Perkhidmatan kereta api di Laluan Thomson-East Coast (TEL) terjejas akibat kerosakan sistem isyarat pada pagi 3 Mei, mengakibatkan gangguan kepada jadual perjalanan sebelum kembali pulih sepenuhnya jelang tengah hari.

Gangguan tersebut berlaku sekitar 6.55 pagi selepas pengeluar peralatan asal, Alstom, menjalankan ujian sistem isyarat pada malam 2 Mei.

Gangguan tersebut telah menyebabkan perkhidmatan antara stesen Woodlands North dengan Bayshore dihentikan

Perkhidmatan dipulihkan secara berperingkat jelang lewat pagi dan kereta api terus beroperasi pada kelajuan lebih rendah antara stesen Caldecott dengan Orchard sepanjang hari, lapor SMRT dalam satu kiriman pada 10.48 pagi.

Kereta api yang bergerak di kedua-dua arah sepanjang laluan terjejas dipandu secara manual, kata Presiden SMRT Trains, Encik Lam Sheau Kai, menerusi kiriman di Facebook pada 11.10 pagi.

SMRT dalam kemas kini di platform X pada 1.14 petang memaklumkan bahawa perkhidmatan bas penghubung dan bas biasa percuma juga telah ditamatkan.

“Semasa kami melaraskan semula sistem, beberapa kereta api telah terkandas di platform terjejas. Akibatnya, tiada perkhidmatan kereta api (disediakan) antara stesen Caldecott dengan Orchard. Jurutera kami sedang bekerjasama dengan jurutera Alstom untuk memulihkan perkhidmatan secepat mungkin,” kata Encik Lam.

Penumpang yang menuju ke arah bandar dinasihatkan supaya menggunakan Laluan Utara-Selatan (NSL), Laluan Downtown (DTL), atau Laluan Circle (CCL), tambah Encik Lam.

Dalam kiriman sebelum itu pada 8.48 pagi, laman MyTransport milik Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menunjukkan bahawa perkhidmatan kereta api mula pulih secara berperingkat dari Woodlands North ke Caldecott, serta dari Orchard ke Bayshore.

Namun, perkhidmatan masih tidak tersedia bagi kedua-dua arah di lima stesen antara Caldecott dengan Orchard, menurut kemas kini SMRT di Facebook pada 8.56 pagi.

SMRT turut memaklumkan bahawa perkhidmatan bas percuma disediakan antara stesen Woodlands North dengan Marina Bay.

Amaran pertama gangguan yang dikesan pada 5.53 pagi, menunjukkan kelewatan kecil yang menjejas perkhidmatan antara dua stesen, iaitu Stevens dengan Caldecott.

Pada 7.35 pagi, SMRT mengumumkan bahawa kelewatan tersebut telah menjejas seluruh laluan TEL bagi kedua-dua arah.

Pada 7.47 pagi, SMRT memaklumkan berlaku gangguan besar di laluan itu, dengan tiada perkhidmatan disediakan di lima stesen antara stesen Caldecott dengan Orchard.

Penumpang dinasihatkan supaya menggunakan laluan MRT alternatif atau beralih ke perkhidmatan bas percuma antara stesen terjejas.

Pada 8.14 pagi, laman MyTransport LTA menunjukkan gangguan besar itu melibatkan keseluruhan laluan TEL bagi kedua-dua arah.

Laman tersebut turut memaklumkan perkhidmatan bas percuma disediakan antara stesen Caldecott dengan Marina Bay.