

Hasilnya, lahirlah satu gaya permainan bola sepak sangat lancar dan sukar dihalang, sekali gus menyaksikan Barcelona merangkul 14 trofi sepanjang tempoh Guardiola menerajui kelab tersebut.

Sejak itu, sistem tiga penyerang mula menjadi dominan di Eropah, dengan kelab seperti Real Madrid dan PSG turut menerapkan taktik hampir sama pada tahun-tahun berikutnya.

Namun, di pentas Liga Perdana England (EPL), barisan serangan yang paling serupa dengan sistem Guardiola ialah trio Liverpool yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara dan EPL – Sadio Mane, Roberto Firmino dan Mohamed Salah.

Sepanjang lima musim bersama di Anfield, Firmino bertindak sebagai penyerang tengah dan menggalas tugas sama seperti Messi; beliau bergerak ke tengah untuk menjadi ‘jambatan’ kepada pemain tengah, sekali gus membuka ruang buat Mane dan Salah melakukan larian di belakang pertahanan lawan.

Trio ini dianggap secara meluas sebagai salah satu barisan penyerang terbaik dalam sejarah bola sepak England selepas membantu skuad kendalian Jurgen Klopp merangkul pelbagai kejuaraan utama.

Kini, Bayern Munich menjadi pasukan yang paling dicemburui di seluruh Eropah.

Menerusi pembelian Kane, Olise dan Diaz secara berturut-turut sejak musim panas 2023, kelab Bavaria itu dengan perlahan membina barisan serangan paling berbisa di benua tersebut.

Selepas ketiga-tiga penyerang itu masing-masing menjaringkan gol dalam aksi sengit sembilan gol (4-5) separuh akhir pertama menentang PSG pada 28 April, Bayern muncul sebagai pasukan pertama dalam sejarah Jerman yang mempunyai trio penyerang dengan rekod 100 gol dalam satu musim.

Juara Bundesliga itu pernah hampir mencecah angka tersebut sebelum ini menerusi Gerd Muller, Uli Hoeness dan Willi Hoffman yang menjaringkan keseluruhan 99 gol pada musim 1972-73.

Hakikatnya, pencapaian melebihi 100 gol adalah sesuatu yang amat jarang berlaku.

Sejak musim 2013-14, hanya lima kali sahaja barisan tiga penyerang berjaya mencecah angka 100 gol, dengan tiga daripada rekod tersebut dicipta oleh trio sama.

Bekas trio Barcelona – Messi, Luis Suarez dan Neymar – berada di tahap yang berbeza dari segi jumlah jaringan mahupun mutu serangan. 

Dalam tiga musim berturut-turut, jumlah gol keseluruhan mereka melebihi 100, dengan jaringan 122 gol pada musim 2014-15; 131 gol pada musim 2015-16; dan 111 gol pada 2016-17.

Bekas pemain Barcelona, Lionel Messi, kini bermain untuk Inter Miami.
Bekas pemain Barcelona, Lionel Messi, kini bermain untuk Inter Miami. - Foto AFP
Bekas pemain Barcelona, Neymar, kini bermain untuk kelab Brazil, Santos.
Bekas pemain Barcelona, Neymar, kini bermain untuk kelab Brazil, Santos. - Foto EPA
Bekas pemain Barcelona, Luis Suarez, kini bermain untuk Inter Miami.
Bekas pemain Barcelona, Luis Suarez, kini bermain untuk Inter Miami. - Foto REUTERS

Selain mereka, trio tersohor Real Madrid – Gareth Bale, Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema – turut menjaringkan 100 gol pada musim 2014-15.

Gandingan hebat Liverpool iaitu Salah, Firmino dan Mane pula hampir mencecah bilangan tersebut pada musim 2017-18, namun hanya mampu menamatkan musim dengan 91 gol.

Kini, sejarah kembali berulang dalam dunia bola dengan kemunculan trio 100 gol menerusi gandingan berbisa Bayern – Olise, Kane dan Diaz. – Agensi berita.