Topik diikuti
Pergi ke BHkuTarikan baru di RWS dalam usaha pelbagaikan sumber pendapatan
Tarikan baru di RWS dalam usaha pelbagaikan sumber pendapatan
Langkah bagi tangani kos operasi meningkat, permintaan pelancongan merosot
Tarikan baru di RWS dalam usaha pelbagaikan sumber pendapatan
Semakin banyak perniagaan di Singapura mula terasa kesan akibat konflik antara Iran dengan Amerika Syarikat, serta gangguan laluan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting perdagangan dan tenaga dunia.
Genting Singapore, yang mengendalikan Resorts World Sentosa (RWS), kini mempergiat usaha memperbaharui tarikan dan mempelbagaikan sumber pendapatan, susulan peningkatan kos operasi serta penurunan dalam permintaan pelancongan dan perbelanjaan pengguna akibat konflik tersebut.
Dalam kemas kini kewangan suku pertama pada 12 Mei, Genting Singapore berkata konflik yang berterusan telah meningkatkan kos tenaga, penghantaran dan logistik di seluruh rantaian bekalan.
Pada masa yang sama, tambang penerbangan yang lebih tinggi turut menjejas permintaan perjalanan serta perbelanjaan pelancong di RWS.
Bagi menangani keadaan itu, RWS memperkenalkan pelbagai tarikan baharu, konsep makanan dan acara promosi, untuk menarik pengunjung, termasuk pelanggan tempatan.
Antara tambahan terbaharu ialah pembukaan spa Bodhi di hotel The Laurus, restoran Quan Hotpot serta penyewa baharu seperti People People Brewing Co.
Resort itu juga memperkenalkan pas musim bagi tarikan-tarikannya untuk menggalakkan kunjungan berulang.
Sejak 2019, Genting Singapore telah melaburkan berbilion dolar menerusi projek RWS 2.0 bernilai $6.8 bilion, untuk memperluaskan keluasan keseluruhan resort bersepadu itu sebanyak 50 peratus, melalui pembangunan tarikan baharu, hotel mewah dan kemudahan gaya hidup.
Pada 2025, RWS membuka beberapa tarikan utama bagi mengukuhkan segmen bukan perjudian, termasuk tarikan kekal seperti Minion Land di Universal Studios Singapore (USS) dan Singapore Oceanarium.
RWS turut melancarkan Weave, pusat gaya hidup baharu yang menempatkan lebih 40 konsep runcit dan makanan, termasuk cawangan pertama Asia Tenggara milik jenama makarun Perancis, Pierre Herme Paris.
Menurut Genting Singapore, syarikat itu akan terus melabur dalam penambahbaikan hotel, konsep baharu, kemudahan dan teknologi di RWS bagi meningkatkan kecekapan operasi serta pengalaman pengunjung.
Genting Singapore mencatat penurunan dalam keuntungan bersih sebanyak 55 peratus kepada $65.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, berbanding tempoh sama pada 2025, manakala hasil pendapatan susut 3 peratus kepada $607.6 juta.
Prestasi RWS pada suku pertama 2026 masih lebih baik berbanding suku Oktober hingga Disember sebelumnya, dengan keuntungan bersih meningkat 7 peratus daripada $61 juta manakala hasil pendapatan naik 3 peratus daripada $587.7 juta.
Saham Genting Singapore ditutup pada 12 Mei pada harga 69 sen, meningkat 1.47 peratus.
