Seorang wanita warga Singapura berusia 29 tahun telah diberkas kerana disyaki melakukan kesalahan pengedaran dadah selepas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai lebih $94,900 dirampas, kata Biro Narkotik Pusat (CNB) pada 10 Januari.
Pelbagai jenis dadah yang dirampas itu, termasuk ganja seberat 7,144 gram (g), boleh memenuhi ketagihan 1,110 penagih selama seminggu, tambah CNB.
Menurut CNB, wanita tersebut diberkas di sebuah bilik di dalam unit kondominium di West Coast Way.
Semasa operasi itu, CNB terpaksa memecah masuk bilik di unit kondominium berkenaan kerana wanita itu enggan mematuhi perintah untuk memberi pegawai akses untuk memasuki bilik tersebut.
Selepas menggeledah bilik tersebut, pegawai menemui kira-kira 7,144g ganja, 169g Ice (methamphetamine), 9g ketamin, 30g Ecstasy, 30 butir pil Erimin-5 dan peralatan dadah.
CNB menyatakan siasatan terhadap kegiatan dadah suspek sedang dijalankan.
Jika didapati bersalah mengedar lebih 500g ganja, dia mungkin menghadapi hukuman mati mandatori.
Pada 3 Januari, pihak berkuasa menemui 509 kilogram (kg) ganja dalam kontena di Stesen Pengimbas Pasir Panjang.
Kontena itu disasarkan bagi pemeriksaan yang dipertingkat susulan maklumat yang diterima oleh Kastam Singapura dan berdasarkan penilaian risiko praketibaan oleh Pusat Sasaran Bersepadu Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Siasatan awal mendapati dadah tersebut sedang transit melalui Singapura, menuju ke negara lain.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg