Para pengunjung Greater Sentosa boleh menjangkakan lebih banyak laluan pejalan kaki pesisir pantai dan hijau, serta persiaran tepi laut, apabila kawasan itu menjalani perubahan terbesar sepanjang dua dekad akan datang.

Pelan Induk Greater Sentosa yang meliputi Sentosa dan Pulau Brani akan menyaksikan pantai Sentosa dinaik taraf bagi menampung lebih banyak ruang acara untuk pelbagai kegiatan.

Perancangan ini diumumkan oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu, pada 8 Mei di Sidang Industri Pelancongan 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Resorts World.

Dibayangkan sebagai “pulau permainan dan perlindungan dalam bandar global” Singapura, Pulau Brani seluas 120 hektar dijangka menempatkan hotel, tarikan dan pengalaman baru sambil memelihara sebahagian unsur semula jadinya, kata Cik Fu.

Setelah siap, Greater Sentosa dijangka menarik kira-kira dua kali ganda jumlah pengunjung semasa.

Antara April 2024 dengan Mac 2025, kawasan itu menerima 16.9 juta pengunjung.

Diumumkan sebagai Pelan Induk Sentosa-Brani pada 2019, projek pembaharuan itu akan memulakan fasa pertama dengan pembinaan hab pengangkutan yang menghubungkan Sentosa dan Pulau Brani ke Keppel Harbour, namun masa pelaksanaannya masih belum diputuskan.

“Kami juga akan menambah sambungan baru antara Greater Sentosa dan Singapura bagi meningkatkan keupayaan pengangkutan serta memudahkan perjalanan,” kata Cik Fu.

Tiada butiran lanjut diberikan.

Pulau Brani ialah kawasan perindustrian yang sebahagian besarnya menempatkan Terminal Brani, yang operasinya dijadual dipindahkan ke Pelabuhan Tuas menjelang 2027 sementara sistem pengangkutan automatik antara Pulau Brani dan tanah besar Singapura sedang dikaji.

Dalam beberapa bulan akan datang, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) akan melancarkan tender perundingan reka bentuk bagi beberapa komponen utama pelan induk tersebut.

Pada awal Mei, SDC menerbitkan tiga tender perundingan merentasi bidang di portal GeBiz meliputi hab pengangkutan pusat pulau, sistem pengangkutan automatik Sentosa, serta pembaharuan pantai Siloso dan Palawan.

Cik Fu berkata pameran pelan Greater Sentosa akan diadakan di VivoCity dan beberapa kawasan perumahan di serata Singapura pada Julai ini.

Ketua Eksekutif (CE) Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Cik Melissa Ow, berkata:

“Greater Sentosa menawarkan peluang besar bagi pembangunan tarikan bertaraf dunia, hotel, makanan dan minuman, serta pesta dalam suasana pulau, manakala Zon Brani Barat akan menjadi tapak terbesar bagi pembangunan tarikan baru.

“Sentosa dekat di hati rakyat Singapura dan pelancong, manakala Pelan Induk Greater Sentosa akan mengukuhkan tarikannya sebagai tempat yang wajib dikunjungi.”

Walaupun pelan induk ini dijadual dijalankan sehingga 2045, beberapa tarikan baru dan diperbaharui akan dibuka lebih awal termasuk simulator penerbangan, AltitudeX dan permainan lasak, SkySlides, di Sentosa.

Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Pembangunan Negara), Encik Alvin Tan, mengumumkan sebelum ini semasa perbahasan Belanjawan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) pada 2 Mac.

Beliau turut mengumumkan kerja pembaharuan pantai Sentosa, peningkatan perlindungan pesisir pantai bagi meningkatkan pengalaman pengunjung dan melindungi garis pantai daripada kenaikan paras laut. 

Perhubungan di kawasan itu juga akan dipertingkat menerusi rancangan menggantikan monorel Sentosa Express sepanjang 2.1 kilometer yang menghubungkan VivoCity di HarbourFront ke Sentosa melalui empat stesen.

Ini selain pembangunan mercu tanda baru seperti Imbiah Canopy yang akan menghubungkan pengunjung ke laluan alam semula jadi dan tapak warisan.