Setelah 13 tahun menanti, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad, kini berpeluang untuk menunaikan ibadah haji.

Bersama isterinya, Cik Haryane Mustajab, mereka berangkat dari Terminal 3 Lapangan Terbang Changi pada 14 Mei, dengan rombongan ketiga dan yang terakhir dari Singapura, untuk menunaikan rukun Islam yang kelima secara peribadi.

Mereka merupakan antara 900 anggota jemaah dari Singapura yang telah diperuntukkan kuota rasmi oleh Kerajaan Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji pada 2026.

Bercakap dengan Berita Harian (BH) pada 13 Mei sebelum berangkat menuju ke Madinah, Encik Zaqy berkata beliau dan isterinya bersyukur nama mereka dipilih untuk menjalani ibadah yang beliau sifatkan sebagai “satu panggilan Baitullah yang hanya datang sekali seumur hidup”.

“Kami pergi sebagai hamba Allah yang ingin menyempurnakan kewajipan agama kami dan memohon keampunan.

“Saya benar-benar menantikan saat untuk berdiri di sana bersama umat Islam dari seluruh pelosok dunia, termasuk bersama jemaah Singapura kita,” kata Encik Zaqy.

Penantian panjang Encik Zaqy dan isterinya ini bermula sejak Mei 2013.

Sepanjang 13 tahun itu, pelbagai fasa kehidupan dan tanggungjawab negara telah dipikul dan dilaluinya, kata Encik Zaqy, tetapi impian untuk ke Tanah Suci tidak pernah terpadam.

Menariknya, Encik Zaqy mendedahkan bahawa beliau dan isterinya sebenarnya telah menerima tawaran haji pada 2025.

Walau bagaimanapun, memandangkan ia merupakan tahun Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), beliau membuat keputusan yang sukar untuk menangguhkan keberangkatan tersebut.

Menurut beliau, sebagai calon minoriti di GRC Marsiling-Yew Tee, tanggungjawab terhadap penduduk dan rakan sepasukan merupakan satu amanah.

“Itu tanggungjawab yang saya tidak boleh ambil ringan,” kata Encik Zaqy, yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Mendaki.

“Maka saya memilih untuk menangguhkan, dan saya bersyukur sangat isteri saya faham dan menyokong keputusan tersebut sepenuhnya.”

Meskipun hati beliau kini melonjak gembira, Encik Zaqy mengakui terdapat sedikit rasa sayu kerana terpaksa melepaskan beberapa acara penting semasa ketiadaan beliau selama 23 hari.

Ini termasuk Dialog Shangri-La, yang bakal berlangsung dari 29 hingga 31 Mei, untuk mendapatkan gambaran terkini tentang isu pertahanan, teknologi dan keselamatan global dari rakan-rakan seluruh dunia.

Mengulas mengenai persiapannya, Encik Zaqy mengakui bahawa detik ini membawa kelegaan yang amat mendalam buat dirinya dan isteri.

Namun, di sebalik ketenangan itu, beliau mendedahkan bahawa persediaan kali ini bukanlah sesuatu yang mudah.

Ini kerana sebagai seorang pemimpin negara, tuntutan kerja terus menyusul sehingga ke saat-saat akhir sebelum beliau bertolak, tambahnya.

“Parlimen baru sahaja selesai bersidang. Pelbagai pengumuman besar, termasuk inisiatif Pertahanan SG yang dilancarkan pada 12 Mei masih memerlukan perhatian.

“Pada pagi 13 Mei, saya masih lagi bertugas, untuk merasmikan majlis penyampaian anugerah sebelum bertolak. Itulah hakikat kehidupan dalam berkhidmat untuk masyarakat,” kata Encik Zaqy.

Meskipun beliau tidak akan berada di Singapura selama lebih tiga minggu, Encik Zaqy memberikan jaminan kepada penduduk di kawasan undinya bahawa kebajikan mereka akan terus dijaga.

Pasukan sukarelawan dan kakitangan di kementerian serta kawasan undinya akan terus berkhidmat dengan penuh dedikasi sepanjang ketiadaannya, tambahnya.

“Kementerian dan kawasan undi dalam tangan yang baik,” kata Encik Zaqy.

“Walaupun saya tiada di sini buat sementara, saya masih boleh dihubungi sekiranya ada sesuatu yang mendesak.”

Ibadah kali ini juga membawa makna peribadi yang cukup mendalam bagi Encik Zaqy, yang terkenang akan arwah datuknya yang kembali ke rahmatullah semasa menunaikan haji beberapa tahun yang lalu.

Beliau berkata tragedi tersebut mengajarnya bahawa ajal tidak memilih masa, sekali gus membuatkan beliau berangkat dengan penuh rasa tawakal dan penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah swt.

“Kepada semua jemaah haji kita, saya mendoakan haji yang mabrur buat kita semua.

“Semoga ibadah kita diterima, semoga kita mencapai apa yang kita mencari dalam perjalanan rohani ini, dan semoga kita semua pulang ke tanah air dengan selamat,” kata Encik Zaqy.