Manchester City melangkah ke final Piala FA di Wembley sebagai pasukan pilihan, namun tekanan yang dipikul skuad kendalian Pep Guardiola itu jauh daripada ringan.

Menjelang aksi 16 Mei itu, City kini hanya dibezakan dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana England (EPL), Arsenal, dengan baki dua perlawanan liga masih perlu diharungi.

Dalam masa yang sama, mereka turut memburu kejuaraan berganda domestik selepas menjulang Piala Liga musim ini.

Bagi Chelsea pula, final ini membawa makna jauh lebih besar daripada sekadar piala – ia ibarat peluang terakhir untuk menyelamatkan musim yang penuh kekecewaan.

Chelsea hampir pasti terlepas peluang melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah dan masih menghadapi cabaran untuk mendapatkan tempat ke kejohanan Eropah musim depan.

Ketika ini, mereka berada di tangga kesembilan liga, dan peluang menjulang Piala FA akan menghadiahkan slot Liga Europa selain memberi sedikit harapan kepada kempen yang penuh dengan kekecewaan.

Prestasi semasa juga jelas memihak kepada City.

Guardiola dan anak buahnya tidak tewas dalam lapan perlawanan terakhir dalam semua pertandingan, manakala Chelsea pula tewas lapan kali dalam 11 aksi terkini mereka.

Malah kemenangan Chelsea kebelakangan ini hanya hadir dalam saingan Piala FA menentang lawan yang dianggap lebih lemah.

Namun, Guardiola tidak memandang rendah keupayaan lawan dan tetap berwaspada.

“Kami perlu bersedia dari segi fizikal dan mental menentang pasukan yang mungkin tidak melalui musim terbaik, tetapi tetap memiliki mutu yang tinggi,” kata beliau selepas kemenangan liga 3-0 mereka ke atas Crystal Palace pada 14 Mei.

“Sudah tentu mereka juga mahu menang, jadi kami perlu memberikan aksi terbaik.”

Namun, rekod pertemuan kedua-dua pasukan turut tidak menyebelahi Chelsea.

Mereka gagal menewaskan City dalam 13 pertemuan berturut-turut sejak kejayaan dalam final Liga Juara-Juara 2021 – satu rekod buruk yang perlu dihentikan jika pasukan itu mahu mengelak satu lagi musim hambar.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu ialah pada April lalu, ketika City membelasah Chelsea 3-0 di Stamford Bridge selepas menguasai separuh kedua perlawanan sepenuhnya.

Apa yang lebih merisaukan Chelsea ialah kemampuan jentera serangan City yang kini semakin sukar dikekang.

Pemain sayap Manchester City, Jeremy Doku (kanan), merupakan antara ancaman utama dalam barisan serangan Manchester City. Kelincahan beliau akan menimbulkan masalah besar bagi barisan pertahanan Chelsea.
Pemain sayap Manchester City, Jeremy Doku (kanan), merupakan antara ancaman utama dalam barisan serangan Manchester City. Kelincahan beliau akan menimbulkan masalah besar bagi barisan pertahanan Chelsea. - Foto AFP

Erling Haaland kembali menemui sentuhan jaringan, manakala pemain sayap dari Belgium, Jeremy Doku, berada dalam prestasi terbaik.

Kelincahan dan kepantasan Doku ketika menyerang dari bahagian sayap boleh menjadi mimpi ngeri buat benteng Chelsea yang kerap goyah musim ini.

Turut menambah ancaman ialah kreativiti Rayan Cherki yang terus konsisten membantu bahagian serangan City.

Bagaimanapun, Guardiola mungkin masih perlu menilai tahap kecergasan beberapa pemain utama.

Rodri, atau nama sebenarnya, Rodrigo Hernández Cascante, dilaporkan masih cedera dan berkemungkinan terlepas aksi final, manakala pemain pertahanan, Abdukodir Khusanov, turut diragui selepas mengalami kecederaan ringan.

Josko Gvardiol pula baru sahaja kembali daripada kecederaan panjang.

Bagi Chelsea pula, situasinya lebih membimbangkan.

Pedro Neto dan Alejandro Garnacho masih belum pasti sempat pulih sepenuhnya untuk diturunkan di Wembley, sementara penjaga gol, Robert Sanchez, masih dalam pemantauan selepas mengalami gegaran otak.

Beberapa pemain muda termasuk Estevao Willian pula diketepikan akibat kecederaan hamstring.

Ramai penyokong Chelsea berpendapat penyerang mereka, Joao Pedro (kiri), merupakan satu-satunya sinar harapan dalam musim yang penuh kekecewaan ini. Ketajaman beliau di hadapan gol akan memainkan peranan besar dalam perlawanan final Piala FA  di Wembley nanti.
Ramai penyokong Chelsea berpendapat penyerang mereka, Joao Pedro (kiri), merupakan satu-satunya sinar harapan dalam musim yang penuh kekecewaan ini. Ketajaman beliau di hadapan gol akan memainkan peranan besar dalam perlawanan final Piala FA di Wembley nanti. - Foto EPA

Dalam keadaan itu, harapan Chelsea banyak bergantung kepada ketangkasan Joao Pedro.

“Saya rasa final akan menjadi perlawanan yang menarik. Kedua-dua pasukan akan turun untuk menang, tetapi harap-harap kami dapat memenangi perlawanan akhir itu,” kata penyerang itu.

Penyerang Brazil tersebut dijangka tidak memperoleh banyak peluang sepanjang perlawanan memandangkan City hampir pasti menguasai sebahagian besar permainan.

Namun, kebolehannya memanfaatkan ruang kecil dan menyudahkan peluang secara klinikal boleh menjadi senjata utama Chelsea untuk menghukum City menerusi serangan balas.

Jurulatih sementara Chelsea, Calum McFarlane, turut memuji penyerangnya.

“Beliau telah melalui musim yang hebat dan bermain di banyak posisi berbeza, tetapi nampaknya beliau sudah benar-benar menyesuaikan diri dalam peranan nombor sembilan itu, dan beliau memiliki segala yang anda mahukan daripada seorang penyerang nombor sembilan bertaraf tinggi,” katanya.

Walaupun final sering membawa unsur kejutan, City tetap dilihat memiliki kelebihan besar dari segi pengalaman, momentum dan mutu skuad.

Tambahan pula, kekalahan mengejut ke atas Crystal Palace dalam final musim lalu masih segar dalam ingatan pemain City dan pastinya menjadi pembakar semangat untuk memastikan piala itu tidak terlepas sekali lagi.

Chelsea mungkin mampu bertahan dan memberikan tentangan sengit, namun jika City bermain pada tahap sebenar mereka, sukar untuk membayangkan Piala FA tidak akan kembali ke tangan Guardiola dan anak didiknya.

Ramalan wartawan: Manchester City 2 Chelsea 0