LONDON: Arsenal akhirnya menamatkan penantian 22 tahun untuk kembali bergelar juara Liga Perdana England (EPL) selepas Manchester City sekadar seri 1-1 dengan Bournemouth pada pagi 19 Mei.

Skuad kendalian Mikel Arteta berjaya mengekang cabaran City bimbingan Pep Guardiola untuk mengesahkan kejuaraan dengan baki satu perlawanan musim ini.

Pendahulu hampir sepanjang musim, pasukan pimpinan Arteta kini mendahului empat mata dengan baki satu perlawanan.

Perlawanan terakhir mereka pada 24 Mei di Crystal Palace kini berlangsung dengan Arsenal sebagai pasukan juara.

Arsenal menewaskan Burnley 1-0 pada 18 Mei, bermakna City terpaksa menang satu perlawanan untuk melanjutkan perlumbaan ke hari terakhir.

Tetapi City yang prestasinya agak lemah ketinggalan dengan gol separuh masa pertama oleh Eli Junior Kroupi dan gol penyamaan pada masa kecederaan Erling Haaland terbukti sudah terlambat.

Arsenal, yang menamatkan saingan di tempat kedua dalam tiga musim sebelumnya, kini telah memenangi 14 gelaran kejohanan England, di belakang hanya Manchester United dan Liverpool yang masing-masing mempunyai 20.

Empat tahun lalu Arsenal masih bergelut dengan tekanan dan kekecewaan selepas menamatkan musim 24 mata di belakang juara EPL, Manchester City.

Kegembiraan Arteta itu dikongsi dan dilaungkan peminat Arsenal yang berpesta selepas perlawanan di Stadium Emirates itu.

AFP Sport menilai lima faktor utama yang membantu The Gunners akhirnya merangkul trofi EPL.

Pertama, David Raya memenangi Anugerah Sarung Tangan Emas EPL buat musim ketiga berturut-turut hasil jumlah rekod tanpa bolos terbanyak, namun musim ini dianggap paling cemerlang sejak menyertai Arsenal pada 2023.

Penjaga gol Sepanyol itu tampil dalam setiap aksi liga dan menjadi bintang penting ketika Arsenal meraih kemenangan 1-0 ke atas Manchester United dan West Ham.

Beliau juga memainkan peranan besar ketika semakan rakaman video membatalkan gol penyamaan West Ham pada masa kecederaan selepas diputuskan berlaku kekasaran ke atasnya awal bulan ini.

Raya turut menyelamatkan percubaan Mateus Fernandes yang boleh mengubah perjalanan perebutan kejuaraan memihak kepada City.

“Bagi saya David Raya adalah pemain terbaik musim ini. Dia luar biasa dari awal hingga penghujung musim,” kata legenda Arsenal, Patrick Vieira, kepada Sky Sports.

Kedua, lebih 40 peratus gol Arsenal dalam EPL musim ini berlaku menerusi situasi bola mati.

Daripada 28 gol bola mati, 18 dijaringkan menerusi sepakan penjuru sekali gus mencipta rekod baru EPL.

Ketiga, walaupun gagal memenangi anugerah pemain terbaik pilihan penulis bola sepak yang menjadi milik Bruno Fernandes, Raya tetap dianggap simbol kejayaan Arsenal musim ini.

Keempat, pelaburan besar Arteta untuk memperkuatkan kedalaman skuad akhirnya membuahkan hasil walaupun beberapa tonggak seperti Saka, Gabriel Magalhaes, Martin Odegaard, Kai Havertz dan Jurrien Timber mengalami kecederaan.

Kelima, Arsenal sebenarnya mengutip lebih banyak mata dua tahun lalu tetapi tetap tewas kepada City walaupun menang 16 daripada 18 aksi terakhir musim itu.

Sepanjang sedekad lalu City dan Liverpool menetapkan standard tinggi apabila sering menjuarai liga dengan lebih 90 mata.

Namun kali ini 82 mata sudah cukup buat Arsenal menjulang trofi EPL. – Reuters, AFP.