Memang lumrah bagi sebahagian daripada kita untuk mengutamakan kesejahteraan orang lain, terutama anggota keluarga yang kurang sihat atau memerlukan lebih banyak perhatian dan rawatan.
Di Singapura, jumlah penduduk warga emas dijangka meningkat dengan pesat, dan ini bermakna lebih ramai akan menggalas tugas sebagai penjaga.
Menjelang 2030, seorang daripada empat penduduk Singapura akan berusia lebih 65 tahun dan pada 2050 seorang daripada dua, atau separuh.
Bayangkan diri anda sebagai penjaga yang bekerja sepenuh masa, menguruskan anak-anak, dan pada masa yang sama, merawat ibu bapa yang sudah lanjut usia dan menghadapi cabaran kesihatan.
Kajian Universiti Pengurusan Singapura (SMU) pada November 2024 melibatkan hampir 7,700 penduduk setempat yang berusia antara 48 dengan 79 tahun dan pasangan mereka mendapati, seorang daripada tujuh orang dewasa di Singapura adalah penjaga.
Menurut Pengarah, Pusat Penyelidikan Penuaan Berjaya (Rosa) SMU, Profesor Paulin Straughan, laporan ‘Profil dan Kesejahteraan Penjaga Lebih Berusia di Singapura’, menunjukkan ramai penjaga itu sendiri memerlukan penjagaan.
“Kajian ini menekankan keperluan mendesak untuk terus memperbaiki dasar di tempat kerja, kewangan dan jagaan kesihatan bagi memberi lebih banyak perlindungan kepada penjaga,” kata Profesor Straughan, merujuk kepada sistem sokongan yang diperlukan semasa laporan dibentang.
Malah pada 2025, Rosa di SMU mendapati 40 peratus penjaga di Singapura menghidapi dua atau lebih penyakit kronik, dengan ada di antara mereka mengabaikan kesihatan sendiri dengan memberi keutamaan kepada insan yang dijaga, sekali gus memperburuk keadaan diri.
Tugas sebagai penjaga meskipun mencabar, ia tetap mendatangkan kepuasan.
Meskipun sifat belas ihsan itu nilai murni, namun, penjaga tetap perlu berusaha meluangkan masa untuk menikmati kegiatan menyeronokkan bagi menjaga diri sendiri agar tidak kehabisan tenaga atau burnout.
Secara umum, lumrah bagi penjaga memperuntuk masa buat insan tersayang dan memberikan apa jua sokongan yang diperlukan.
Bagaimanapun, kadangkala tuntutan selaku penjaga boleh membuat penjaga lupa diri.
Baru-baru ini, seorang teman mengadu tidak semena-mena pinggangnya sakit.
Hanya apabila rasa sakit itu tidak lagi tertanggung, beliau mengambil keputusan menemui doktor.
Beliau diberi cuti sakit kerana bahagian belakangnya terkehel.
Apabila disingkap, beliau rasa ia mungkin ada kaitan dengan pergerakannya – mengangkat dan mendukung – ketika memandikan ibunya yang berusia 91 tahun.
Ini kerana selesai sahaja tugas itu, beliau rasa tidak selesa pada bahagian belakang khususnya pinggang.
Memang terdapat sesi latihan tentang cara mengendalikan warga emas di rumah, namun, kadangkala keletihan menguasai diri sehingga apa yang dipelajari tiba-tiba tidak diingati.
Tidak hanya menjaga ibunya, baru-baru ini, teman yang bakal menginjak usia 60 tahun dan masih bekerja sepenuh masa itu turut memutuskan mengajak ibu saudara tinggal bersama.
Walaupun ibu saudara itu berdikari dan awalnya tinggal sendiri setelah kematian suami dan tidak mempunyai anak, beliau terjatuh di rumah.
Pada awalnya, ibu saudara itu dimasukkan ke hospital kerana sakit perut, namun sehari setelah dibenarkan pulang ke rumah, beliau terjatuh dan terpaksa menjalani operasi di kepala pula kerana luka yang besar dan begitu dalam.
Teman ini baru mengadu sukar melelapkan mata kerana banyak yang difikirkannya.
Bagi golongan penjaga, kadangkala mendapatkan tidur yang benar-benar nyenyak adalah satu nikmat.
Setelah seharian bekerja, otak ini memerlukan rehat dan penjaga perlu mengalihkan perhatian kepada sesuatu yang lebih santai.
Namun, bagi penjaga, itulah masa untuk mendapatkan lebih banyak maklumat bagi melengkapkan diri dengan ilmu untuk memberikan penjagaan terbaik.
Penjaga juga adalah ‘penyelidik’, apabila doktor berkongsi sebarang istilah perubatan, penjaga cenderung mencari tahu lebih mendalam berhubung gejala dan penyakit itu.
Hati ini ingin tahu apakah kesan sampingan ubat-ubatan yang ada, apakah rawatan lain yang tersedia di luar sana, serta pengalaman rakan-rakan sendiri contohnya, tatkala mengurus ibu bapa yang mengalami demensia.
Di samping itu, penjaga juga cuba memberikan ruang selesa buat insan yang dijaga.
Contohnya, mencari tongkat beroda terbaik di wadah e-dagang, mencari syarikat yang menawarkan fisioterapi di rumah, mencari syarikat ubah elok bagi menyesuaikan ruang bilik air dan sebagainya.
Alhamdulillah kini Internet mempermudahkan tugas penjaga daripada pelbagai sudut – mendapatkan fakta kajian, berbelanja dalam talian, malah mencari kumpulan sokongan daripada media sosial.
Di Facebook terdapat kumpulan sokongan, ‘Caregivers for Elderly’, yang ibarat tempat mengadu nasib bagi penjaga. Pengalaman yang dilalui mungkin berbeza-beza, namun, semangat menawarkan khidmat penjagaan terbaik begitu ketara.
Tatkala teman sekerja bercuti ke sana sini, penjaga yang bertugas sepenuh masa mungkin mendapati jumlah baki cuti mereka begitu terbatas meskipun terdapat dua hari cuti tambahan untuk keluarga.
Jadual di kalendar mungkin penuh dengan janji temu dengan doktor daripada pelbagai bidang kepakaran – geriatrik, endokrinologi atau pakar hormon, pakar kulit, jantung dan sebagainya khusus untuk ibu dan/atau bapa.
Bagi mereka yang mempunyai anak istimewa pula, pelbagai sesi terapi juga perlu mereka sertai.
Apatah lagi apabila penjaga sendiri berhadapan cabaran kesihatan dan mempunyai senarai janji temu dengan doktor.
Pengasas yang juga pengetua syarikat pengurusan penjagaan, Aging Wisdom, di Washington, Amerika Syarikat, Cik Lisa Mayfield, menasihatkan:
“Bidang penjagaan adalah satu maraton dan bukan pecutan. Melengkapkan diri anda untuk perjalanan jauh adalah penting.
“Jika anda tidak meluangkan masa untuk berehat, anda mungkin tidak akan berupaya menamatkan perlumbaan. Ia adalah perjalanan panjang dan rehat itu penting.”
Untuk semua penjaga di luar sana, berusahalah seberapa daya untuk berehat tanpa rasa bersalah walaupun sukar.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg