Topic followed successfully
Go to BHkuKhabar angin kekurangan diesel di Johor tidak benar
Khabar angin kekurangan diesel di Johor tidak benar
Stesen minyak Johor beroperasi seperti biasa
Khabar angin kekurangan diesel di Johor tidak benar
JOHOR BAHRU: Stesen minyak di seluruh Johor mempunyai bekalan diesel dan petrol mencukupi tanpa sebarang gangguan, meskipun tersebar khabar angin di media sosial mengenai kekurangan bahan api.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Johor, Cik Lilis Saslinda Pornomo, berkata semua stesen minyak di negeri ini beroperasi seperti biasa dengan tahap bekalan yang mencukupi.
“Semua stesen mempunyai stok dan setakat ini tiada sebarang masalah,” katanya kepada New Straits Times, pada 13 April.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan pengguna supaya mempertimbangkan stesen alternatif sekiranya berlaku kekurangan sementara, yang lazimnya hanya berlangsung antara dua dengan tiga jam, serta mengelakkan pembelian panik.
Cik Lilis turut menggesa orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang tular di media sosial kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan yang tidak perlu.
Tinjauan di beberapa stesen minyak di Johor Bahru, Iskandar Puteri dan kawasan sekitarnya mendapati bekalan bahan api kekal stabil, dengan pengguna mengisi diesel dan petrol seperti biasa.
Tiada kesesakan atau barisan panjang dilaporkan.
Pengusaha stesen minyak juga mengesahkan penghantaran diesel dan petrol berjalan mengikut jadual tanpa gangguan rantaian bekalan.
Minggu lalu, gambar papan tanda “tiada stok” di pam diesel stesen minyak tular di media sosial.
Namun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, menegaskan bekalan bahan api negara kekal stabil dan mencukupi.

