SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ustaz tubuh perusahaan sosial beri ruang selamat belia pacu semangat

Ustaz tubuh perusahaan sosial beri ruang selamat belia pacu semangat

Misi dekati belia, rapat jurang tarik minat anak muda ke arah kebaikan
Mar 25, 2026 | 3:59 PM

Ustaz tubuh perusahaan sosial beri ruang selamat belia pacu semangat

Pengarah Eksekutif, Membina Community dan Pengarah Impactivity Pte. Ltd., Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, ingin belia selesa menyumbang kepada masyarakat sambil bangun kepimpinan secara selamat dan sihat.
Pengarah Eksekutif, Membina Community dan Pengarah Impactivity Pte. Ltd., Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, ingin belia selesa menyumbang kepada masyarakat sambil bangun kepimpinan secara selamat dan sihat. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Dengan pengalaman sekitar 15 tahun menabur bakti kepada golongan belia, Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, mendapati wujudnya jurang antara aspek keagamaan dengan pemahaman terhadap cita rasa dan matlamat hidup golongan itu.

Menurut beliau, jurang tersebut merangkumi jangkauan belia memandangkan kaedah dakwah agama secara tradisional mungkin tidak dapat menarik golongan muda ini secara berkesan.

Ketika dihubungi, Encik Jihad, 29 tahun, yang merupakan lulusan diploma dalam jurusan Arab dan Pengajian Islam daripada Masjid Khalid, berkata:

“Terdapat banyak contoh yang saya saksikan... para belia daripada latar belakang tertentu terpengaruh dengan kumpulan atau ajakan salah. Mereka terlibat dalam kumpulan kongsi gelap atau samseng.

“Tetapi selepas diberi panduan hidup dan wadah yang dapat mereka manfaatkan, mereka mula asingkan diri daripada pengaruh negatif ini dan mendekatkan diri dengan kumpulan yang mengajak ke arah positif.”

Bersama isterinya, Cik Sri Nur Asma-ul Husna Mohd Hussain, 29 tahun, mereka menubuhkan badan tidak mengaut untung, Membina Community, pada Jun 2023, untuk merapatkan jurang itu.

Pengarah Eksekutif Membina Community dan Pengarah Impactivity Pte. Ltd. itu berkata hasrat badan tersebut, antara lain, adalah menyediakan ruang selamat dan wadah pembangunan diri untuk belia.

Penglibatan berterusannya bersama belia menyedarkannya mereka memerlukan seseorang untuk mempercayai dan mengasah pembangunan diri mereka.

Malah menurutnya, masyarakat di sini tidak seharusnya melihat golongan belia bermasalah sebagai ancaman, tetapi mengubah pola pemikiran sedemikian untuk melihat mereka sebagai pemimpin berpotensi.

“Jika tiada sesiapa yang cuba menjangkau golongan ini melalui kaedah yang tidak biasa dikendalikan, mungkin tidak ada jalan atau ruang bagi mereka mengubah ke arah lebih baik,” kata beliau yang berdaftar di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 2.

Menurut Encik Jihad, lebih daripada sekadar penglibatan dengan belia, terdapat juga keperluan untuk mempengaruhi perbualan dalam masyarakat, memperkukuh latihan dan juga kepimpinan pemikiran dalam sektor sosial secara keseluruhan.

Ini memandangkan golongan belia “kekurangan sistem sokongan dan persekitaran yang memperkasa mereka untuk menjadi lebih baik dalam hidup”.

Maka itu, lahirlah perusahaan sosial, Impactivity Pte. Ltd., yang tertumpu pada “tindakan menyokong, latihan dan usaha impak sosial yang lebih luas di Singapura”, ujarnya.

Encik Jihad akur pendekatan yang diambil ini amat berbeza daripada aliran yang biasa diambil kerana ia tidak melibatkan beliau berkecimpung dalam sektor keagamaan secara sepenuh masa.

Ini meskipun beliau pernah terlibat dalam sektor itu suatu ketika dahulu.

Malah, beliau menyifatkan pendekatan yang diambil sebagai satu misi bermuhasabah diri dan sebagai cara “memenuhi keperluan dalam masyarakat” bagi merapatkan jurang yang belum dimanfaatkan orang lain.

Ini di samping wujudnya keselarasan antara nilai yang diajar oleh Islam dengan kebaikan masyarakat, tambah beliau.

Encik Jihad berkata: “Saya rasa tiba masanya saya ambil haluan yang lain daripada biasa dan kurang diambil orang ramai.

“Saya cuba meneroka cara berbeza untuk membantu individu dan menabur bakti kepada masyarakat.”

Oleh demikian, beliau menyeru supaya golongan asatizah mengembangkan peranan masing-masing kepada aspek pendampingan dan sumbangan sosial kerana pendekatan kontemporari dan perspektif Islam saling melengkapi.

Beliau menukil contoh ilmu akhlak di sisi Islam, yang menurutnya, dapat disisipkan semasa sesi bimbingan belia – merangkumi sifat daya ketahanan diri dan tanggungjawab sivik.

“Saya melihat banyak perkara sealiran… kerana Islam sudah mengajar kita untuk menekankan nilai-nilai seperti keadilan, berkhidmat untuk masyarakat dan rahmah sebagai contoh.

“Saya berpendapat tidak ramai (daripada golongan asatizah) yang meneroka lebih daripada sekadar peranan tradisional (sebagai pendakwah).

“Oleh itu, saya gembira kerana dapat mencuba pelbagai cara (untuk berkhidmat kepada masyarakat) dan juga menyokong asatizah serta sesiapa sahaja yang ingin mencuba laluan ini.

“Saya sedar peranan kami sebagai asatizah bukan sekadar untuk membimbing orang lain, tetapi juga untuk mendengar dengan penuh belas ihsan dan bersikap empati,” ujarnya.

Untuk meningkatkan khidmat yang ditawarkan, Encik Jihad kini melanjutkan pendidikannya sebagai pelajar tahun ketiga Sarjana Muda dalam Pengajian Islam daripada Universiti Ibn Khaldun Bogor, Indonesia, kerana berhasrat melakukan kajian mendalam tentang masyarakat dan belia Islam.

“... Saya gembira kerana dapat mencuba pelbagai cara (untuk berkhidmat kepada masyarakat) dan juga menyokong asatizah serta sesiapa sahaja yang ingin mencuba laluan ini. Saya sedar peranan kami sebagai asatizah bukan sekadar untuk membimbing orang lain, tetapi juga untuk mendengar dengan penuh belas ihsan dan bersikap empati.”
Encik Mohamed Nor Jihad Mohamed Suhaimi, Pengarah Eksekutif, Membina Community dan Pengarah Impactivity Pte. Ltd.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg