JAKARTA: Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, memulakan perbincangan bersama rakan sejawatannya dari Indonesia, Encik Sugiono, dengan melahirkan penghargaan kepada lebih 150 anggota penyelamat Indonesia yang sanggup meletakkan diri mereka dalam bahaya untuk membawa keluar mayat dua warga Singapura yang terkorban dalam letusan Gunung Dukono.

Dr Balakrishnan turut berkata operasi tersebut mencerminkan hubungan akrab antara kedua-dua negara jiran itu.

“Anda tahu, perkara sebegini bukan sesuatu yang anda boleh bayar atau tuntut.

“Anda hanya mampu berharap dan bergantung kepada kekuatan hubungan antara kedua-dua negara kita,” kata Dr Balakrishnan dalam satu sidang media bersama di Jakarta pada 12 Mei.

Dua warga Singapura, Encik Timothy Heng, 30 tahun; dan Encik Shahin Muhrez Abdul Hamid, 27 tahun; dan seorang warga Indonesia, Cik Angel Pradita, 28 tahun; merupakan tiga pendaki yang maut selepas gunung berapi di Tobelo itu meletus pada 8 Mei.

Dr Balakrishnan berkata rakyat Singapura telah mengikuti perkembangan misi mencari dan menyelamat tersebut serta mendoakan keselamatan anggota penyelamat Indonesia yang bekerja dalam keadaan bahaya dengan letusan terus berlaku, selain berdepan debu gunung berapi yang tebal dan cuaca buruk.

“Sikap saling menjaga dan melindungi antara satu sama lain dalam tempoh krisis ini benar-benar mencerminkan keakraban antara rakyat Indonesia dengan Singapura,” katanya.

Beliau menambah, semangat kerjasama yang sama juga jelas kelihatan di peringkat lebih luas, sambil merujuk kepada bagaimana Indonesia, Malaysia dan Singapura bekerjasama memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura kekal terbuka dan selamat.

Ini dilaksanakan melalui mekanisme kerjasama berpandukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (Unclos).

Dr Balakrishnan berkata aturan itu boleh dijadikan sebagai ‘model positif’ bagi rantau lain.

Ini lebih-lebih lagi ketika konflik di Timur Tengah dan penutupan laluan perkapalan Selat Hormuz mengancam bekalan tenaga, memacu inflasi dan menguji sistem antarabangsa berasaskan peraturan.

Penghargaan penuh hiba dan mesej strategik lebih luas itu menjadi teras kepada mesyuarat yang menyerlahkan aspek kemanusiaan serta geopolitik dalam hubungan antara Singapura dengan Indonesia.

Dr Balakrishnan sedang dalam lawatan kerja ke Indonesia dari 11 hingga 13 Mei. 

Beliau diiringi pegawai Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan akan bertemu dengan pegawai kanan Indonesia.

Semasa memulakan mesyuarat tersebut, Dr Balakrishnan berkata “kita bukan hidup dalam keadaan normal” dan menegaskan kepentingan bagi Singapura dan Indonesia untuk saling menyokong tatkala kedua-dua negara berdepan tidaktentuan sejagat, serta ketika Singapura membuat persiapan untuk mempengerusikan Asean pada 2027.

Menurut Encik Sugiono, kedua-dua menteri telah mengadakan ‘perbincangan sangat mendalam’ merangkumi persiapan bagi Rahat Pemimpin tahunan antara Presiden Prabowo Subianto dengan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, serta kerjasama dalam bidang tenaga, keselamatan makanan dan pembangunan industri.

Rahat Pemimpin merupakan mesyuarat peringkat tertinggi antara Singapura dengan Indonesia, yang diadakan secara bergilir di setiap negara, dengan Indonesia menjadi tuan rumah bagi mesyuarat pada 2026.

Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Singapura-Indonesia pada 2027.

Encik Sugiono berkata sambutan tersebut, yang digelarnya sebagai Rising 60 – singkatan bagi Republik Indonesia dan Singapura 60 – akan menjadi “peluang memperkukuh semula perkongsian bersama bagi dekad mendatang”.

“Seperti yang sering dikatakan oleh Presiden saya, kita telah ditakdirkan untuk menjadi jiran. Kita tidak mempunyai pilihan.

“Secara geografi, kita terletak bersebelahan antara satu sama lain. Itu menuntut perkongsian serta kerjasama lebih besar antara kita,” ujarnya.

“Sikap saling menjaga dan melindungi antara satu sama lain dalam tempoh krisis ini benar-benar mencerminkan keakraban antara rakyat Indonesia dengan Singapura.”
Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan.