Topic followed successfully
Go to BHkuHak, prinsip kebebasan navigasi laut antarabangsa tidak boleh digadai
Hak, prinsip kebebasan navigasi laut antarabangsa tidak boleh digadai
Laluan Selat Hormuz bukan sekadar garis di peta, ia nadi perdagangan sejagat, keselamatan tenaga, dan kestabilan ekonomi, justeru bagi S’pura ia bersifat eksistensial
Hak, prinsip kebebasan navigasi laut antarabangsa tidak boleh digadai
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, perkembangan geopolitik di Timur Tengah sekali lagi mengingatkan kita bahawa laluan maritim bukan sekadar garis di peta.
Ia adalah nadi perdagangan sejagat, keselamatan tenaga, dan kestabilan ekonomi.
Bagi Singapura, sebuah negara kecil yang sangat bergantung kepada perdagangan, hak dan kebebasan, navigasi (bagi menentukan arah tuju) bukan pilihan tetapi keperluan yang bersifat eksistensial (lunas kelangsungan).
Seperti yang ditekankan Menteri Ehwal Luar, Encik Vivian Balakrishnan, dalam kenyataan di sidang Parlimen minggu ini, tentang krisis pembekalan tenaga, konflik di Timur Tengah membawa kesan langsung kepada Singapura, daripada kenaikan harga tenaga kepada gangguan rantaian bekalan sejagat.
Ketidakstabilan di satu laluan strategik boleh memberi kesan meluas hingga ke rantau kita.
Di bawah Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos), selat seperti Selat Hormuz serta Selat Melaka dan Singapura dianggap sebagai ‘Selat yang Digunakan untuk Pelayaran Antarabangsa’.
Dalam selat-selat tersebut, undang-undang antarabangsa memperuntukkan hak laluan transit kepada kapal dan pesawat sebagai satu hak berterusan, tidak boleh digantung, dan tidak tertakluk kepada syarat, seperti kebenaran atau pembayaran yuran.
Artikel 44 Unclos menyatakan sesebuah negara tidak akan menghalang atau menggantung laluan transit.
Banyak prinsip dalam Unclos, terutamanya yang berkaitan dengan kebebasan navigasi dan laluan melalui selat antarabangsa, dianggap secara meluas sebagai sebahagian undang-undang lazim antarabangsa.
Ini bermakna mereka tidak bergantung pada pengesahan sebarang perjanjian. Justeru walaupun sesebuah negara tidak memperakui Unclos, ia masih terikat dengan peraturan lazim seperti hak laluan transit.
Kepentingan laluan antarabangsa seperti Selat Hormuz dan Selat Melaka dan Singapura, dapat dilihat melalui data sejagat.
Selat Melaka dan Singapura sahaja mengendalikan pengangkutan sekitar 23.2 juta tong minyak sehari, diikuti Selat Hormuz sekitar 20.9 juta tong sehari, dalam konteks aliran sejagat kira-kira 80 juta tong sehari.
Ini menjadikan selat tersebut antara selat paling genting kepada ekonomi dunia.
Namun, perkembangan mutakhir di Selat Hormuz menunjukkan satu perkembangan yang amat membimbangkan, bukan sahaja dari sudut pandangan geopolitik dan ekonomi, tetapi juga dari sudut undang-undang antarabangsa.
Pada awalnya, sebelum konflik Timur Tengah tercetus, Selat Hormuz beroperasi sebagai laluan antarabangsa terbuka, selaras dengan hak laluan transit.
Namun, selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan tentera ke atas Iran pada akhir Februari 2026, Iran bertindak balas dengan menggunakan dron dan periuk api laut untuk mengancam dan menyerang kapal, dan secara berkesan mengenakan sekatan berfungsi.
Trafik perkapalan menjunam dengan ketara, hampir 90 peratus berkurangan dan sekali gus mencetuskan gangguan besar kepada bekalan tenaga sejagat dan bahan penting lain.
Perundangan untuk mengenakan bayaran atau tol ke atas laluan tersebut juga dilaporkan telah diluluskan.
Perkembangan itu menandakan satu perubahan asas, iaitu daripada laluan transit sebagai hak, kepada akses yang bersyarat dan terpilih.
Prinsip undang-undang antarabangsa telah lama menolak pendekatan sedemikian.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menegaskan laluan di selat antarabangsa adalah hak yang tidak memerlukan kebenaran terlebih dahulu.
Prinsip tersebut kemudian ditegaskan dan dikembangkan dalam Unclos sebagai hak laluan transit yang tidak boleh digantung atau dihalang.
Tambahan pula, realiti geografi menjadikan hak laluan transit amat penting bagi Singapura.
Di bawah Unclos, perairan wilayah boleh menjangkau sehingga 12 batu nautika.
Namun, di Selat Melaka dan Singapura, lebarnya di sesetengah bahagian kurang daripada dua batu nautika. Justeru, tanpa hak laluan transit, navigasi antarabangsa di Selat boleh terhenti sepenuhnya.
Apa yang berlaku di Selat Hormuz hari ini memberi gambaran jelas tentang risiko masa depan untuk Singapura.
Jika hak dan kebebasan navigasi menjadi sesuatu yang perlu dirunding atau dibayar, maka keseluruhan sistem perdagangan sejagat akan menjadi tidak menentu.
Bagi negara kecil seperti Singapura yang bergantung pada ekonomi sejagat yang terbuka, ini adalah risiko eksistensial.
Dalam konteks ini, peribahasa Melayu “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” mengingatkan kita tentang pentingnya menghormati sistem antarabangsa berasaskan peraturan, di mana jua.
Namun sistem itu sendiri mesti kekal teguh dan tekal, bukan berubah mengikut tekanan geopolitik.
Singapura tidak boleh merundingkan tawaran supaya hak laluan transit perlu dihormati, termasuk persetujuan untuk membayar sebarang bentuk tol tanpa secara tersirat menghakis prinsip undang-undang.
Bagi berbuat demikian adalah untuk mengubah hak menjadi keistimewaan yang boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Kesan konflik Timur Tengah dirasai oleh seluruh dunia.
Dan akhirnya, semua negara, termasuk rantau kita, perlu berdepan dengan kesan akibatnya.
Dengan gencatan senjata yang telah baru dipersetujui oleh Amerika dan Iran, Selat Hormuz mungkin boleh dibuka dan pembekalan sejagat mungkin boleh diteruskan dalam tempoh berikut.
Namun, kesan daripada apa yang telah berlaku mendedahkan kelemahan bekalan perdagangan sejagat, dan kesannya akan terus berlanjutan lama selepas gencatan senjata berakhir.
Sekali air bah, sekali pantai berubah.
Dalam dunia yang bergelora, prinsip dan undang-undang antarabangsa adalah sauh kita untuk negara kecil seperti Singapura; kerana tanpanya, kita akan hanyut mengikut arus kuasa.
Penulis ialah Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Luar).
“
“Dengan gencatan senjata yang telah baru dipersetujui oleh Amerika Syarikat dan Iran, Selat Hormuz mungkin boleh dibuka dan pembekalan sejagat mungkin boleh diteruskan dalam tempoh berikut. Namun, kesan daripada apa yang telah berlaku mendedahkan kelemahan bekalan perdagangan sejagat, dan kesannya akan terus berlanjutan lama selepas gencatan senjata berakhir. Sekali air bah, sekali pantai berubah. Dalam dunia yang bergelora, prinsip dan undang-undang antarabangsa adalah sauh kita untuk negara kecil seperti Singapura; kerana tanpanya, kita akan hanyut mengikut arus kuasa.”
