Topik diikuti
Pergi ke BHkuTerjerat hutang, bangkit semula selepas bebas daripada tekanan kewangan
Terjerat hutang, bangkit semula selepas bebas daripada tekanan kewangan
Bekas penghutang kongsi bagaimana sokongan, bimbingan profesional bantu urus semula kehidupan
Terjerat hutang, bangkit semula selepas bebas daripada tekanan kewangan
Dalam masa kurang 30 minit, wang dimasukkan ke dalam akaunnya sebaik sahaja permintaan dibuat.
Pada ketika itu, ‘Kak Sim’ (bukan nama sebenar) tidak menyangka tindakan mengambil pinjaman daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen akhirnya menyebabkan beliau hidup dalam ketakutan dan kebimbangan.
Masalah kewangannya bermula apabila beliau perlu memikul pelbagai komitmen keluarga, termasuk menjaga kedua ibu bapanya yang uzur, membayar gaji pembantu rumah serta menanggung perbelanjaan persekolahan anak-anak.
Apa yang bermula sebagai pinjaman daripada bank dan pemberi pinjaman wang berlesen akhirnya menjadi semakin sukar dikawal sebelum beliau terjerat dengan along demi mendapatkan wang dengan cepat.
“Ketika itu, arwah bapa saya terlantar di katil dan arwah ibu saya pula memerlukan kerusi roda untuk bergerak.
“Jadi masalah kewangan keluarga semakin meningkat,” jelas Kak Sim, 54 tahun.
“Walaupun saya mula meminjam daripada bank, saya mula lihat bayaran bunganya terus meningkat.
“Apabila sudah jadi begitu, saya mula terjebak dengan along,” tambah ibu dua anak itu.
Lama-kelamaan, hutangnya meningkat sehingga melebihi $50,000, termasuk sekitar $20,000 hutang daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen dan sekitar $30,000 lagi daripada pemberi pinjaman wang berlesen.
Tekanan itu akhirnya menjejas kehidupan hariannya.
Pada satu ketika, rumahnya disimbah cat manakala pagar rumahnya pula dikunci, dipercayai angkara ahlong selepas beliau gagal membuat bayaran hutang sehingga memerlukan campur tangan polis.
“Setiap kali dengar bunyi dekat luar rumah, saya rasa cemas.
“Yang paling saya khuatir ialah keselamatan dua anak perempuan saya dan ibu bapa saya yang kurang sihat,” katanya.
Menurut data Jabatan Perangkaan Singapura (SingStat) pada Februari 2026, liabiliti isi rumah di Singapura meningkat sebanyak 7.4 peratus pada suku keempat 2025, iaitu kadar pertumbuhan paling pesat sejak suku keempat 2021.
Suku keempat 2025 juga menyaksikan kali pertama sejak 2019 hutang isi rumah meningkat lebih cepat – 7.4 peratus – berbanding aset isi rumah yang hanya meningkat sebanyak 7.3 peratus.
Pegawai eksekutif perkhidmatan keluarga AMP Singapura, Cik Nurhayati Yusof, berkata antara sebab utama ramai individu terjebak dalam hutang adalah kerana kurangnya pengetahuan dalam mengurus kewangan.
“Apabila mereka rasa pinjam itu mudah, mereka akan mula meminjam sedikit demi sedikit.
“Lama-kelamaan, hutang itu menjadi semakin besar dan sukar dikawal,” jelasnya.
Namun bagi Kak Sim, titik perubahan hidupnya bermula selepas beliau menemui Pusat Nasihat Hutang (DAC) AMP secara dalam talian dan memberanikan diri mendapatkan bantuan.
Pada awalnya, beliau mengakui ragu-ragu untuk menghadiri sesi kaunseling dan kumpulan sokongan yang disediakan DAC.
“Saya fikir waktu itu, kenapa mereka tidak boleh terus beri duit saja untuk selesaikan hutang saya,” katanya sambil ketawa kecil mengimbau kembali detik tersebut.
Namun, selepas menghadiri sesi kumpulan sokongan, beliau mula sedar ramai individu lain turut berdepan masalah kewangan serupa, malah ada yang lebih teruk.
“Apabila saya dengar kisah orang lain, saya mula rasa saya tidak bersendirian dan masih ada jalan keluar,” katanya.
Menurut Kak Sim, DAC bukan sahaja membantu beliau mengurus hutang, malah memberi sokongan emosi ketika beliau berada dalam keadaan tertekan dan hilang arah.
Selepas dibimbing DAC, beliau berjaya menyelesaikan hutangnya dalam tempoh sekitar tujuh tahun.
Kini, beliau menjadi sukarelawan di DAC AMP untuk membantu individu lain yang menghadapi cabaran serupa.
Seorang lagi individu yang pernah berdepan masalah kewangan serius, Cik Siti Masturah Ramlan, berkata isu hutang dan muflis boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk mereka yang kelihatan berjaya di mata masyarakat.
Mantan usahawan itu pernah menjalankan perniagaan menjual beg berjenama secara dalam talian sebelum bergantung kepada kad kredit untuk membeli bekalan bagi acara jualan yang dianjurkannya.
“Orang nampak macam seronok buat bisnes, nampak glamor dan meriah.
“Namun di belakang tabir, saya seorang saja tahu tekanan sebenar yang dilalui,” katanya.
Menurut Cik Masturah, 43 tahun, beliau pada mulanya yakin setiap acara jualannya akan memberikan keuntungan besar.
Namun, apabila jualan tidak seperti diharapkan, beliau mula membuat bayaran minimum bagi hutang kad kreditnya sehingga jumlah hutang meningkat kepada sekitar $50,000.
“Saya pernah bayar lebih $1,000 setiap bulan selama setahun, tetapi jumlah hutang masih tidak berkurang.
“Waktu itu, saya rasa sangat penat dan terasa putus asa,” katanya.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila beliau menerima surat mahkamah yang memaklumkan barangan di rumahnya boleh disita.
“Itulah kali pertama saya betul-betul terduduk.
“Saya rasa kosong dan tidak tahu apa yang akan berlaku selepas itu,” kata ibu kepada seorang anak lelaki itu.
Mengulas lanjut, Cik Nurhayati berkata ramai individu yang mendapatkan bantuan sebenarnya berada dalam keadaan krisis bukan sahaja dari segi kewangan malah dari segi emosi dan hubungan keluarga.
Menurutnya, ramai juga individu yang cuba menyembunyikan masalah kewangan mereka daripada anggota keluarga kerana malu atau takut dikritik.
Namun, sokongan keluarga memainkan peranan penting dalam proses pemulihan seseorang.
“Apabila seseorang itu berterus terang dengan keluarga dan mula mendapatkan bantuan, biasanya proses pemulihan itu menjadi lebih mudah kerana mereka tidak lagi menghadapi masalah itu seorang diri,” kata Cik Nurhayati.
Cik Masturah berkata antara perkara yang paling membantu dirinya bangkit semula adalah sokongan keluarga, terutama ibu bapanya, selepas beliau akhirnya berterus terang tentang masalah kewangannya.
“Saya rasa ayah saya pada awalnya agak terkejut sebab dari luar orang nampak semuanya okey dan saya seakan boleh menguruskan keadaan.
“Namun, apabila saya ceritakan perkara sebenar, keluarga saya lebih tertumpu pada bagaimana untuk bangkit semula dan mencari jalan penyelesaian,” katanya, yang merupakan Pengarah Divisyen, VIV Associates – firma yang membimbing pelanggan cara membayar balik hutang.
Menurutnya, sokongan emosi daripada keluarga banyak membantu beliau melalui tempoh sukar itu.
Cik Masturah akhirnya diisytiharkan muflis sebelum berjaya menamatkan tempoh pembayaran balik dan dilepaskan daripada status muflis pada 2023.
“
“Apabila mereka rasa pinjam itu mudah, mereka akan mula meminjam sedikit demi sedikit. Lama-kelamaan, hutang itu menjadi semakin besar dan sukar dikawal.”“
“Apabila saya dengar kisah orang lain (di Pusat Nasihat Hutang (DAC) AMP), saya mula rasa saya tidak bersendirian dan masih ada jalan keluar.”“
“Saya rasa ayah saya pada awalnya agak terkejut sebab dari luar orang nampak semuanya okey dan saya seakan boleh menguruskan keadaan. Namun, apabila saya ceritakan perkara sebenar, keluarga saya lebih tertumpu pada bagaimana untuk bangkit semula dan mencari jalan penyelesaian.”