SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ustaz serba boleh dekati ummah sebagai pengacara, perluas ajaran Islam secara santai

Ustaz serba boleh dekati ummah sebagai pengacara, perluas ajaran Islam secara santai

Pentas mengacara dijadikan ruang kongsi panduan dan ilmu berguna
Mar 26, 2026 | 5:30 AM

Ustaz serba boleh dekati ummah sebagai pengacara, perluas ajaran Islam secara santai

Ustaz Abdullah Ahmad, pengacara, majlis perkahwinan
Ustaz Abdullah Ahmad bermula sebagai pengacara sambilan bagi majlis perkahwinan secara tidak sengaja kerana ingin bantu meriahkan majlis seorang teman akrab. - Foto ihsan ABDULLAH AHMAD

Apabila Ustaz Abdullah Ahmad menerima permintaan untuk menjadi pengacara bagi majlis perkahwinan beberapa sahabat handai dan anggota keluarga pada 2022, beliau pada awalnya berasa ragu.

Meskipun kurang yakin beliau sesuai memikul peranan tersebut, Ustaz Abdullah, 31 tahun, tidak menolak sebarang permintaan dan cuba melakukan yang terbaik.

Permintaan demi permintaan mengacara datang bertali arus sehinggakan lulusan Universiti Al-Azhar dalam jurusan Akidah dan Falsafah itu mula menyedari dengan pendekatan yang sengaja, pentas pengacaraan boleh menjadi ruang menyampaikan panduan Islam dengan cara yang mudah dihadam masyarakat.

“Ibu kepada teman saya meminta agar saya dapat mengacara majlis perkahwinan anaknya pada 2022, tapi awalnya saya tidak rasa yakin sebagai pengacara majlis.

“Namun, saya penuhi juga permintaannya dan setelah itu, ada yang mula mengenali saya.

“Dari situ, saya mula mengacara secara bebas.

“Sedang saya mengacara, saya akan gunakan ruang itu sebagai peluang untuk memberikan peringatan dengan cara lemah lembut dan tidak memaksa.

“Sebagai contoh saya akan sampaikan pesanan tentang bagaimana perkahwinan itu satu amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Allah swt dan sebagainya.

“Bukan niat saya menyampaikan ceramah tapi sekadar satu perkongsian secara santai,” kongsi Ustaz Abdullah, ketika ditemui Berita Harian (BH) baru-baru ini.

Daripada peluang mengacara majlis perkahwinan, terbuka peluang untuk beliau berjinak-jinak dalam menggalas amanah sebagai jurugambar perkahwinan sambilan bersama syarikat Colossal Weddings.

Dalam pada itu, dengan memanfaatkan media sosial dan ruang digital, beliau turut berpeluang menjadi penghubung bagi anggota masyarakat yang mahu mendekati Islam.

Ini mendorong Ustaz Abdullah, yang kini bekerja sepenuh masa sebagai editor penyelidikan, untuk terus menjadi pengacara dan jurugambar sambilan, di samping menampilkan diri dalam rakaman podcast atau ceramah masjid.

Beliau pernah diundang untuk membuat penampilan dalam episod podcast seperti Sacred Heartwork yang membincangkan tentang kesihatan mental dari lensa Islam; OUTSIDEIN yang membincangkan mengenai perkahwinan, di samping menganggotai panel sebagai penceramah di beberapa masjid seperti Masjid Kassim.

Meskipun beliau akur media sosial dan ruang digital merupakan wadah penting yang boleh dimanfaatkan sebagai cara berdakwah dan menimba ilmu, ia tidak dapat menggantikan pendidikan agama rasmi.

“Saya melihat podcast, YouTube dan TikTok sebagai cara menjawab pertanyaan atau memberi pencerahan.

“Namun, wadah dalam talian adalah sekadar pelengkap kepada kelas agama rasmi, yang saya rasa masih amat diperlukan untuk mempelajari Islam,” tambahnya.

Ustaz Abdullah turut menyedari terdapat segelintir anggota masyarakat seperti golongan belia atau dewasa bekerja yang berasa gentar untuk menjejakkan kaki ke masjid atau mendaftar kelas agama.

Justeru, beliau berharap dapat merapatkan jurang tersebut dengan menjadi wajah ramah dan mudah didekati, yang juga seorang asatizah yang diiktiraf di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Apabila sebilangan masyarakat atau rakan sekerja mendekati dirinya bagi tujuan mendapatkan sedikit pencerahan mengenai Islam, beliau akan berkongsi dengan hati terbuka.

“Ada yang secara rambang bertanya jika saya tahu tentang rawatan ruqyah. Ada juga yang tanya tentang tahnik dan tahlik dan jika saya boleh sediakan khidmat tersebut.

“Jika mampu, saya akan bantu, tetapi jika saya kurang arif, saya akan rujukkan mereka kepada pakar,” kata Ustaz Abdullah.

Setiap permintaan dan rujukan mencerminkan keterbukaan masyarakat untuk belajar dan perkara itu menjadi pemangkin bagi beliau untuk terus mendekati mereka.

Memandang ke hadapan, beliau berharap asatizah Singapura akan terus diperkasakan sebagai pakar agama yang berkhidmat kepada masyarakat sambil memanfaatkan teknologi sebagai jambatan demi kesejahteraan ummah.

“Saya melihat podcast, YouTube dan TikTok sebagai cara menjawab pertanyaan atau memberi pencerahan. Namun, wadah dalam talian adalah sekadar pelengkap kepada kelas agama rasmi, yang saya rasa masih amat diperlukan untuk mempelajari Islam.”
Ustaz Abdullah Ahmad, editor penyelidikan yang juga pendakwah bebas.
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg