Topik diikuti
Pergi ke BHkuUstaz tubuh syarikat AI, pacu kemahiran, perkasa masyarakat dan ummah
Mula belajar daripada YouTube, kini hasil perisian AI selain bantu syarikat tempatan tingkat proses kerja
Ustaz tubuh syarikat AI, pacu kemahiran, perkasa masyarakat dan ummah
Semasa mula mendalami Kecerdasan Buatan (AI) di Internet pada 2023, Ustaz Abdul Adzhim Abdul Khalid, 27 tahun, melihat bahawa AI bukan sekadar trend sementara, malah, sesuatu yang besar pada masa akan datang.
Berbekalkan sifar asas dalam bidang itu, bapa kepada anak berusia setahun ini sanggup meluangkan lebih tiga jam sehari ‘berguru’ di YouTube demi menguasai selok-belok AI
Di tengah keghairahan mendapatkan maklumat, beliau menyedari wujudnya jurang yang ketara.
“Mengapa tiada entiti AI Islam di Singapura yang tampil memperkasakan syarikat dan masyarakat Melayu/Islam dalam bidang tersebut?” ujarnya.
Didorong oleh rasa tanggungjawab, bekas pelajar Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Politeknik Temasek (TP) bagi pengajian Diploma dalam Kejuruteraan Sistem dan Proses Perniagaan itu memutuskan untuk tidak lagi menjadi penonton dan sebaliknya bangkit membawa perubahan.
Ustaz Abdul Adzhim dan rakannya, Encik Muhammad Najib Ismail, kemudian mengorak langkah mengasaskan syarikat AI, Klicco, pada November 2025.
Syarikat itu menyediakan latihan AI, wadah ejen AI yang membolehkan pengguna membina ejen AI mereka sendiri, dan menyediakan perisian AI – KlicForge – yang dicipta pada Julai.
Setakat ini, perisian itu sudah mempunyai 55 pengguna dengan 15 daripadanya berbayar.
Mengimbau titik permulaannya mendalami AI, Ustaz Abdul Adzhim, berkata:
“Masa saya mula belajar AI, saya langsung tiada pengetahuan tentangnya.
“Saya main redah sahaja, trial and error (cuba-cuba) dan secara konsisten buat kajian sendiri di YouTube dengan menonton banyak sangat video.
“Setelah mula faham asas dan cara kerja AI, saya terus melaksanakannya melalui perisian.”
Sebelum mengasaskan Klicco, Ustaz Abdul Adzhim sudah mula mereka perisian automasi menggunakan wadah Make.com.
Antara mereka yang telah meraih manfaat daripada perisian awal itu ialah isterinya, Cik Nurul Ameenina Ismail, 27 tahun, yang merupakan pemilik syarikat baju Muslimah tempatan, Heykitwears.
Cik Nurul Ameenina berjaya memanfaatkan perisian itu bagi sistem inventori, sistem kedai Telegram dan sistem sumber manusia (HR).
Titik tolak bagi penubuhan Klicco ialah apabila Ustaz Abdul Adzhim memperkenalkan perisian automasi yang dihasilkannya itu kepada rakan beliau, Encik Najib.
Encik Najib kemudian menggunakan teknologi berkenaan untuk perniagaan nasi beriani yang dijalankannya dari rumah antara Oktober dengan November 2025.
“Semasa beliau (Encik Najib) menggunakannya, beliau berjaya mengautomasikan seluruh sistem invois dan pesanannya.
“Apabila saya lihat beliau boleh lakukannya, saya bawa beliau sertai saya, dan kami mula membentangkan idea automasi ini kepada perniagaan lain,” kata Ustaz Abdul Adzhim, yang kemudian menubuhkan Klicco bersama rakannya itu pada November 2025.
Berbekalkan pengalaman dan pengetahuan dalam AI, Ustaz Abdul Adzhim berkata beliau ingin mengajar masyarakat Melayu/Islam agar mereka juga mampu untuk menerapkannya dalam kerjaya dan kehidupan seharian.
Beliau percaya AI harus dipelajari kerana ia mampu membantu mempercepat proses pekerjaan mereka.
“Kerana saya sudah mula belajar AI lebih awal, saya ada kelebihan...
“Daripada situ saya berfikir, saya perlu cipta satu sistem untuk bantu mereka yang ketinggalan di belakang supaya mereka dapat kejar dengan cepat,” jelasnya.
Berbeza dengan perisian AI yang lain, keunikan Klicco ialah ia mempunyai latihan khusus untuk mengajar pengguna cara memanfaatkannya secara harian, tambah beliau.
“Klicco bukan sahaja latih untuk faham aliran kerja AI dan cara bina ejen AI.
“Malah, ia turut menyediakan platformnya sekali, berbanding ChatGPT di mana orang ramai perlu mencari tutorial di luar,” kongsi beliau.
Setakat ini, syarikatnya sudah mempunyai 50 pelanggan, dengan 95 peratus daripadanya merupakan peniaga dan pekerja Islam.
Minat mendalam untuk mengajar dan memberi manfaat kepada masyarakat sudah sebati dalam dirinya sejak kecil.
Pengalaman mendidik Ustaz Abdul Adzhim bermula sejak di bangku sekolah menengah di Madrasah Wak Tanjong, di mana beliau menjadi mentor bagi subjek Matematik.
Sejak itu, beliau terus menghulurkan bantuan akademik kepada pelajar yang memerlukan.
Beliau mendapat pendidikan sekolah rendah dan menengah di Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, sebelum melanjutkan pengajian di TP.
Pada masa yang sama, beliau turut meraih Diploma Pengajian Islam daripada Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas).
Walaupun kini sibuk menerajui syarikat berasaskan AI, Ustaz Abdul Adzhim, yang memegang sijil Skim Pengiktirafan Asatizah Peringkat 2 (ARS Tier 2), masih tetap meluangkan masa hampir setiap hari sejurus selesai waktu kerja untuk mengajar Al-Quran dan Fardu Ain.
“Mengajar memang sudah menjadi sebahagian daripada jiwa saya.
“Jika hari ini saya mampu mendidik masyarakat tentang teknologi AI, saya juga bertanggungjawab untuk terus berbakti menyampaikan ilmu agama,” ujarnya.
Berkongsi perancangan jangka panjangnya, Ustaz Abdul Adzhim ingin melihat syarikatnya itu berjaya agar hasil daripadanya dapat menampung pengajian Islam secara percuma.
“Sebelum saya capai impian nak buka kelas Al-Quran dan Fardu Ain percuma, saya rasa banyak lagi perkara yang saya mahu lakukan,” tambahnya.
“
“Kerana saya sudah mula belajar AI lebih awal, saya ada kelebihan... Daripada situ saya berfikir, saya perlu cipta satu sistem untuk bantu mereka yang ketinggalan di belakang supaya mereka dapat kejar dengan cepat.”