Topic followed successfully
Go to BHkuZaqy: Sokong hasil tani tempatan tatkala rantaian bekalan terjejas dek konflik TT
Zaqy: Sokong hasil tani tempatan tatkala rantaian bekalan terjejas dek konflik TT
Gesa pengusaha makanan ambil kesempatan uji daya tahan rantaian bekalan
Zaqy: Sokong hasil tani tempatan tatkala rantaian bekalan terjejas dek konflik TT
Orang ramai digesa supaya menyokong hasil tani tempatan bagi memastikan kelangsungan operasi ladang tempatan sedang rantaian bekalan sejagat berdepan tekanan, kata Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial, Facebook dan LinkedIn beliau pada 6 April.
“Menyokong ladang tempatan kita pada waktu aman dapat memastikan mereka terus beroperasi dan bersedia membekalkan makanan sekiranya berlaku kekurangan bekalan dari luar negara.
“Kita juga perlu menjangkakan kos tambang, logistik, dan pengendalian lebih tinggi memandangkan peningkatan kos bahan api bagi mengangkut hasil import,” ujarnya.
Encik Zaqy turut menggesa pengusaha makanan agar mengambil kesempatan menguji daya ketahanan rantaian bekalan mereka, tatkala konflik Timur Tengah sedang bergelora.
Ia termasuk meneliti sama ada mereka terdedah kepada kemungkinan gangguan bekalan atau risiko jangka singkat daripada sekatan eksport, tambah Encik Zaqy.
Beliau menambah bahawa rangka kerja, ‘Singapore Food Story 2’, juga merupakan usaha Singapura dalam memperkukuh daya ketahanan makanan negara.
Menjelaskan lanjut mengenai rangka kerja itu, Encik Zaqy berkata:
“Kita telah mempelbagaikan sumber import, membina rakan kongsi sejagat lebih kukuh, memperluas simpanan stok, dan meningkatkan pengeluaran makanan secara tempatan.”
Beliau menambah, ia memberikan Singapura lebih banyak pilihan apabila rantaian bekalan berada dalam keadaan tertekan.
Sambil menekankan mengenai konflik yang berlaku di Selat Hormuz, Encik Zaqy berkata ia bukan sahaja bersangkut paut dengan minyak, malah memberi kesan kepada pengedaran makanan menerusi gangguan tenaga dan baja, ujarnya.
“Walaupun perhatian dunia terhadap Selat Hormuz tertumpu kepada 27 peratus bekalan minyak dan gas dunia, apa yang kurang diketahui adalah 30 peratus daripada semua baja yang didagangkan juga biasanya mengalir melalui selat tersebut.
“Ini bukan sekadar kisah tenaga. Ia juga merupakan kisah makanan,” katanya.
Beliau menukil bagaimana negara Asia termasuk Malaysia, Filipina, Thailand, Vietnam, Myanmar, China, dan India, telah rasai kesan kekangan itu.
Fenomena itu bukanlah perkara baru, kerana sejarah konflik dunia sering kali memperlihatkan gangguan terhadap pengedaran keperluan kritikal tersebut.
“Apabila pasaran tenaga terganggu, gegarannya akan turut dirasai sehingga ke makanan di atas pinggan kita.
“Persoalannya sekarang adalah sama ada kita mampu membina daya ketahanan sebelum berlakunya gangguan seterusnya,” ujar beliau, memandangkan Singapura mengimport lebih daripada 90 peratus bekalan makanannya.
Encik Zaqy menggariskan Singapore Food Story 2, sebagai antara usaha penting untuk memenuhi landskap bekalan makanan yang sentiasa berubah.
“Ketika negara di seluruh dunia bergelut dengan kesan rantaian bekalan yang sedang berkembang, Singapore Food Story 2, hadir pada waktunya untuk menguji strategi daya ketahanan bekalan makanan kita, serta menjadi peluang untuk memperkukuh setiap teras utama dengan pantas.
“Dunia telah berubah, dan strategi makanan kita harus menyesuaikan diri serta berubah seiring dengannya,” kata beliau.
Perkongsian Encik Zaqy itu juga muncul selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pada 2 April, pemerintah akan mempertingkatkan langkah sedia ada bagi meringankan kesan serta-merta ke atas isi rumah dan perniagaan ekoran konflik di Timur Tengah yang menjejas harga minyak dan rantaian bekalan di seluruh dunia.
Ia termasuk mempercepat pelaksanaan sebahagian sokongan yang telah diumumkan pada Belanjawan 2026 serta menyediakan sokongan khusus bagi sektor yang terjejas dengan lebih teruk.
Encik Wong berkata kumpulan menteri akan berkongsi maklumat lanjut mengenai perkara tersebut di Parlimen pada 7 April.
Selain itu, beliau turut mengarahkan agar jawatankuasa krisis peringkat menteri bersidang untuk menyelaraskan tindak balas negara terhadap konflik tersebut.

