Pihak berkuasa telah menjumpai 509 kilogram (kg) ganja di dalam sebuah kontena di stesen imbasan Pasir Panjang pada 3 Januari, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam kenyataan bersama pada 9 Januari.
Kontena itu menjadi sasaran pemeriksaan lanjut berikutan maklumat awal daripada Kastam Singapura.
Melalui penilaian risiko praketibaan oleh Pusat Sasaran Bersepadu (ITC) ICA, pegawai telah mengesan keganjilan pada imej imbasan kontena tersebut.
Dalam pemeriksaan fizikal, pegawai ICA menemui sebungkus bahan berwarna keperangan yang disyaki dadah terkawal di dalam sebuah kotak di dalam kontena itu.
Pegawai CNB segera dimaklumkan dan pemeriksaan rapi kontena itu menemukan sejumlah 902 bungkusan ganja seberat 509kg, menurut kenyataan itu.
Siasatan awal mendapati dadah berkenaan sedang dalam perjalanan melalui Singapura menuju ke negara lain.
Siasatan masih dijalankan.
Di Singapura, hukuman mati menanti individu yang mengimport atau mengeksport lebih 500 gram ganja.
ICA dan CNB menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi pemeriksaan keselamatan di pusat pemeriksaan.
Ini bagi membendung penyeludupan dadah, individu tidak diingini, senjata, bahan letupan serta barangan seludup lain merentasi sempadan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg