Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga emas maut selepas terjatuh di landasan stesen LRT Segar
Warga emas maut selepas terjatuh di landasan stesen LRT Segar
Khidmat tren kembali pulih lebih empat jam selepas kejadian
Warga emas maut selepas terjatuh di landasan stesen LRT Segar
Seorang lelaki maut selepas terjatuh di depan kereta api yang sedang bergerak di laluan LRT Bukit Panjang pada 18 Mei, sekali gus menjejas perkhidmatan antara stesen Senja dengan Bukit Panjang selama sekitar empat jam.
Polis berkata mereka menerima panggilan bantuan di stesen LRT Segar sekitar 5.50 pagi.
“Siasatan awal mendedahkan pada sekitar 5 pagi, seorang lelaki kelihatan terjatuh ke atas landasan di depan kereta api yang sedang menghampiri (stesen),” jelas pihak polis.
Lelaki berusia 68 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik daripada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Berdasarkan siasatan awal, mereka mendapati kejadian tersebut tidak melibatkan sebarang unsur khianat, kata polis.
SCDF memaklumkan pihak mereka menerima laporan mengenai kejadian itu pada sekitar 6.25 pagi dan menambah seorang lagi individu telah dibawa ke Hospital Woodlands.
Seorang wanita yang dipercayai isteri lelaki berkenaan telah dibawa keluar dari stesen tersebut dengan pengusung pada 9.47 pagi, lapor akhbar Lianhe Zaobao.
Wanita itu kelihatan berada dalam keadaan trauma.
Pihak polis menyatakan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Pasukan prihatin kami (yang menjaga kebajikan penumpang) telah menghubungi keluarga mangsa ketika tempoh sukar ini.
“Kami berterima kasih kepada para penumpang atas kesabaran dan pemahaman mereka,” kata Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, sambil menambah pengendali kereta api itu akan terus membantu dalam siasatan polis.
Semakan oleh akhbar The Straits Times (ST) mendapati bahawa pada hari bekerja, kereta api pertama berlepas dari stesen Segar pada 5.12 pagi.
Pemberitahuan mengenai gangguan perkhidmatan mula dipaparkan di aplikasi MyTransport.SG pada sekitar 6 pagi, dengan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) memaklumkan para penumpang supaya mempertimbangkan penggunaan perkhidmatan bas percuma di stesen terjejas.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 6.25 pagi, SMRT memaklumkan penumpang terjejas boleh memuat turun Surat Perjalanan elektronik sebagai bukti perjalanan di smrttravelchit.sg/
Dalam satu hantaran Facebook pada 6.52 pagi, SMRT memaklumkan perkhidmatan terganggu “akibat pencerobohan landasan”.
Dalam kemas kini seterusnya pada 7.08 pagi, SMRT berkata seorang lelaki didapati menceroboh landasan berhampiran stesen Segar pada sekitar 5 pagi.
SMRT kemudian mengemas kini hantaran tersebut dengan menyatakan lelaki itu “kelihatan terjatuh ke atas landasan”.
“Perkhidmatan kereta api antara stesen Petir dengan Senja, bagi kedua-dua arah, digantung sementara untuk membolehkan pihak polis mengakses landasan dengan selamat bagi menjalankan siasatan,” jelas SMRT.
Pada 10.17 pagi, SMRT mengumumkan perkhidmatan kereta api antara stesen Senja dengan Petir telah pulih sepenuhnya bagi kedua-dua arah, dan perkhidmatan bas biasa percuma serta bas penghubung telah dihentikan.
Sepanjang tempoh gangguan selama empat jam itu, barisan panjang untuk menaiki bas penghubung dilihat di Pusat Tukaran Bas Bukit Panjang pada sekitar 8.30 pagi.
Di stesen LRT Bukit Panjang, kakitangan SMRT kelihatan sedang memberi panduan kepada para penumpang mengenai pilihan perjalanan alternatif.
Pada sekitar 9 pagi, pintu masuk stesen Segar telah dikepung oleh polis.
Mayat seorang lelaki kemudian dialihkan dari landasan oleh pegawai SCDF dan polis pada sekitar 9.10 pagi.
Laluan LRT Bukit Panjang sedang menjalankan kerja penggantian rel kuasa yang membekalkan tenaga elektrik kepada kereta api.
Projek tersebut dijangka siap pada suku keempat 2026.
Rangkaian kereta api automatik sepenuhnya itu juga telah diperbaharui pada Oktober 2025, dan laluan berkenaan telah mula menggunakan sistem isyarat kawalan kereta api berasaskan komunikasi yang baharu sejak 8 November.
Laluan sepanjang lapan kilometer itu menghubungkan kawasan perumahan di Bukit Panjang dan Choa Chu Kang dengan laluan Utara-Selatan (NSL) serta laluan Downtown (DTL).
Ia merupakan perkhidmatan kereta api penghubung antara bandar tanpa pemandu yang pertama di Singapura.
