SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ujian pelepasan bahan ekzos motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands guna kios baru NEA

Ujian pelepasan bahan ekzos motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands guna kios baru NEA

Satu kios dicuba dahulu sebelum diperluas; langkah susulan pengetatan had karbon monoksida, hidrokarbon berkuat kuasa sejak 2023
Mar 30, 2026 | 1:43 PM

Ujian pelepasan bahan ekzos motosikal di Pusat Pemeriksaan Woodlands guna kios baru NEA

penunggang motosikal, prototaip kios ujian kendiri pelepasan ekzos motosikal, Pusat Pemeriksaan Woodlands, NEA
Seorang penunggang motosikal menggunakan prototaip kios ujian kendiri pelepasan ekzos motosikal. - Foto NEA

Penunggang motosikal yang memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands mungkin dipilih secara rambang untuk menguji pelepasan bahan buangan kenderaan mereka menggunakan kios ujian kendiri baru yang dijangka siap menjelang awal 2027.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) akan menguji satu kios terlebih dahulu, menilai keupayaan ujian kendiri dan pengalaman pengguna, sebelum memutuskan untuk memperluas penggunaannya.

Kios baru itu membolehkan penunggang motosikal menjalankan ujian pelepasan ekzos sendiri, di bawah pengawasan jarak jauh pegawai NEA, bagi memastikan setiap motosikal yang masuk mematuhi piawaian pelepasan bahan buangan kenderaan yang ditetapkan.

Langkah itu menyusuli pengetatan had karbon monoksida dan hidrokarbon yang berkuat kuasa sejak 2023.

Mereka yang melebihi had pencemaran akan menghadapi tindakan penguatkuasaan.

NEA kini membuka tender untuk kios baru itu.

Berdasarkan dokumen tender yang diterbitkan di portal GeBiz pada 5 Mac, kios baru itu harus memanfaatkan pengalaman dari kios prototaip yang diuji sebelum ini, dengan penambahbaikan dari segi “fungsi, pengalaman pengguna dan kecekapan operasi”.

Mereka yang membida projek itu boleh mencadangkan sistem baru atau menaik taraf sistem sedia ada.

NEA berharap dapat bekerjasama dengan firma yang berpengalaman dalam projek seumpama itu.

Pembida projek perlu mengemukakan reka bentuk konsep bagi kios tersebut.

Pemilihan kontraktor oleh NEA akan berdasarkan rekod prestasi, reka bentuk konsep dan peralatan yang dicadangkan.

Pembidaan bagi pembangunan kios baharu itu akan ditutup pada 4 petang, 31 Mac.

Menjawab pertanyaan, NEA menyatakan ujian kios prototaip berjalan lancar dari November 2023 hingga Februari 2024, melibatkan ujian ke atas lebih 700 motosikal yang dipilih secara rambang.

Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa menjawab soalan Parlimen pada Mac, memaklumkan, kira-kira 230 penunggang motosikal telah dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana kenderaan mereka dikesan melebihi had pelepasan ekzos semasa tempoh ujian.

Menurut laman web NEA, jika sabit kesalahan di mahkamah, pemilik kenderaan seumpama itu boleh didenda sehingga $2,000 bagi kesalahan pertama dan $5,000 bagi kesalahan berikutnya.

Setelah ujian selesai, NEA mengenal pasti beberapa aspek yang perlu diperbaiki, termasuk reka bentuk yang kurang mesra pengguna dan arahan pada skrin yang mengelirukan, menyebabkan pengguna terpaksa dibantu secara lisan oleh pegawai NEA melalui interkom.

Bagi mengatasi isu itu, NEA merancang kios baharu yang dilengkapi panel komunikasi LED interaktif.

Panel itu akan memaparkan arahan ringkas yang jelas dan menggunakan ikon lazim untuk membantu penunggang motosikal melalui langkah ujian pelepasan bahan buangan kenderaan.

Kios itu sepatutnya dilengkapi panduan video, mengajar penunggang motosikal yang belum biasa dengan sistem, cara menjalankan ujian.

Ujian tersebut mendedahkan cabaran bahasa bagi segelintir penunggang yang mempunyai keupayaan membaca yang terbatas.

Justeru, panel skrin sentuh baru itu perlu menyediakan bantuan visual dan audio yang lebih baik, serta pilihan bahasa – Inggeris, Mandarin, Melayu atau Tamil.

Selain itu, kios baru harus mempunyai kamera, mikrofon dan pembesar suara untuk komunikasi dua hala antara bilik kawalan dengan kios ujian kendiri.

Ini penting untuk meningkatkan komunikasi, yang dikenal pasti sebagai masalah berpotensi semasa ujian rintis, memandangkan bunyi bising yang kuat di lokasi boleh menyukarkan perhubungan antara pegawai di bilik kawalan dengan penunggang motosikal di kios.

NEA menyatakan, kios ujian baru itu berpotensi memperkemas operasi, dan seorang pegawai boleh menyelia ujian beberapa motosikal secara serentak.

Ini berbeza dengan keadaan semasa di pusat pemeriksaan di mana ujian pelepasan setiap motosikal diurus oleh sekurang-kurangnya seorang pegawai.

Secara purata, 936 motosikal pencemar dikesan di pusat pemeriksaan setiap tahun dari 2023 hingga 2025.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg