Pemain boling negara, Muhammad Jaris Goh, meraih pencapaian membanggakan apabila mendapat tempat kedua dalam acara Masters Terbuka Lelaki di MWA-Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand yang berlangsung di Bangkok.

Kejohanan edisi ke-50 itu, yang diadakan pada 20 April, menghimpunkan barisan pemain elit dari seluruh dunia.

Kejayaan itu lebih bermakna bagi Jaris sedang beliau sendiri mengakui prestasinya sepanjang kejohanan itu melebihi jangkaan awal, lebih-lebih lagi selepas melalui tempoh kurang memberangsangkan sebelum ini.

“Secara peribadi, prestasi saya melebihi jangkaan,” ujar atlet boling berusia 31 tahun itu.

Menurutnya, asas kejayaan itu dibina sejak pusingan kelayakan lagi apabila beliau menunjukkan ketekalan tinggi yang kemudian diterjemahkan ke pentas final.

“Saya rasa saya bermain dengan baik sepanjang pusingan kelayakan dan tahu saya boleh bawa momentum itu ke final. Saya juga percaya dengan diri sendiri dan tahu saya mampu melakukannya,” katanya.

Tambahnya, tindak balas bola yang baik ketika final turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan keyakinannya untuk bersaing merebut kejuaraan ketika berada dalam kalangan pemain bertaraf dunia.

Namun, Jaris mengakui, beberapa kesilapan kecil menjadi pemisah antara dirinya dengan juara pertandingan, James Lui dari Hong Kong, dalam perlawanan yang cukup sengit hingga ke detik-detik akhir itu.

“Saya bermain dalam ruang yang sangat sempit, jadi ruang untuk kesilapan sangat kecil. Saya juga terlepas beberapa spare,” jelasnya.

Meskipun begitu, beliau tidak menyesali keputusan yang dibuat sepanjang perlawanan akhir, sambil menegaskan bahawa segala perancangan telah dilaksanakan sebaik mungkin.

“Saya rasa jurulatih dan saya telah membuat semua keputusan betul, tetapi kadang-kadang sesuatu perkara itu tidak memihak kepada kita dan kita terima dengan hati terbuka,” katanya.

Dalam usaha meningkatkan prestasi ke tahap lebih tinggi, Jaris menekankan kepentingan persiapan menyeluruh dari segi mental dan fizikal.

Beliau menjalani sesi bersama pakar psikologi bagi memperkukuh aspek mental, selain meningkatkan intensiti latihan di gimnasium dan juga di lorong boling.

Mengimbas perjalanan setahun lalu, beliau menyifatkan keyakinan dirinya sebagai peningkatan terbesar dalam permainannya, selepas berdepan prestasi tidak konsisten sebelum ini.

“Saya tidak melalui tempoh yang baik tahun lalu (2025) atau awal tahun ini, jadi pencapaian ini menunjukkan saya masih mampu dan kemajuan itu mengambil masa,” kongsinya.

Kejayaan di Thailand itu juga memberi makna besar buat dirinya sebagai wakil negara di pentas antarabangsa, selain menyuntik semangat untuk terus mengharumkan nama Singapura.

“Saya sentiasa rasakan, kejayaan meletakkan Singapura di peta dunia adalah sesuatu yang hebat, dan menunjukkan kita mampu bersaing di tahap tertinggi,” katanya.

Dengan keyakinan yang kini semakin meningkat, Jaris berazam meneruskan momentum tersebut dalam kejohanan akan datang, sambil mengekalkan pendekatan yang lebih tenang dan berfokus.

Fokus utamanya kini adalah untuk mengekalkan prestasi sambil menikmati proses peningkatan diri, tanpa terlalu tertekan dengan keputusan.

“Saya mahu kekal fokus, menikmati proses ini dan biarkan keputusan datang dengan sendiri,” tambahnya.

Jaris meletakkan sasaran pada dua kejohanan utama pada 2026, iaitu Piala Dunia Boling IBF dan Kejohanan Boling Asia, yang dijangka menjadi medan penting untuk menguji tahap ketekalannya di peringkat lebih tinggi.

Beliau turut berhasrat memperkayakan lagi permainannya agar mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai corak dan keadaan lorong boling.