Topic followed successfully
Go to BHkuVivian: S'pura enggan runding lalu Selat Hormuz atas prinsip
Vivian: S'pura enggan runding lalu Selat Hormuz atas prinsip
Vivian: S'pura enggan runding lalu Selat Hormuz atas prinsip
Singapura tidak akan, atas prinsip, terlibat dalam rundingan dengan Iran untuk melalui Selat Hormuz, kata Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.
Beliau menjawab soalan Encik Fadli Fawzi (GRC Aljunied), yang bertanya sama ada pemerintah berhubungan dengan pihak berkuasa Iran bagi memastikan kapal berbendera Singapura dapat melalui Selat Hormuz dengan selamat, seperti yang dilakukan negara lain termasuk Malaysia.
Encik Fadli turut bertanya sama ada Singapura akan membayar tol.
Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura (MPA) kini berhubung rapat dengan pemilik dan pengendali kapal-kapal Singapura, dan meneroka pelbagai jalan untuk memastikan transit kapal selamat, jelas Dr Balakrishnan.
Namun laluan melalui selat itu dan mana-mana selat dikawal oleh Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Undang-Undang Laut, yang menjamin kebebasan belayar sebagai satu hak dan bukan keistimewaan, tambahnya.
Ini amat penting bagi Singapura, tambahnya, kerana negara ini terletak di Selat Melaka, satu lagi titik sempit yang kritikal bagi pelayaran sejagat.
Dr Balakrishnan berkata beliau telah berhubung dengan menteri-menteri Iran sebelum perang, dan akan berbuat demikian pada masa hadapan, kerana “atas prinsip, dan bukan kerana Singapura memihak kepada mana-mana pihak”.
“Saya tidak boleh terlibat dalam rundingan untuk laluan selamat kapal-kapal atau berunding mengenai kadar tol, kerana berbuat demikian akan secara tidak langsung menjejas prinsip undang-undang ini,” kata Dr Balakrishnan.

