Topik diikuti
Pergi ke BHkuProgram kesihatan bantu bakal jemaah haji lebih cergas secara menyeluruh
Program kesihatan bantu bakal jemaah haji lebih cergas secara menyeluruh
Perubahan positif pada rutin harian anggota jemaah dilihat siap harungi cabaran fizikal di Tanah Suci
Program kesihatan bantu bakal jemaah haji lebih cergas secara menyeluruh
Ketika kali pertama menunaikan ibadah haji pada 1985, Cik Ju’airah Kothiram, mengakui beliau tidak begitu memikirkan tentang persediaan fizikal sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Menurut beliau, pada ketika itu persediaan jemaah lebih tertumpu kepada menghadiri kursus haji, mempelajari rukun dan wajib haji, serta menjalani latihan praktikal seperti tawaf dan sai.
Sebagaimana jelasnya dalam satu episod podcast terbitan Berita Harian (BH), NoTapis:
“Dulu kebanyakannya kursus haji sahaja.
“Ketika itu, tidak banyak senaman yang disediakan, selain latihan melakukan tawaf dan sai di masjid,” jelas suri rumah yang kini berusia 62 tahun.
Namun, selepas melalui pengalaman menunaikan haji kedua pada 2002, Cik Ju’airah lebih memahami cabaran fizikal yang perlu dihadapi jemaah ketika berada di Makkah dan Madinah.
Antara cabaran utama termasuk perjalanan jauh dalam cuaca panas dan berjalan dikelilingi lautan manusia.
Oleh itu, bagi persiapan haji kali ketiganya pada 2026, ibu seorang anak perempuan itu telah memberi lebih perhatian terhadap aspek kecergasan fizikal dan stamina.
Usaha itu dipertingkatkan lagi apabila beliau menyertai program kesihatan dan kecergasan, Program Sihat Untuk Haji, atau Get Fit For Haj (GFH).
GFH merupakan program tiga bulan, dengan jemaah haji menyertai kegiatan berkaitan kesihatan, anjuran ejen penjualan (GSA) pakej haji serta Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) – merangkumi ceramah kesihatan, senaman dan pemeriksaan kesihatan.
Menurut Cik Ju’airah, antara perkara yang dipelajari menerusi program tersebut termasuk teknik regangan badan yang betul, latihan menggunakan dumbel ringan serta senaman menguatkan bahagian kaki, tangan dan bahu.
“Apabila di sana, teknik regangan ini akan banyak membantu menguatkan otot kami kerana apabila di sana kita akan banyak berjalan,” katanya.
Cik Ju’airah menambah melalui program itu, ia turut membantunya memahami kepentingan melakukan senaman secara tekal walaupun pada tahap ringan.
Selain mengikuti sesi GFH, beliau turut melakukan senaman aktif tambahan sebagai persiapan menunaikan ibadah haji.
Antara yang dilakukan termasuk menyertai kumpulan, Slow Run sejak 2018, yang mana kegiatan berjalan santai dan senaman ringan dilakukan di taman sekitar bahagian barat Singapura serta tarian Zumba berpandukan video di YouTube.
Mengulas tentang program GFH, Pengurus Kanan, Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), Encik Aliff Izwan Ariffin, berkata program itu diperkenalkan pada 2023 bagi membantu jemaah membuat persediaan yang lebih menyeluruh dari segi fizikal, mental dan pemakanan sebelum berangkat ke Tanah Suci.
Program itu diusahakan di bawah bidang tumpuan kelima (FA5) berkaitan kesihatan di bawah M Kuasa Tiga (M³).
Ia dihasilkan dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), HPB, Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA), serta Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas).
Menurut Encik Aliff Izwan, ramai jemaah Singapura terdiri daripada warga emas dan perlu bersedia menghadapi perjalanan haji yang memerlukan daya tahan fizikal.
“Perjalanan haji melibatkan banyak berjalan, cuaca panas, kurang tidur dan kesesakan manusia.
“Jadi sebab itu, kita perlu beri penekanan kepada kesihatan terutamanya bagi golongan lebih berusia,” katanya.
Beliau menambah, program sepanjang 12 minggu itu direka supaya sesuai untuk semua tahap kecergasan, dengan sesi senaman bermula pada intensiti rendah sebelum ditingkatkan secara berperingkat.
“Sesi pertama sentiasa bermula dengan intensiti rendah supaya semua orang, termasuk warga emas atau mereka yang jarang bersenam, dapat ikut secara perlahan-lahan,” katanya.
Turut menyertai perbincangan podcast ini, Setiausaha Kehormat Amtas, Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata program seperti GFH membantu meningkatkan kesedaran jemaah tentang kepentingan menjaga kesihatan sebelum menunaikan ibadah haji.
Menurut beliau, ramai jemaah kini lebih peka terhadap tahap stamina dan mula mengamalkan gaya hidup lebih aktif selepas menyertai program tersebut.
“Kini terdapat lebih ramai jemaah yang memahami kepentingan melakukan senaman dan memastikan otot-otot mereka terus bergerak dan bertenaga ketika mereka melakukan perjalanan ini,” kata beliau, yang juga Pengarah, syarikat pelancongan, Noor Mohamad Services & Travel Pte Ltd.
Dalam podcast tersebut, Ustazah Juyda berkata ada anggota jemaah yang mula naik tangga daripada naik lif dan ada juga yang memilih berjalan pada jarak satu atau dua perhentian bas sebagai persiapan diri.
“Ini adalah perubahan positif yang kami lihat dalam jemaah dan selepas mengikuti program GFH.
“Kini terdapat lebih kesedaran tentang kesihatan fizikal bagi mendapat kesempurnaan ibadah haji mereka masing-masing,” jelasnya.
“
“Dulu kebanyakannya kursus haji sahaja. Ketika itu, tidak banyak senaman yang disediakan, selain latihan melakukan tawaf dan sai di masjid… Apabila di sana, teknik regangan ini akan banyak membantu menguatkan otot kami kerana apabila di sana kita akan banyak berjalan.”“
“Perjalanan haji melibatkan banyak berjalan, cuaca panas, kurang tidur dan kesesakan manusia. Jadi sebab itu, kita perlu beri penekanan kepada kesihatan terutamanya bagi golongan lebih berusia.”“
“Kini terdapat lebih ramai jemaah yang memahami kepentingan melakukan senaman dan memastikan otot-otot mereka terus bergerak dan bertenaga ketika mereka melakukan perjalanan ini… terdapat lebih kesedaran tentang kesihatan fizikal bagi mendapat kesempurnaan ibadah haji mereka masing-masing.”