Topic followed successfully
Go to BHkuKamera di lokasi pilihan pertingkat pengesanan pembuangan sampah dari tingkat tinggi
Kamera di lokasi pilihan pertingkat pengesanan pembuangan sampah dari tingkat tinggi
Projek percubaan NEA catat kadar tangkapan sebanyak 30%
Kamera di lokasi pilihan pertingkat pengesanan pembuangan sampah dari tingkat tinggi
Satu projek percubaan yang dilancarkan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) pada Oktober 2025, melibatkan kesemua 19 majlis bandaran untuk menempatkan kamera pengesan pembuangan sampah dari tingkat tinggi telah mencatat kadar tangkapan sebanyak 30 peratus.
Ini berbanding kadar tangkapan 21 peratus yang dicatat oleh kamera pengawasan NEA bagi kesalahan serupa pada 2025, kata agensi itu kepada The Straits Times (ST) pada 25 Mac.
Kadar tangkapan, atau catch rate, merujuk kepada kadar kejayaan dalam mengesan kesalahan pembuangan sampah dari tingkat tinggi.
Di bawah projek percubaan enam bulan ini, setiap majlis bandaran dibekalkan dengan dua kamera pengawasan sebulan bagi membolehkan “campur tangan lebih pantas dan lebih tersasar” terhadap kes pembuangan sampah dari tingkat tinggi, kata NEA.
Lokasi tumpuan pembuangan sampah dari tingkat tinggi itu dikenal pasti oleh kakitangan majlis bandaran.
Di bawah inisiatif ini, sebanyak 39 kamera telah diletakkan di lokasi tumpuan sehingga Disember 2025.
NEA tidak mendedahkan kawasan di mana pesalah pembuangan sampah dari tingkat tinggi telah dikesan melalui kamera tersebut.
Secara keseluruhan, NEA telah mengambil tindakan terhadap 350 kes pembuangan sampah dari tingkat tinggi pada 2025, kata agensi tersebut ketika memberi kemas kini mengenai data kesalahan pembuangan sampah bagi 2025.
Perbuatan sedemikian membahayakan orang ramai, mengotorkan alam sekitar serta mengancam kebersihan awam.
Bilangan aduan pembuangan sampah dari tingkat tinggi kekal stabil sejak 2023, dengan purata sekitar 28,600 aduan setahun, kata NEA.
Agensi itu menambah pihaknya sentiasa memperbaharui pendekatan mereka bagi mempertingkatkan usaha pengawasan dan keberkesanan penguatkuasaan.
Sebagai contoh, bagi meningkatkan pengesanan pesalah, NEA berkata sejak Ogos 2025, ia telah melanjutkan tempoh pengawasan kamera bagi kes pembuangan sampah dari tingkat tinggi daripada 14 hari kepada sehingga 28 hari.
NEA turut menyatakan dalam kemas kini tersebut sekitar 1,300 tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pemilik premis berhubung pelanggaran pembersihan berkaitan tikus pada 2025.
Ini meningkat daripada lebih 1,000 kes pada 2024.
Daripada tindakan yang dijalankan NEA dan Agensi Makanan Singapura (SFA) secara bersama, sebanyak 620 kes adalah berkaitan pengurusan sampah yang lemah.
Pada 2025, NEA telah mengambil 13,200 tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan pembuangan sampah merentas Singapura.
Agensi itu turut menjalankan sekitar 300 operasi penguatkuasaan – lebih dua kali ganda berbanding bilangan operasi yang dijalankan pada 2024 – di lokasi tumpuan pembuangan sampah pada 2025.
NEA tidak mendedahkan lokasi tumpuan tersebut.
Di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran, mereka yang didapati bersalah atas kesalahan membuang sampah boleh dikenakan denda sehingga $2,000 bagi sabitan pertama, $4,000 bagi sabitan kedua, dan $10,000 bagi ketiga dan seterusnya.
Pesalah juga boleh diarahkan menjalani perintah kerja pembetulan (CWO), yang melibatkan pembersihan kawasan awam sehingga 12 jam.
NEA berkata lebih 700 perintah sedemikian telah dikeluarkan pada 2025.
Langkah tersebut, termasuk operasi penguatkuasaan dan CWO, telah membawa kepada pengurangan 40 peratus dalam jumlah sampah di lokasi tumpuan dalam tempoh enam bulan, kata NEA.
Sementara itu, meskipun lebih banyak tindakan penguatkuasaan diambil terhadap pemilik premis berhubung pelanggaran berkaitan tikus, bilangan sarang tikus yang dikesan telah menurun.
Bilangan purata sarang tikus yang direkodkan dalam setiap kitaran pengawasan pada separuh kedua 2025 ialah sekitar 4,200, turun daripada 5,400 pada separuh pertama tahun tersebut, kata NEA.
Sebilangan besar sarang tikus dikesan di kawasan perumahan awam, diikuti oleh kawasan tepi rumput dan kawasan industri, tambah agensi itu.
Sejak September 2025, NEA mempertingkatkan usaha pengawalan tikus di lokasi seperti Little India, yang dikenal pasti sebagai kawasan dengan aktiviti perdagangan tinggi dan amalan pengurusan sampah tidak memuaskan.
Usaha ini termasuk melibatkan pihak berkepentingan dalam amalan kebersihan baik dan pengurusan sampah betul, serta menjalankan pemeriksaan malam secara berkala.

