Waktu operasi kereta api di Laluan Thomson-East Coast (TEL) akan dipendekkan mulai 22 Mei, dan Laluan Downtown (DTL) mulai 10 Julai, bagi memberi laluan pada ujian akhir sebelum pembukaan bahagian baharu.

Fasa kelima TEL dan sambungan DTL dijadual dibuka pada separuh kedua 2026.

Sebelum bahagian baharu itu beroperasi, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) dan pengendali rel akan menjalankan siri ujian menyeluruh.

TEL dikendalikan oleh SMRT Trains, manakala DTL diuruskan oleh SBS Transit.

Bagi mengurangkan kesan kepada pengguna, LTA, SMRT Trains dan SBS Transit mengumumkan pada 28 April bahawa pilihan perjalanan alternatif akan disediakan.

Ujian itu merangkumi operasi kereta api merentasi keseluruhan laluan dan pergerakan kereta api masuk serta keluar dari Depoh Bersepadu East Coast yang serba baru.

Sambungan DTL sepanjang 2.2 kilometer di bahagian timur akan menyambung stesen Expo ke stesen Xilin dan Sungei Bedok yang akan datang.

Manakala, fasa kelima TEL pula akan menambah stesen Bedok South dan Sungei Bedok.

“Tempoh kejuruteraan yang lebih lama diperlukan untuk memastikan ujian penuh ini berjalan lancar,” jelas LTA dan pengendali tersebut.

Dari 22 Mei hingga 4 Julai, perkhidmatan TEL akan dipendekkan.

Kereta api akan berhenti pada 11.30 malam setiap Jumaat, dan bermula pada 8.30 pagi setiap Sabtu.

Tiga perkhidmatan bas ulang-alik disediakan bagi penumpang yang terjejas.

Bas itu akan berhenti di pertukaran MRT utama, membolehkan penumpang beralih ke laluan kereta api lain.

Perkhidmatan bas S51 akan menghubungkan stesen Woodlands North dan Caldecott (TEL); perkhidmatan bas S52 pula akan menghubungkan Caldecott dan Marina Bay (TEL); sementara perkhidmatan bas S53 pula akan menghubungkan Marina Bay dan Bayshore (TEL).

Mulai 10 Julai hingga 5 September, perkhidmatan kereta api DTL akan tamat awal pada 11.30 malam setiap Jumaat, dan bermula lewat pada 8.30 pagi setiap Sabtu.

Tiga perkhidmatan bas ulang-alik disediakan sepanjang tempoh tersebut, dengan sambungan di pertukaran MRT Bugis dan MacPherson.

Perkhidmatan bas S43 bergerak ulang-alik antara stesen DTL Bukit Panjang dengan DTL Bugis; perkhidmatan bas S42 berulang-alik antara stesen DTL Bugis dengan DTL MacPherson; dan perkhidmatan bas S41 pula berulang-alik antara stesen DTL MacPherson dengan DTL Expo.

Semua bas ulang-alik itu akan beroperasi dari 5 pagi hingga 8.30 pagi pada Sabtu.

Penumpang digalak menggunakan bas sedia ada dan laluan MRT lain untuk meneruskan perjalanan mereka.

Mereka turut dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan menyemak aplikasi MyTransport.SG, serta laman media sosial LTA, SMRT, dan SBS Transit untuk maklumat terkini.