Topik diikuti
Pergi ke BHkuPSG atasi Bayern dalam aksi 9 gol
PSG atasi Bayern dalam aksi 9 gol
PSG tewaskan Bayern Munich 5-4 pada separuh akhir pertama Liga Juara-Juara penuh dramatik
PSG atasi Bayern dalam aksi 9 gol
PARIS: Juara bertahan, Paris St Germain (PSG), berjaya menewaskan Bayern Munich 5-4 dalam perlawanan suku akhir pertama Liga Juara-Juara pada 28 April, yang menyaksikan jumlah gol terbanyak pernah direkodkan pada peringkat ini dalam sejarah kejohanan.
Dalam aksi sengit yang diadakan di padang sendiri, PSG bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mendahului 5-2 menerusi dua jaringan masing-masing daripada Khvicha Kvaratskhelia dan Ousmane Dembele.
Namun Bayern tidak menyerah kalah dan berjaya menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit selepas perlawanan berlangsung selama sejam bagi mencerahkan kembali peluang mereka menjelang perlawanan kedua di Allianz Arena, Munich, pada 6 Mei.
Perlawanan di Stadium Parc des Princes, Paris, menyaksikan pertembungan dua pasukan yang mengamalkan corak permainan penuh serangan dalam Liga Juara-Juara musim ini, dan ia ternyata memenuhi jangkaan penonton dengan rentak permainan yang pantas dan berbisa.
Di sebalik kerancakan perlawanan, ketua jurulatih Bayern, Vincent Kompany, sekadar menjadi pemerhati di bangku penonton akibat penggantungan, meninggalkan pembantunya, Aaron Danks, untuk mengendalikan pasukan di tepi padang.
Mengulas perlawanan tersebut, pemain terbaik perlawanan, Dembele berkata:
“Ia adalah pertembungan dua pasukan yang berusaha untuk menyerang.
“Ini adalah separuh akhir Liga Juara-Juara. Kami berpuas hati dengan keputusan ini meskipun pada satu ketika kami mendahului 5-2.
“Kami mengurangkan sedikit intensiti permainan pada penghujung perlawanan. Bayern adalah pasukan elit.
“Ia perlawanan yang luar biasa, dan kini kami akan ke Munich dengan harapan untuk mencatat kemenangan bagi mara ke final.”
Harry Kane menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-17 untuk menewaskan penjaga gol PSG, Matvei Safonov, sekali gus menjadi pemain England pertama yang menjaringkan gol dalam enam perlawanan Liga Juara-Juara berturut-turut.
Kapten pasukan England itu kemudian melakukan hantaran tepat kepada Michael Olise, namun percubaan jarak dekat pemain tersebut berjaya diselamatkan.
Dembele terlepas peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-23 apabila percubaannya melambung jauh dari sasaran meskipun sudah berjaya menembusi benteng lawan.
Khvicha Kvaratskhelia mempamerkan sentuhan jauh lebih kemas melalui gerakan ‘trademark’ beliau sebelum melepaskan rembatan rendah selepas meluru masuk ke arah kotak penalti.
PSG kemudian mendapat sepakan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama, dengan Dembele melakukan rembatan menewaskan Manuel Neuer untuk kembali mendahului kedudukan.
Kelab Perancis itu meneruskan momentum serangan sebaik separuh kedua bermula, dan berjaya melebarkan jurang dua gol menerusi rembatan Kvaratskhelia pada minit ke-56.
Sebelum Bayern sempat bangkit, PSG terus memberi tekanan kepada pihak lawan dua minit kemudian – kali ini menerusi Dembele yang sekali lagi menewaskan Neuer dengan rembatan rendah yang terkena tiang gol sebelum memasuki gawang.
PSG kelihatan bakal memenangi perlawanan dengan jurang mata selesa, namun Bayern enggan menyerah kalah.
Kelab Jerman itu bangkit dan menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit yang dijaringkan oleh Dayot Upamecano pada minit ke-65 dan Luis Diaz pada minit ke-68.
Jaringan tersebut sekali gus mencerahkan peluang mereka menjelang perlawanan kedua di Munich.
Pemain PSG, Senny Mayulu, hampir menambah duka pasukan pelawat namun rembatannya sekadar menggegar palang gol pada minit ke-86, ketika kedua-dua pasukan mengekalkan rentak permainan yang pantas sehingga wisel penamat ditiupkan.
“Walaupun kami kalah, kami telah menunjukkan identiti sebenar pasukan dan kemampuan kami untuk bangkit daripada cabaran,” kata pemain pertahanan Bayern, Jonathan Tah.
“Pada akhirnya, ia hanyalah 1-0 (perbezaan satu gol). Kami tahu kami mampu menang dengan kelebihan dua gol di padang sendiri. Kami yakin dan akan memberikan segala-galanya minggu depan untuk mara ke final.” – Reuters.
