LONDON: Pengurus Manchester United, Michael Carrick percaya bahawa pertemuan antara kelabnya dengan Liverpool sentiasa menjadi perlawanan tumpuan, meskipun kedua-dua kelab tidak lagi bersaing merebut gelaran Liga Perdana England (EPL) musim ini.

Dua kelab paling berjaya di England itu, masing-masing dengan 20 gelaran liga, bakal berentap di padang United, Old Trafford, pada 3 Mei dengan kedua-dua pasukan berada di landasan kukuh untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara musim depan.

United kini berada di tangga ketiga liga, dengan kelebihan tiga mata di depan Liverpool. 

Kelab yang berada di kedudukan lima teratas dijamin slot ke kejohanan elit Eropah itu musim depan.

Kelab yang dikenali sebagai The Red Devils hanya memerlukan dua mata lagi untuk mengesahkan tempat tersebut.

“Pastinya ia salah satu perlawanan kegemaran saya, tanpa ragu lagi ia adalah satu perlawanan tumpuan,” kata Carrick.

“Terdapat perlawanan besar dan persaingan sengit yang kami hadapi dengan pasukan lain, tetapi perlawanan ini sememangnya berada di tahap berbeza.

“Sejarah, pasang surut yang pernah berlaku dalam perlawanan sebegini, serta keterujaan, hiburan, dan emosi yang menjadi sebahagian besar daripadanya, semua ini menjadikannya perlawanan yang sangat istimewa.

“Apabila saya fikirkan tentang perlawanan ini, perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah semangat persaingan itu sendiri, tanpa mengira kedudukan liga selama ini. Emosi para pemain dan penyokong tidak pernah berubah.

“Dua kelab bola sepak yang luar biasa... untuk memberikan kesan begitu besar dalam tempoh masa tertentu itu adalah sesuatu yang istimewa dan kami semua menghargainya,” tambah Carrick.

Bekas pemain tengah United itu berkata pasukannya telah menunjukkan peningkatan besar sejak musim lalu, di mana mereka menamatkan saingan di tangga ke-15, 42 mata di belakang juara, Liverpool.

“Saya rasa ini mungkin menunjukkan peningkatan kumpulan pemain ini, dan mereka semakin kuat,” kata Carrick.

“Dan untuk melangkah ke perlawanan ini dalam kedudukan yang begitu baik, hasil daripada keputusan yang memberangsangkan, serta cuba untuk mencapai kejayaan dan bergerak ke hadapan.

“Jadi, kami sedar sepenuhnya tentang situasi dalam liga dan betapa sengitnya (perbezaan mata) antara kita. Tetapi itu bukanlah sesuatu yang kami tumpukan menjelang perlawanan ini. Saya rasa ini adalah perlawanan yang unik. Kedudukan liga tetap begitu, tetapi hari Ahad (3 Mei) nanti adalah perlawanan yang berbeza sama sekali.”

Carrick turut menyatakan bahawa kelab “sangat gembira” selepas pemain tengah United, Kobbie Mainoo, menandatangani kontrak baru selama lima tahun pada minggu ini.

Pemain antarabangsa England berusia 21 tahun itu sebelum ini tersisih daripada skuad di bawah bekas pengurus, Ruben Amorim.

Namun, Mainoo kembali mendapat tempat dalam pasukan utama apabila Carrick mengambil alih tugas pada Januari, sekali gus memainkan peranan penting dalam kebangkitan semula pasukan itu.

“Beliau telah mempamerkan (prestasi) yang sangat hebat,” kata Carrick.

“Beliau mencerminkan jati diri kelab bola sepak ini. Beliau merupakan pemain muda yang lahir menerusi akademi (kelab), menjiwai kelab ini sepenuhnya, dan berjaya menonjolkan bakat luar biasa.

“Banyak lagi yang mampu ditonjolkannya, masih banyak lagi. Saya sering katakan itu kerana beliau masih sangat muda, tetapi telah berada di tahap yang sangat baik buat masa ini.” – AFP, Reuters.