Menggunakan permainan seperti boling dan bahan mentah seperti spageti dalam bilik darjah mungkin kelihatan luar biasa.

Namun, ia terbukti membantu membina keyakinan serta kemahiran murid prasekolah.

Bagi Ketua Sekolah di kumpulan prasekolah, Shaws Preschool, Cik Imeelia Ismail, 44 tahun, pembelajaran berasaskan permainan, jika dirancang dengan teliti, mampu memberi kesan bermakna terhadap perkembangan kanak-kanak.

“Bagi kanak-kanak, bermain adalah ‘bahasa’ semula jadi mereka.

“Di situlah, mereka belajar, bukan sahaja dalam cabang akademik, malah dari segi keyakinan diri, daya tahan dan kemahiran sosial,” katanya, yang mempunyai lebih 22 tahun pengalaman dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.

Beliau memberi contoh permainan boling yang digunakan untuk mengajar konsep Matematik, di mana murid mengira jumlah pin yang jatuh dan baki yang tinggal.

Selain itu, kegiatan menggunakan spageti mentah pula mendedahkan murid kepada konsep sains, teknologi dan kejuruteraan, ketika mereka menguji kekuatan struktur tersebut untuk menampung berat objek.

Pendekatan itu yang menerapkan permainan dalam pelajaran menjadi antara tumpuan yang ingin terus diperkukuh 110 pendidik termasuk Cik Imeelia, yang dilantik sebagai Pakar Pedagogi dan Pakar dalam Pengajaran dan Pembelajaran (Pastel), di bawah satu inisiatif Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (Ecda).

Inisiatif tersebut merupakan kitaran ketiga Komuniti Pembelajaran Awal Kanak-Kanak (ECLC).

Selain pembelajaran berasaskan permainan, satu domain baru iaitu angka turut diperkenalkan dalam program yang dilancarkan pada 2022 itu.

Dalam ucapannya pada majlis pelantikan Pastel di Galeri Nasional Singapura pada 22 April, Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, berkata domain baru itu diperkenalkan bagi memperkukuh mutu pengajaran.

“Berteraskan lebih sedekad kurikulum berasaskan permainan, kami kini memperdalam cara bagaimana pendekatan ini diterapkan secara sengaja dalam pembelajaran harian, serta bagaimana pendidik dapat mencungkil pembelajaran melalui kegiatan yang dirancang rapi.

“Pendekatan ini menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak, termasuk dari segi sosial dan emosi. Melalui permainan, kanak-kanak membangun empati dan belajar mengawal emosi,” kata beliau.

Program selama dua tahun itu bertujuan membangun kemahiran pendidik kanan dengan menyediakan wadah untuk mereka berkongsi amalan terbaik bersama rakan dalam sektor melalui masyarakat pembelajaran.

Lebih separuh daripada jumlah peserta kali ini mempunyai lebih 10 tahun pengalaman dan datang daripada pelbagai institusi termasuk tadika Kementerian Pendidikan (MOE), prasekolah swasta serta agensi khidmat sosial.

Langkah ini merupakan sebahagian pelan Prasekolah Bermutu 2030, yang memberi tumpuan kepada usaha memperdalam kecekapan pendidik bagi mencapai perkembangan lebih menyeluruh kanak-kanak.

Domain pembelajaran berasaskan permainan, salah satu daripada dua domain baru yang diperkenalkan, membuka peluang kepada perkembangan kognitif dan kesejahteraan emosi, di samping membolehkan kanak-kanak mempraktikkan kemahiran seperti komunikasi dan kawalan diri.

Sementara itu, domain angka pula menekankan kepentingan membina asas Matematik sejak usia awal, sekali gus membantu kanak-kanak menjalani pengalaman harian dengan lebih yakin.

Program itu turut merangkumi domain lain seperti Kecekapan Awal Kanak-Kanak, Pembelajaran Luar Darjah, Bahasa dan Kecelikan (Bahasa dan Angka) serta Bahasa Ibunda.

Domain lain seperti Nilai, Kecekapan Sosial dan Emosi serta Susunan Pembelajaran dan Fungsi Eksekutif (sebelum ini dikenali sebagai pembangunan sosial dan emosi), serta Amalan Keterangkuman dan Campur Tangan Awal (sebelum ini amalan keterangkuman), turut dipertingkat.

Sepanjang program dua tahun itu, anggota Pastel bakal menerima sokongan pembangunan profesional yang disesuaikan, termasuk bengkel dan dialog bersama pakar tempatan dan luar negara.

Setiap peserta juga menerima geran pembangunan profesional sehingga $1,500 bagi mengikuti kursus berkaitan atau mendapatkan sumber pembelajaran, manakala majikan mereka diberikan dana sokongan tenaga kerja sehingga $800 setahun bagi setiap peserta.

Dalam ucapannya, Encik Goh turut mengumumkan usaha memperkukuh proses kerja bagi membolehkan pendidik mempunyai masa khusus bagi tugasan bukan pengajaran semasa waktu bekerja.

Beliau berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan sektor tersebut untuk memperluas pelaksanaan masa bukan mengajar, agar pendidik mempunyai ruang khusus dalam waktu bekerja untuk memberi tumpuan kepada tugasan penting seperti perancangan dan persediaan pelajaran.

“Usaha ini bertujuan menyokong pendidik dalam tugas harian mereka, serta memastikan mereka dapat terus berkembang dan maju dalam kerjaya.

“Memandangkan inisiatif ini dibangunkan bersama pengendali dan pendidik, kami mengalu-alukan maklum balas serta idea tentang cara terbaik menyokong anda dan rakan sekerja,” katanya.

Cik Imeelia mengharapkan penyertaannya dalam ECLC akan membuka ruang baginya bertukar idea dengan rakan pendidik lain serta memperhalusi amalan sedia ada.

“Saya harap dapat membawa pulang idea baru dan lebih secara semula jadi merancang pembelajaran berasaskan permainan. Matlamat akhir saya adalah bagi meningkatkan mutu pendidikan awal kanak-kanak di Singapura,” jelasnya.