Lima syarikat pemula penjagaan kesihatan dianugerahkan pendanaan berjumlah $3 juta pada peringkat akhir CHISEL Healthcare InnoMatch 2025, iaitu cabaran inovasi global yang memindahkan penyelesaian pencegahan dan teknologi daripada peringkat perintis kepada penjagaan harian.
Pendanaan pemangkin Temasek Foundation dengan sokongan Kementerian Kesihatan (MOH) menggandingkan setiap pemenang bersama kelompok penjagaan kesihatan awam Singapura – NHG Health, Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) dan SingHealth – bagi menjalankan ujian serta membina bukti untuk pelaksanaan berskala.
Pemenang tahun ini ialah 16 Bit, Acorai, AI Medical, GyroGear dan Lifescapes, yang akan dipadankan dengan pasukan klinikal tempatan untuk ujian perintis.
Edisi kelima cabaran ini turut menampilkan rakan kongsi baru, Slingshot, bertemakan ‘Membina Kesihatan Digital Masa Depan’ yang memberi tumpuan kepada penyelesaian kecerdasan buatan (AI), automasi dan peranti digital bagi mempertingkatkan aliran kerja doktor serta penglibatan pesakit.
Sejak dilancarkan, cabaran ini telah menyalurkan dana bernilai lebih $6 juta dan menjalankan 16 ujian melibatkan 2,800 pesakit dalam bidang seperti kesihatan mental dan kencing manis.
Empat projek terdahulu menerima pendanaan susulan $2.24 juta dengan potensi memberi manfaat kepada 1.2 juta penduduk.
Menurut Encik Kee Kirk Chuen, Ketua, Kesihatan & Kesejahteraan di Yayasan Temasek, empat penyelesaian termasuk Articares dan Fathom X kini digunakan di beberapa kelompok kesihatan.
Beliau menegaskan ekosistem unik Singapura, dengan gabungan institusi kukuh, tadbir urus data yang mantap dan budaya inovasi pelbagai, menjadikannya tempat ideal untuk menguji teknologi baru dengan selamat sebelum diperluas di rantau Asia dan seterusnya.
Baca lanjut tentang cabaran CHISEL Healthcare Innomatch menerusi laman https://www.chi.sg/chisel-past-winners/, untuk mengetahui tentang semua pemenang cabaran sejak ia dilancarkan.
Dua inovasi digital dijangka menawarkan penyelesaian baru bagi dua penyakit kronik seperti kegagalan jantung dan barah gastrik, apabila ia menjalani ujian di kelompok penjagaan kesihatan tempatan.
Peranti penderiaan tekanan jantung dan paru-paru bukan invasif, iaitu peranti Acorai, hasil ciptaan syarikat Sweden, Acorai, akan diuji di kelompok SingHealth dan NHG Health.
Sementara itu, peranti kecerdasan buatan (AI) endoskop gastroAI, rekaan syarikat pemula berpangkalan di Tokyo, Jepun, AI Medical Service (AIM), akan diuji di kelompok SingHealth.
Sekiranya dilaksanakan di Singapura, peranti Acorai berpotensi mengurangkan kadar kemasukan semula pesakit kegagalan jantung ke hospital, sekali gus menjimatkan kos dan memberi mereka lebih masa menikmati kehidupan di luar hospital.
Peranti ini mudah digunakan, doktor hanya perlu meletakkan pesakit dalam keadaan terlentang, mengisi maklumat pesakit, dan merakam data selama 3 minit daripada dada pesakit.
Ia tidak memerlukan integrasi dengan sistem rekod kesihatan sedia ada dan memerlukan latihan minimum, jelas Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif di Acorai, Encik Filip Peters.
Pakar kardiologi Amerika, Dr Andrew J. Sauer, 55 tahun, menyifatkan peranti Acorai berpotensi mengubah cara pesakit kegagalan jantung dipantau dan dirawat.
“Dengan mengenal pasti peningkatan tekanan lebih awal, doktor boleh campur tangan lebih cepat, merancang rawatan yang lebih diperibadikan dan bukan invasif, serta mengurangkan risiko kegagalan jantung,” katanya.
Menjelaskan mengapa SingHealth memilih Acorai untuk menjalani ujian penyelesaian kesihatan tersebut, Rakan Sekutu Klinikal, Professor Tan Hiang Khoon, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sistem Kesihatan Masa Depan, SingHealth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Besar Singapura (SGH), berkata:
“Teknologi Acorai berpotensi menangani keperluan yang belum dipenuhi dalam pengurusan pesakit kegagalan jantung. Mereka kini sedang berbincang dengan Pusat Jantung Negara Singapura (NHCS) bagi potensi ujian dan kajian.”
NHG Health pula memilih Acorai untuk menjalani ujian penyelesaian kesihatan itu kerana penyelesaiannya sangat sejajar dengan strategi NHG untuk mengalihkan penjagaan daripada reaktif kepada proaktif melalui pencegahan, pengesanan awal dan pembuatan keputusan yang didayakan data.
Peranti Acorai yang tidak invasif dan dipacu AI menyokong pengenalpastian risiko lebih awal dan pengurusan proaktif, terutamanya di luar persekitaran hospital akut, menurut Pengarah Klinikal, Pusat Inovasi Penjagaan Kesihatan, NHG Health, Profesor Madya Wong Hon Tym.
Peranti kecerdasan buatan (AI) endoskop, iaitu gastroAI, membantu pakar endoskop mengesan barah gastrik pada peringkat awal semasa pemeriksaan endoskopi gastrousus atas dijalankan.
Diilhamkan oleh Dr Tomohiro Tada, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, yang telah melakukan lebih 20,000 pemeriksaan endoskopi, sistem ini mampu mengenal pasti sel barah tersembunyi dalam mukosa gastrik yang meradang.
“‘Set mata tambahan’ ini mengurangkan risiko sel penting terlepas daripada perhatian dan membantu pakar endoskopi walaupun dalam kes yang rumit,” kata Dr Tada.
“gastroAI beroperasi menggunakan prosesor CPU yang boleh disambungkan terus ke sistem endoskop Olympus atau Fujifilm, dan boleh digunakan di klinik dengan latihan asas.
Ketua Wilayah AI Medical Service bagi Singapura dan Asia Tenggara, Encik Masayuki Tokano, berkata:
“Matlamat kami ialah mahu menyelamatkan nyawa di seluruh dunia dengan menghapuskan barah gastrousus yang terlepas pandang melalui pengesanan awal yang dipacu AI.
gastroAI boleh mengurangkan biopsi, mengelakkan diagnosis yang terlepas, dan membolehkan campur tangan lebih awal, yang semuanya akan menghasilkan kepada penjimatan kos jangka panjang bagi pesakit dan hospital.”
Rakan Sekutu Klinikal, Professor Tan Hiang Khoon, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Sistem Kesihatan Masa Depan, SingHealth dan Ketua Pegawai Eksekutif, Hospital Besar Singapura (SGH), berkata tumpuan AI Medical Service ialah meningkatkan pengesanan barah gastrik sejajar dengan minat SGH dalam menguji teknologi ini.
Sebagai seorang doktor muda kelahiran Singapura, Dr Faii Ong menemui seorang pesakit berusia 103 tahun yang mengalami gegaran tangan teruk hingga pesakit itu tidak mampu menyuap makanannya.
Melihat kehilangan keupayaan berdikari pesakit itu, beliau terdorong membangunkan GyroGlove di GyroGear™. GyroGlove adalah teknologi sarung tangan pintar yang membantu memperbaiki mutu kehidupan pesakit gegaran tangan, seperti pesakit Parkinson atau Essential Tremor.
“Gegaran tangan menjejas lebih daripada 200 juta orang di seluruh dunia, namun masalah ini sering dianggap sebagai ‘hanya bergegar’. GyroGear™ membuktikan teknologi mampu mengembalikan sifat berdikari, maruah dan hubungan dalam kehidupan harian dengan segera,” kata Dr Ong, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif GyroGear™ Pte Ltd.
Dinobat sebagai Inovasi Terbaik TIME, ia menggunakan penstabil gyroskopik dan sensor terbenam untuk mengesan pergerakan gegaran dan mengatasinya serta-merta.
Ia direka dengan tujuan supaya pesakit yang mengalami gegaran tangan teruk boleh memakai sarung tangan itu sendiri dan mempunyai pelbagai ciri-ciri untuk membantu pesakit seperti permukaan yang mudah digenggam dan pengikat besar.
“Pesakit boleh merasai kesannya dalam masa 8 saat hingga 10 saat selepas giroskop diaktifkan.
“GyroGlove membantu pesakit kembali melakukan tugasan harian seperti makan, menulis, menaip atau bermain dengan ahli keluarga, sekali gus meningkatkan mutu hidup,” ujar Dr Ong.
Ia juga boleh digunakan bersama rawatan lain, dan pesakit Parkinson melaporkan peningkatan koordinasi serta keupayaan bergerak.
Sebagai salah satu pemenang CHISEL Healthcare InnoMatch 2025, GyroGear™ akan diuji di kelompok penjagaan kesihatan NUHS.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Aymeric Lim, menjelaskan mengapa Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) memilih GyroGlove untuk ujian penyelesaian kesihatan:
“GyroGlove, dibangunkan oleh GyroGear™, menawarkan pendekatan yang benar-benar inovatif untuk menguruskan gegaran tangan, yang berpotensi meningkatkan autonomi pesakit dan mengurangkan pergantungan pada campur tangan farmakologi.
“Bagi pesakit, GyroGlove mungkin boleh mendapatkan semula keupayaan melakukan tugas harian.”
Peranti Lifescapes diilhamkan oleh pasukan daripada Keio University yang membangunkan teknologi Brain Computer Interface (BCI) bagi membantu pesakit lumpuh akibat angin ahmar atau kecederaan saraf tunjang.
Timbalan Pengarah Bahagian Strategi Perniagaan, Encik Ryotaro Hirose, berkata mereka akan membangunkan protokol pemulihan disesuaikan secara tempatan dan mengesahkan keberkesanan BCI bersama doktor NUHS.
Teknologi itu mampu membantu pesakit memulihkan fungsi tangan, mempercepatkan proses keluar hospital dan mengurangkan kos rawatan, sambil meningkatkan kecekapan operasi hospital melalui protokol terapi yang boleh diulang secara konsisten, kata Ketua Pegawai Strategi, Encik Masaaki Hayashi.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Universiti Nasional (NUH), Profesor Aymeric Lim:
“Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) memilih peranti Lifescapes, teknologi Brain Computer Interface (BCI), kerana ia boleh merevolusikan neurorehabilitasi di NUHS dengan menggalakkan neuroplastikiti dan memulihkan fungsi motor pesakit angin ahmar yang dirawat di Pusat Saraf dan Gerakan kami.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg