Topik diikuti
Pergi ke BHkuCity rapatkan jurang mata, harap Arsenal tercicir
City rapatkan jurang mata, harap Arsenal tercicir
Masih ada peluang kejuaraan setelah tewaskan Crystal Palace 3-0
City rapatkan jurang mata, harap Arsenal tercicir
LONDON: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola, berkata pasukannya hanya mampu terus bertahan dalam persaingan dan berharap Arsenal tercicir mata, dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana England (EPL) selepas menewaskan Crystal Palace 3-0 pada 13 Mei.
City menjaringkan gol melalui Antoine Semenyo dan Omar Marmoush, hasil hantaran Phil Foden pada separuh masa pertama di Stadium Etihad.
Savinho kemudian melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga di penghujung permainan, membolehkan City merapatkan jurang kepada dua mata di belakang pendahulu liga, Arsenal.
Dengan kedua-dua pencabar kejuaraan itu masih mempunyai baki dua perlawanan, City masih berpeluang menjulang piala liga ketujuh dalam tempoh sembilan tahun.
Guardiola, yang melakukan beberapa pertukaran dalam kesebelasan utamanya, mengakui pasukannya perlu bekerja keras untuk menundukkan Palace yang tampil penuh disiplin, menjelang aksi final Liga Konferensi Europa Uefa mereka menentang Rayo Vallecano pada 28 Mei.
Kini tumpuan Guardiola beralih kepada aksi final Piala FA menentang Chelsea di Wembley pada 16 Mei.
“Kami hanya cuba terus bertahan sehingga perlawanan liga seterusnya menentang Bournemouth. Sekarang tumpuan kami ialah final,” katanya.
Beliau turut menegaskan, kejuaraan kini berada sepenuhnya di tangan Arsenal kendalian Mikel Arteta, yang memburu kejuaraan liga pertama sejak 2004.
Sekiranya Arsenal berjaya menewaskan Burnley pada 18 Mei, City perlu menundukkan AFC Bournemouth sehari kemudian, untuk memastikan perebutan piala liga itu terus terbuka.
“Semuanya bergantung kepada Arsenal. Jika mereka menang dua lagi perlawanan, tiada apa lagi yang boleh kami lakukan.
“Kami hanya perlu terus berada di belakang, sekiranya mereka tercicir.
“Dua perlawanan terakhir ini amat sukar,” kata Guardiola.
Guardiola yang menyaksikan pasukannya tewas dalam dua final Piala FA sebelum ini, kini memburu kejuaraan berganda domestik selepas City menjuarai Piala Liga awal musim ini.
“Kami amat menghormati Piala FA. Sebelum ini, kami tewas dua kali kerana kami tidak cukup baik. Kali ini kami mahu turun untuk menang,” katanya.
Mengulas kemenangan ke atas Palace itu, Guardiola memuji Foden yang jarang diturunkan dalam kesebelasan utama musim ini, selepas pemain tengah England itu menghasilkan dua bantuan gol.
“Anda perlukan mutu, kreativiti, bakat dan visi. Semua itu tidak boleh dirancang di papan taktikal, dalam mesyuarat, video mahupun sesi latihan,” katanya.
“Foden mampu menerima bola dalam ruang sempit dan mencipta sesuatu yang istimewa. Itulah kelebihan pemain bermutu. Saya sangat gembira dengan prestasi keseluruhannya.”
Foden pula dijangka berdepan cabaran sukar untuk menembusi skuad England kendalian Thomas Tuchel, bagi Piala Dunia Fifa, menyusuli kekurangan minit permainan bersama City musim ini.
Namun buat masa ini, pemain berusia 25 tahun itu hanya mahu membantu City dalam saingan liga, sambil menyifatkan kedalaman skuad Guardiola sebagai faktor penting menjelang penutup musim.
“Memang sangat penting pada tahap musim seperti ini untuk memiliki pemain-pemain yang baru.
“Kami semua teruja untuk bermain dan sudah bersedia.
“Perlawanan ini wajib dimenangi, jadi kami sangat gembira,” katanya.
Foden, yang terpaksa bersabar menunggu peluang musim ini, turut meluahkan kegembiraannya selepas berjaya memberi impak kepada pasukannya.
“Saya gembira dapat menyumbang kepada gol dan membantu pasukan meraih tiga mata, itu yang paling penting.
“Saya juga pernah melalui tempoh sukar untuk mendapatkan tempat dalam pasukan. Itu perkara biasa apabila anda dikelilingi pemain bermutu.
“Anda perlu bersabar, terus bekerja keras dalam latihan, dan apabila peluang tiba, anda mesti memanfaatkannya,” kata beliau. – Agensi berita.
