Topic followed successfully
Go to BHkuSiow Huang: Usahawan wanita penggerak inovasi, ekonomi tempatan
Siow Huang: Usahawan wanita penggerak inovasi, ekonomi tempatan
Syarikat milik wanita naik lebih seganda jadi 36,000 pada 2022; jana pendapatan $85.3b, cipta lebih 200,000 pekerjaan
Siow Huang: Usahawan wanita penggerak inovasi, ekonomi tempatan
Usahawan wanita merupakan pemacu penting inovasi dan nadi kepada ekonomi tempatan, dan usaha berterusan diperlukan bagi memastikan mereka dapat mencapai potensi sepenuhnya, kata Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Cik Gan Siow Huang.
Berucap di pelancaran Inisiatif Wanita Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (ASME) pada 28 Mac, Cik Gan menegaskan bahawa pertumbuhan inklusif bergantung pada keupayaan setiap individu, tanpa mengira jantina, untuk berjaya dalam landskap perniagaan.
“Untuk negara kita terus berkembang, kita perlu memastikan setiap individu, tanpa mengira jantina, mempunyai peluang mencapai potensi sepenuhnya.
“Membangunkan semangat keusahawanan tempatan adalah penting untuk menyokong pertumbuhan yang mampan dan inklusif,” jelasnya.
Cik Gan berkata jumlah syarikat milik wanita telah meningkat lebih seganda dalam tempoh sedekad lalu, daripada 16,300 pada 2010 kepada 36,000 pada 2022, dan kini membentuk lebih satu perempat daripada semua syarikat milik penduduk di Singapura.
Syarikat-syarikat ini turut menyumbang secara signifikan kepada ekonomi, menjana pendapatan sebanyak $85.3 bilion serta menyediakan lebih 200,000 pekerjaan pada 2022.
Meskipun terdapat perkembangan ini, Cik Gan juga menekankan bahawa cabaran masih wujud bagi wanita, seperti jurang gaji dengan pekerja lelaki serta tanggungjawab penjagaan keluarga yang masih banyak dipikul oleh wanita.
“Kita tidak boleh berasa selesa. Kita perlu terus mengubah pemikiran dan memastikan tanggungjawab ini dikongsi dengan lebih saksama,” tambah beliau.
Cik Gan turut menekankan bahawa kepimpinan bukan sekadar jawatan, tetapi melibatkan keberanian untuk memulakan perniagaan, visi untuk memimpin pasukan serta ketabahan dalam menghadapi persaingan global.
Inisiatif Wanita ASME bertujuan memperkukuh komuniti usahawan wanita serta meningkatkan perwakilan wanita dalam peranan kepimpinan.
Ia merangkumi tiga teras utama, iaitu program pembangunan kepimpinan dan pertumbuhan selama enam hingga sembilan bulan, sesi dialog industri, serta peluang pemadanan perniagaan global.
Naib Presiden ASME, Cik Hamidah Aidillah Mustafa berkata inisiatif ini bertujuan menangani jurang yang masih dihadapi usahawan wanita, khususnya dalam mendapatkan peluang perniagaan berskala besar.
“Berdasarkan statistik, wanita dalam jawatan kepimpinan masih lebih rendah berbanding lelaki, dan banyak perniagaan milik wanita tidak mempunyai akses yang sama kepada kontrak besar, terutama di peringkat perusahaan atau pemerintah,” katanya yang juga pengasas syarikat Parrot Social.
“Kami mahu memberi peluang kepada perniagaan milik wanita untuk mendapatkan kontrak yang lebih besar dan mampan dalam jangka panjang,” kata beliau.
Di majlis pelancaran di 46 Kim Yam Rd itu, ASME turut memeterai kerjasama dengan WEConnect International, sebuah organisasi global tidak mengambil untung, melalui pertukaran memorandum persefahaman (MOU).
MOU tersebut, antara lain bertujuan menghubungkan perniagaan milik wanita di Singapura dengan rangkaian pembeli syarikat berbilang negara di peringkat global.
Kerjasama ini dijangka membuka laluan tersusun bagi perniagaan untuk berkembang ke peringkat antarabangsa.
Cik Hamidah berkata kerjasama dengan WEConnect International dapat membantu merapatkan jurang tersebut dengan menghubungkan usahawan wanita kepada syarikat multinasional dan rangkaian perolehan global.
Selain peluang perniagaan, Cik Hamidah berkata beliau berharap inisiatif ini juga dapat menjadi rangkaian sokongan bagi usahawan wanita.
“Kita ingin mewujudkan ruang untuk wanita berhubung, berkongsi pengalaman dan berkembang bersama,” tambahnya.

