SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Iran lulus pelan kenakan caj laluan di Selat Hormuz

Iran lulus pelan kenakan caj laluan di Selat Hormuz

Mar 31, 2026 | 10:42 AM

Iran lulus pelan kenakan caj laluan di Selat Hormuz

selat hormuz
Kapal tangki Callisto berlabuh di perairan Muscat, Oman, ketika trafik di Selat Hormuz merosot susulan konflik melibatkan Iran, yang kini mengawal laluan strategik itu melalui sistem “pondok tol” bagi kapal yang ingin melaluinya. - Foto REUTERS

TEHERAN: Parlimen Iran pada 30 Mac meluluskan pelan awal untuk mengenakan bayaran laluan ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas asli dunia.

Menurut agensi berita separa rasmi Fars, rang undang-undang itu digubal bagi mengukuhkan “kedaulatan, kawalan dan pengawasan” Iran ke atas selat tersebut, selain membuka sumber pendapatan baharu kepada negara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Parlimen Iran, Encik Mohammadreza Rezaei Kouchi, berkata langkah itu dilihat sebagai sesuatu yang wajar dari sudut komersial.

“Parlimen sedang berusaha memperkukuh dan memperjelas kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz, sambil mewujudkan sumber pendapatan melalui kutipan bayaran.

“Selat ini juga sebuah laluan, dan adalah wajar kapal yang melaluinya membayar caj,” katanya.

Ia juga termasuk “larangan rakyat Amerika dan rejim Zionis daripada melaluinya”, serta larangan ke atas negara lain yang mengenakan sekatan ke atas Iran.

Walaupun rang undang-undang itu masih belum diluluskan sepenuhnya, sistem kutipan bayaran dilaporkan telah mula dilaksanakan secara tidak rasmi sejak pertengahan Mac.

Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) didakwa mengawal laluan berhampiran pantai Iran, khususnya antara pulau Qeshm dengan Larak.

Kapal yang ingin melalui kawasan itu perlu menyerahkan maklumat terperinci seperti nombor pengenalan kapal antarabangsa (IMO), kargo, identiti kru dan destinasi sebelum diberikan laluan serta pengiring.

Laporan menyatakan sesetengah kapal telah membayar sehingga AS$2 juta ($2.58 juta) bagi setiap pelayaran.

Ahli Parlimen Iran, Encik Alaeddin Boroujerdi, mengesahkan perkara itu dengan berkata:

“Perang mempunyai kos, dan adalah wajar kami mengenakan bayaran transit ke atas kapal yang melalui Selat Hormuz.”

Jika sistem itu dilaksanakan sepenuhnya, hasilnya dijangka amat besar.

Anggaran menunjukkan Iran boleh menjana lebih AS$100 bilion setahun sekiranya kadar AS$2 juta dikenakan ke atas sekitar 140 kapal yang biasanya melalui selat itu setiap hari sebelum perang.

Sebagai perbandingan, jumlah itu boleh mencecah sehingga 20 hingga 25 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP) Iran.

Namun, senario lebih konservatif yang meniru model Terusan Suez dan Terusan Panama mencadangkan caj sekitar AS$400,000 bagi setiap kapal.

Sejak serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada akhir Februari, Selat Hormuz hampir ditutup kepada kebanyakan trafik komersial.

Dianggarkan hampir 2,000 kapal kini terkandas di kedua-dua sisi selat, dengan ramai pengendali memilih untuk menunggu berbanding mengambil laluan alternatif yang lebih panjang dan mahal.

Data menunjukkan kurang daripada 150 kapal melalui selat itu sepanjang Mac, berbanding jumlah yang sama dalam tempoh sehari sebelum konflik tercetus.

Cadangan Iran untuk mengenakan caj ini dilihat sebagai langkah terkini dalam usaha mengukuhkan kawalan terhadap selat tersebut di tengah konflik yang kian memuncak.

Presiden Donald Trump dilaporkan meningkatkan tekanan dengan mengancam akan menyerang prasarana tenaga Iran jika negara itu tidak membuka semula laluan tersebut.

Selat Hormuz kini menjadi titik panas konflik, dengan Iran dilaporkan menyerang beberapa kapal, manakala Amerika mendesak supaya kebebasan pelayaran dipulihkan.

Walaupun Iran mendakwa mempunyai hak untuk mengenakan bayaran, ramai pakar undang-undang antarabangsa menolak hujah tersebut.

Profesor Undang-Undang Maritim dari Kolej Perang Tentera Laut Amerika, Encik James Kraska, menegaskan bahawa tiada asas undang-undang bagi tindakan tersebut.

“Tiada asas dalam undang-undang antarabangsa yang membenarkan negara pesisir mengenakan caj ke atas laluan di selat antarabangsa,” katanya.

Selat Hormuz, walaupun terletak dalam perairan Iran dan Oman di bahagian sempitnya, diklasifikasikan sebagai laluan antarabangsa di bawah Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unclos), yang menjamin hak laluan bebas tanpa sekatan atau caj.

Setiausaha Agung Majlis Kerjasama Teluk (GCC), Encik Jasem Mohamed Al-Budaiwi, turut menyifatkan langkah itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Pemerhati memberi amaran bahawa tindakan unilateral Iran boleh meningkatkan pengasingan negara itu di peringkat global.

Encik Kraska berkata walaupun reaksi antarabangsa setakat ini masih berhati-hati, keadaan boleh berubah.

“Iran mungkin akan berdepan pengasingan yang lebih besar. Dalam jangka panjang, ini tidak akan berakhir dengan baik untuk mereka,” katanya. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg