Topic followed successfully
Go to BHkuZhulkarnain: Penting kekalkan laluan maritim terbuka, perkukuh undang-undang antarabangsa
Zhulkarnain: Penting kekalkan laluan maritim terbuka, perkukuh undang-undang antarabangsa
Zhulkarnain: Penting kekalkan laluan maritim terbuka, perkukuh undang-undang antarabangsa
Di tengah-tengah penghakisan susunan antarabangsa yang berasaskan peraturan, keperluan bagi tindakan kolektif untuk mempertahankannya kini menjadi semakin penting.
Ini kerana cabaran yang dihadapi negara-negara - daripada ancaman keselamatan maritim dan perubahan iklim kepada keselamatan tenaga dan makanan - adalah terlalu rumit untuk ditangani oleh mana-mana negara secara sendirian.
Berucap di sesi plenari kedua Persidangan Lautan Hindi (IOC) yang kesembilan di Mauritius pada 11 April, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, menekankan bahawa usaha melindungi prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), termasuk kebebasan pelayaran, adalah penting untuk memperkukuh keterhubungan, daya tahan ekonomi dan keselamatan, yang sekali gus melindungi kehidupan harian rakyat.
“Kesan yang timbul daripada konflik di Timur Tengah telah pun membentuk semula pasaran, menggugat keyakinan dan mengubah cara negara-negara menilai risiko serta keselamatan.
“Apa yang akan berlaku selepas ini tidak akan mengembalikan kita kepada dunia yang kita kenali sebelum ini.
“Bagi negara seperti Singapura, pengajarannya jelas: peraturan yang memastikan laluan laut kekal terbuka bukan sahaja harus dipertahan, malah ia juga perlu diperkukuh,” ujarnya.
Encik Zhulkarnain berkata ini juga sebabnya adalah lebih penting sekarang bagi laluan maritim kekal terbuka dan negara-negara mendukung peraturan serta undang-undang, khususnya Unclos 1982.
Unclos menyediakan rangka kerja undang-undang menyeluruh yang menjamin kebebasan pelayaran, menetapkan sempadan maritim yang jelas dan memastikan akses saksama kepada sumber marin.
Ia merupakan perlembagaan lautan dan prinsipnya mesti didukung tanpa sebarang kompromi, tambahnya.
Ini juga penting bagi memastikan Lautan Hindi kekal aman dan makmur, kata Encik Zhulkarnain.
Ini kerana Unclos memastikan negara pesisiran seperti Singapura kekal terhubung dengan dunia, selain memastikan rantaian bekalannya kekal terbuka dan berdaya tahan.
Ini bermakna apabila sebuah kapal meninggalkan Mumbai, Colombo atau Singapura, kapal tersebut tidak perlu meminta kebenaran daripada, atau membayar sesiapa sahaja.
“Ini bukan sekadar pengaturan teknikal, ia adalah asas sistem perdagangan global kita.
“Ini juga sebabnya Singapura bersama-sama menaja usul Amiriah Arab Bersatu (UAE) bagi Pengisytiharan Majlis yang mengutuk serangan Iran terhadap kapal-kapal dan ancamannya untuk menutup Selat Hormuz, serta usul Jepun untuk mewujudkan koridor maritim yang selamat di Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO), yang kedua-duanya berjaya diterima melalui konsensus,” katanya.
Walaupun sistem pelbagai hala berasaskan peraturan telah terhakis, Encik Zhulkarnain berkata ia belum lagi diabaikan terus.
Itulah sebabnya kebanyakan negara termasuk negara Eropah, Jepun dan Asean tetap berhimpun di IOC serta masih mendukung Piagam PBB dan yakin akan proses pelbagai hala.
Pada masa yang sama, beliau juga menekankan perlunya bagi pendekatan kerjasama yang lebih fleksibel.
Ini antara lain boleh melibatkan kumpulan kecil negara dan rakan kerja yang sehaluan bagi mewujudkan pengaturan pelbagai pihak yang melengkapi, bukannya menggantikan sistem pelbagai hala.
Sebagai contoh, Singapura sedang membangunkan koridor perkapalan hijau bagi menyokong usaha penyahkarbonan pengangkutan maritim.
Di Lautan Hindi khususnya, Singapura menyumbang kepada inisiatif Silk Alliance, yang bertujuan membolehkan perkapalan sifar pelepasan merentasi Lautan Hindi dan Pasifik.
Pada September 2025, Singapura bersama New Zealand, UAE dan Switzerland menganjurkan bersama Kerjasama Pelaburan dan Perdagangan Masa Hadapan (FIT P) bagi mendukung sistem perdagangan berasaskan peraturan dan menggalak keterbukaan serta keterangkuman dalam perdagangan global.
Pada 31 Mac 2026, anggota FIT P mengeluarkan Kenyataan Bersama mengenai Mengekalkan Rantaian Bekalan yang Terbuka dan Berdaya Tahan, dengan mengesahkan semula komitmen mereka untuk memastikan laluan darat, hab udara dan pelabuhan laut kekal terbuka agar perdagangan dapat terus dijalankan tanpa gangguan.
“Kumpulan pelbagai yang bertindih seperti itu yang melibatkan negara-negara yang sehaluan, yang bekerjasama untuk menangani cabaran bersama, termasuk dalam aspek maritim, akan membolehkan kita mengharungi cabaran geopolitik dan mencapai kemajuan,” kata Encik Zhulkarnain.
Semasa di Mauritius, Encik Zhulkarnain juga bertemu dengan pemimpin dari negara lain termasuk Menteri Ehwal Luar Bangladesh, Dr Khalilur Rahman; Timbalan Menteri bagi Ehwal Afrika Mesir, Encik Mohamed Abu Bakr; Menteri Ehwal Luar, Integrasi Serantau dan Perdagangan Antarabangsa Mauritius, Encik Dhananjay Ramful; serta Menteri Pengangkutan Darat Mauritius, Encik Mahomed Osman Cassam Mahomed.

