Topik diikuti
Pergi ke BHku‘Tabung Infaq Fajar’ permudah jemaah bantu pertingkat Masjid Alkaff Kampung Melayu, galak bersedekah
‘Tabung Infaq Fajar’ permudah jemaah bantu pertingkat Masjid Alkaff Kampung Melayu, galak bersedekah
Jemaah punya hingga enam bulan untuk derma kepada masjid melalui tabung di rumah secara kecil tetapi berterusan
‘Tabung Infaq Fajar’ permudah jemaah bantu pertingkat Masjid Alkaff Kampung Melayu, galak bersedekah
Program ‘Tabung Infaq Fajar’ diperkenalkan oleh Masjid Alkaff Kampung Melayu bagi memudahkan jemaah menyumbang secara berperingkat kepada Projek Naik Taraf Masjid (MUP) itu.
Menurut Eksekutif Kewangan masjid tersebut, Encik Hamis Samsuri, konsep ini diilhamkan bagi menggalak amalan infak konsisten dalam kalangan masyarakat.
“‘Tabung Infaq Fajar’ adalah satu inisiatif untuk memudahkan jemaah menyumbang kepada program MUP Masjid Alkaff Kampung Melayu secara konsisten. Konsepnya seperti tabung simpanan di rumah, tetapi dengan niat berinfak kepada masjid,” jelas Encik Hamis.
Perkataan ‘Fajar’ dipilih berasaskan hadis Nabi Muhammad saw yang menekankan keutamaan bersedekah pada waktu pagi.
Rasulullah saw bersabda bahawa setiap pagi dua malaikat turun dan mendoakan kebaikan bagi mereka yang bersedekah.
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim menyebut ‘Dua malaikat turun dan turut mendoakan keberkatan bagi sesiapa saja yang bersedekah pada waktu subuh’.
Menurut Encik Hamis, inisiatif ini turut lahir daripada kesedaran bahawa tidak semua individu mampu memberi sumbangan besar secara sekali gus.
Oleh itu, pendekatan lebih fleksibel diperkenal agar amalan infak dapat dilakukan secara kecil tetapi berterusan, dan tetap memberi kesan bermakna.
Jemaah boleh mengambil tabung dari pejabat utama masjid itu dan mengisinya setiap hari atau secara berkala dalam tempoh hingga enam bulan.
Setelah tabung penuh itu atau tempoh tersebut tamat, ia dipulangkan ke masjid dan jemaah boleh mengambil tabung baru untuk meneruskan amalan tersebut.
Inisiatif ini terbuka kepada semua lapisan masyarakat, termasuk mereka yang ingin mendidik ahli keluarga, khususnya anak-anak, tentang budaya bersedekah dan nilai keprihatinan terhadap masjid.
Ia juga diharap dapat mengukuhkan rasa kebersamaan dalam usaha memakmurkan masjid.
Walaupun sumbangan yang diterima mungkin kecil, Masjid Alkaff Kampung Melayu menekankan bahawa impaknya menjadi besar apabila digabungkan secara kolektif dan berterusan.
“Setiap sumbangan adalah langkah ke arah merealisasikan pembangunan masjid ini untuk manfaat masyarakat,” ujar Encik Hamis.
Bagi yang tidak dapat datang ke masjid, pihak masjid menyediakan talian 6242-7244 untuk pertanyaan lanjut berkaitan pengambilan atau penghantaran tabung itu, tertakluk pada ketersediaan.
CARA DERMA KEPADA DANA PENINGKATAN MASJID ALKAFF KAMPUNG MELAYU:
1. Buat pemindahan bank ke dalam akaun semasa OCBC 581-608668-001. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’ di ruangan ‘Rujukan’ dan e-melkan tangkap layar transaksi kepada finance@alkaffkm.mosque.sg
2. PayNow ke UEN: S94MQ0017D. Sila nyatakan ‘Dana Peningkatan’ di bahagian ‘Rujukan’
3. Kirim cek atas nama ‘LPM ALKAFF KG MELAYU’ kepada Masjid Alkaff Kampung Melayu, 200 Bedok Reservoir Road, Singapura 479221. Sila tulis ‘Dana Peningkatan’, nama, alamat dan nombor telefon di bahagian belakang cek.
4. Datang ke pejabat masjid antara Isnin hingga Khamis, dari 9 pagi hingga 5.30 petang, atau pada Jumaat, antara 9 pagi hingga 5 petang.
5. Ikuti Masjid Alkaff Kampung Melayu di Tik Tok: @alkaffkm. Facebook: Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Instagram: @alkaffkgmelayumosque.
