Benih yang bermula daripada hobi berkebun ketika pandemik Covid-19 kini berkembang menjadi Kebon Dapor, sebuah projek rumah hijau yang menggabungkan kelestarian, masakan tradisional Melayu dan warisan budaya.

Diasaskan pensyarah politeknik berusia 47 tahun, Raja Mohammad Fairuz Mohamad Yusoff, projek yang lahir daripada minat itu menggalakkan masyarakat Singapura kembali mendekati alam semula jadi dengan menanam, menuai dan memasak makanan sendiri sambil mengenali asal usul masakan serta budaya Melayu.

Terletak di City Sprouts Punggol, Kebon Dapor menanam pelbagai tumbuhan dan herba yang lazim digunakan dalam masakan Melayu, termasuk ulam raja, daun kesum, serai dan daun kunyit.

Bagi Raja Mohammad, Kebon Dapor bukan sekadar sebuah kebun, bahkan ruang pembelajaran yang menghubungkan manusia dengan alam, makanan dan warisan budaya.

Pensyarah seni bina dan reka bentuk itu berkata minatnya terhadap berkebun sebenarnya hanya bermula sekitar tiga tahun lalu selepas pandemik Covid-19, apabila kegiatan berkebun menjadi cara mengisi masa sepanjang tempoh sekatan pergerakan.

“Pada mulanya saya hanya mengumpul tanaman hiasan di rumah. Selepas pandemik, koleksi semakin banyak dan saya mencari tempat yang sesuai untuk menempatkannya,” katanya.

Peluang menyewa rumah hijau di City Sprouts Punggol membuka lembaran baharu apabila beliau memilih untuk menanam tumbuhan yang boleh dimakan, khususnya herba yang menjadi asas kepada masakan tradisional Melayu.

Ruang dapur dan rumah Melayu tradisional di Kebon Dapor menjadi lokasi bengkel memasak, selain tempat pengunjung berkumpul menikmati hasil tuaian secara bergotong-royong.
Ruang dapur dan rumah Melayu tradisional di Kebon Dapor menjadi lokasi bengkel memasak, selain tempat pengunjung berkumpul menikmati hasil tuaian secara bergotong-royong. - Foto BH oleh KHALID BABA

Idea itu turut lahir daripada pengalaman beliau mengikuti projek khidmat masyarakat di Indonesia bersama pelajar politeknik, selain kenangan membesar di Kampung Lorong Buangkok.

“Ramai anak muda hari ini tidak pernah merasai kehidupan kampung.

“Saya mahu mewujudkan sedikit pengalaman itu dalam suasana bandar supaya mereka dapat memahami hubungan antara manusia, tanah dengan makanan,” katanya.

Rumah hijau itu dibahagikan kepada beberapa ruang, termasuk kebun tanaman, dapur serta ruang makan yang diinspirasikan daripada rumah Melayu tradisional.

Di sinilah pengunjung bukan sahaja belajar berkebun, malah mengikuti bengkel menghasilkan nasi ulam, kebun dapur mini dan kuih tradisional.

Menurut Raja Mohammad, antara keunikan Kebon Dapor ialah setiap sesi sukarelawan diakhiri dengan penyediaan hidangan secara bergotong-royong menggunakan hasil tuaian segar dari kebun.

Antara hidangan yang pernah disediakan ialah nasi ulam, nasi kerabu, dan nasi goreng.

“Melalui aktiviti memasak bersama, orang yang datang sebagai orang asing akhirnya menjadi kawan. Mereka berkongsi ilmu, pengalaman dan kenangan sambil menyediakan makanan,” katanya.

Selain memperkenalkan tumbuhan seperti daun kesum, kacang panjang, limau purut dan kedondong, Raja Mohammad berharap masyarakat, khususnya generasi muda, mengenali nama serta kegunaan tumbuhan yang semakin jarang ditemui di pasar raya seperti daun turi.

Menurutnya, ramai hanya menikmati hidangan seperti laksa atau nasi lemak tanpa mengetahui herba yang menghasilkan aroma dan rasanya.

“Apabila kita sendiri menanam, kita lebih menghargai makanan kerana kita memahami dari manakah datangnya setiap ramuan dan usaha yang diperlukan untuk menghasilkannya,” kata beliau.

Namun, beliau mengakui usaha menanam tumbuhan tradisional di Singapura mempunyai cabaran tersendiri, terutama kekangan ruang, cahaya matahari dan sumber air.

Lebih membimbangkan, tapak City Sprouts Punggol dijangka dikosongkan menjelang hujung 2026 bagi memberi laluan kepada pembangunan baharu.

Walaupun berharap dapat menemui lokasi baharu yang lebih kekal, Raja Mohammad menerima hakikat pembangunan merupakan sebahagian daripada realiti Singapura.

Sempena sambutan Hari Kebangsaan, beliau berharap kemajuan negara sentiasa diseimbangkan dengan usaha memelihara warisan.

Kebon Dapor diharap dapat terus menjadi ruang masyarakat mendekati alam serta mengenali semula akar budaya Melayu.
Kebon Dapor diharap dapat terus menjadi ruang masyarakat mendekati alam serta mengenali semula akar budaya Melayu. - Foto BH oleh KHALID BABA

“Kita boleh terus membangun sebagai sebuah negara moden, tetapi pada masa yang sama jangan lupa akar budaya kita.

“Nilai dan tradisi inilah yang membentuk identiti kita dan perlu terus disesuaikan supaya kekal relevan untuk generasi akan datang,” katanya.

SPH Media ialah rakan kongsi utama untuk Perbarisan Hari Kebangsaan 2026.